Bikesrepublic

Berita Terkini

Hampir 500 penunggang basikal berang apabila pihak penganjur sendiri lesap pada hari penganjuran program berbasikal “Enduride Challenge” dan “Fun Ride with Stars” yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 31 Julai lalu.

Senario itu membuatkan kesemua penunggang basikal yang hadir untuk acara itu berasa bingung dan kecewa apabila pihak penganjur gagal dikesan sebaik peserta tiba seawal 6.30 pagi dengan program sepatutnya bermula jam 8 pagi.

Pihak penganjur juga sempat memuat naik kapsyen “Jumpa ada semua esok” di sebelah malam sebelum itu sekaligus beri bayangan program tersebut akan berjalan seperti biasa.

Namun, ketika Axiata Arena telah dibanjiri peserta, penganjur hanya memaklumkan pembatalan program tersebut pada jam 11.41pagi dengan alasan individu yang bertanggungjawab bagi acara tersebut tidak muncul.

Sementara itu, pihak penganjur telah pun memaklumkan akan membuat bayaran balik secara penuh kepada semua peserta terlibat.

Bagaimanapun, rata-rata peserta luah rasa tidak puas hati apabila ada yang datang dari Sabah dan ada juga yang memandu lebih tujuh jam dari Kelantan bagi menghadiri acara tersebut.

Ada juga yang mempersoal mengapa program sebesar itu bergantung kepada satu individu sahaja dan tiada pelan sokongan.

Difahamkan, setakat 3 Ogos, proses bayaran balik masih belum dilaksanakan dengan pihak penganjur berkata mereka mahu melakukan bayaran balik secara manual dan bukan menerusi pembekal tiket.

TAHAP kemandirian rakyat Malaysia memang tinggi. Letak di bawah sebarang situasi yang menekan, mereka akan mampu bangkit sekali gus mengatasi masalah tersebut.

Masyarakat negara ini didapati berkemampuan tinggi dalam menyesuaikan diri mengikut keadaan, malah ada kalanya mampu berubah secara mendadak dalam mengatur kehidupan.

Pandemik Covid-19 memberikan kesan negatif kepada sektor pekerjaan kepada global dan secara khususnya di Malaysia apabila kadar pengangguran turut meningkat.

Majikan mula pening kepala apabila keuntungan syarikat mula merosot. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan sesetengah pekerja hilang pendapatan.

Belum dikira ketua keluarga atau ibu bapa yang menjadi tempat bergantung meninggal dunia akibat Covid-19 sehingga mengakibatkan anak-anak menjadi yatim piatu sekelip mata.

Situasi di Malaysia, negara kini sedang dalam fasa peralihan ke endemik dengan semua sektor sudah dibuka sepenuhnya dan kembali merancakkan sektor ekonomi.

Ini memberi kelegaan besar kepada orang ramai apabila kehidupan mereka sudah kembali normal.

Jadi tidak hairanlah laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia berdasarkan 13 komponen yang dinilai.

Sebagai contoh dalam menjimatkan kos ke tempat kerja, golongan pekerja lebih selesa menunggang motosikal ke tempat kerja. Kalau trafiknya sesak, boleh ‘cilok’ celah-celah kenderaan lain.

Sudah tidak perlu fikirkan kos tambahan lain seperti bayaran parkir, tol serta kos bahan api yang lebih menjimatkan.

Cuma ‘musuh’ bagi seorang penunggang motosikal ini adalah hujan lebat. Keadaan cuaca ketika ini pula tidak menentu. Pemandangan biasa apabila kita melihat penunggang motosikal ‘bersidai’ di bawah jejantas pada waktu pergi dan balik kerja akibat kehujanan.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negara masih lagi berada di dalam Monsun Barat Daya dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September 2022.

Oleh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan.

Namun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir disebabkan oleh fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

Buat penunggang dan pembonceng berhati-hati di jalan raya lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca tidak menentu ini. Baik mencegah daripada merawat.

Sepanjang tahun ini, penunggang dan pembonceng motosikal didapati menjadi penyumbang terbesar dalam kejadian nahas dan kemalangan maut. Menunggang motosikal ini diibaratkan ‘kulit balut besi’ berbanding naik kereta yang mana ‘besi balut kulit’.

Seorang nenek berusia 81 tahun telah memenangi hadiah berupa sebuah skuter maxi BMW C 400 X.

Maznah Harun, 81, muncul antara pemenang utama kempen Simpan Berganda Menang Bergaya anjuran MBSB Bank Sdn dan berjaya membawa pulang skuter maxi dari BMW bernilai RM45,000.

Menariknya, Maznah berkata ini kali pertama dalam hidupnya berjaya memenangi hadiah seumpama itu.

“Sepupu memaklumkan kepada saya mengenai kempen ini dan mengesyorkan untuk menyertainya.

“Cuma tak sangka penyertaan kali pertama ini membawa tuah kepada saya untuk menang hadiah utama,” jelasnya.

BMW C 400 X merupakan sebuah skuter maxi yang dipasarkan BMW Motorrad Malaysia untuk pasaran tempatan.

Skuter maxi itu menampilkan rekaan terkini di samping tampil dengan enjin satu silinder 350cc yang menawarkan 34hp dan 7,500rpm serta 35Nm pada 6,000rpm.

Sementara itu, seorang lagi pemenang, Huang Wee Wan, 63, memenangi sebuah kereta jenis BMW X4 30i Sport.

Antara ganjaran lain yang ditawarkan termasuk pakej umrah dan pelancongan ke Eropah, sebuah Mercedes Benz A200, C200, iPhone dan banyak lagi. – BH

Honda telah menghentikan pengambilan tempahan baharu bagi 10 model motosikal dalam usaha mengurangkan tunggakan tempahan yang dialaminya ketika ini.

Perkara itu disahkan Honda dalam satu kenyataan yang memaklumkan bahawa mereka menghentikan pengambilan tempahan bagi 10 model bermula 1 Ogos lalu.

2021 HONDA CRF300 Rally

Model yang terkesan dengan pengumuman itu babitkan Rebel 1100, Rebel 500, Rebel 250, CRF250 Rally, CRF250L, Forza, ADV 150, MSX125, Monkey 125, CT125 dan Hunter Cub.

Menurut Honda, antara faktor utama yang memaksa pihak pengeluar motosikal Jepun itu mengambil keputusan drastik tersebut adalah disebabkan masalah ‘semikonduktor’ yang dialami ketika ini sekaligus memberi kesan terhadap logistik.

Ini bermakna negara yang mengimport motosikal Honda dari Jepun terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan motosikal masing-masing.

Kami menghubungi pihak Boon Siew Honda dan dimaklumkan pengumuman itu tidak memberi kesan terhadap model yang dipasarkan di Malaysia ekoran model CBU – seperti Rebel 500, CRF250 Rally – yang dijual disini dipasang di Thailand.

Model CKD pula – seperti ADV150 – dipasang di Pulau Pinang.

Pelumba WithU Yamaha RNF MotoGP, Andrea Dovizioso akan meninggalkan pasukan itu selepas GP San Marino selepas membuat keputusan untuk bersara.

Ini bermakna, Dovizioso tidak akan berlumba selepas GP San Marino yang akan berlangsung pada 2-4 September ini.

Sementara itu, pelumba uji Yamaha, Cal Crutchlow, akan menggantikan Dovizioso di RNF Racing bagi baki enam pusingan selepas itu.

Dovizios dalam satu kenyataan mengakui ketika diberi peluang mencuba jentera Yamaha, dia percaya mampu melakukan sesuatu yang baik namun perubahan ketara yang melanda perlumbaan itu ternyata memberi kesan terhadap prestasinya.

“Ketika peluang itu tiba, saya percaya dengan projek ini dan yakin boleh berikan yang terbaik.

“Bagaimanapun, MotoGP telah berubah dalam tempoh beberapa tahun ini dan situasi semasa amat berbeza berbanding dahulu. Saya tidak pernah rasa selesa dengan jentera – Yamaha YZR-M1 – dan saya tidak dapat mencapai prestasi yang diinginkn walaupun berulang kali mendapat bantuan daripada keseluruhan pasukan Yamaha.

“Apa pun saya masih anggap perkara ini sebagai satu pengalaman yang penting,” jelasnya.

Pada masa sama, prinsipal pasukan RNF Racing, Razlan Razali menghormati keputusan Dovizioso.

“Kami akhirnya kembali ke paddock selepas lima minggu bercuti dan teruja untuk kembali memperbaiki keputusan bagi Andrea terutamanya selepas mendapat keputusan positif dalam dua perlumbaan sebelum ini.

“Namun dia telah membuat keputusan untuk bersara dan kami hormati keputusan itu. Kami berasa dukacita kerana pelumba berpengalaman seperti Andrea (Dovizioso) akan meninggalkan kejuaraan ini lebih awal,” ujar Razlan.

Dovizioso merekodkan 24-kemenangan GP di samping muncul sebagai juara dunia kelas 125cc pada 2004 di samping tiga kali merekodkan tempat kedua di kelas premier bersama Ducati sebelum berhijrah ke Yamaha pada 2021.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mahu kerajaan mengawal selia perkhidmatan e-hailing motosikal, dan mengatakan bahawa ia boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan mobiliti dalam kalangan warga kota.

Menyeru kementerian berkaitan mengkaji semula perkhidmatan e-hailing motosikal, beliau berkata perkhidmatan seumpama itu juga boleh membantu mereka yang berulang-alik jarak dekat.

November lalu, timbalan menteri pengangkutan Henry Sum Agong berkata tiada rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing motosikal kerana kadar kematian jalan raya yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal.

Hari ini, Fahmi berkata terdapat “hujah” untuk membenarkan perkhidmatan sedemikian sehingga radius 10km.

“Sebagai contoh, jika anda ingin berulang-alik dari rumah anda ke stesen MRT, atau dari pejabat anda ke stesen LRT, di sinilah perkhidmatan ini akan menjimatkan dan membantu mengelak kesesakan lalu lintas,” kata ketua penerangan PKR itu kepada pemberita di majlisnya. pejabat di Pantai Dalam.

Beliau berkata, menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan e-hailing motosikal boleh membantu Kuala Lumpur menjadi bandar rendah pelepasan karbon menjelang 2030.

Beliau menambah, di kawasannya, terdapat orang ramai yang membuat temu janji di hospital berhampiran tetapi mendapati tambang e-hailing sedia ada terlalu mahal.

Nabil Feisal Bamadhaj, pengasas Dego Ride, perkhidmatan e-hailing motosikal pertama negara, berkata syarikat itu berharap dapat melihat kerajaan mengawal perkhidmatan itu supaya kedua-dua penunggang dan penumpang akan menggunakannya dengan yakin.

“Kami melihat trafik menjadi lebih teruk apabila aktiviti ekonomi disambung semula selepas wabak itu. Pada masa sama, kami melihat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kami,” katanya.

“Tetapi penunggang ragu-ragu untuk menyertai kami kerana mereka tidak pasti sama ada perkhidmatan kami sah.”

Dego Ride bermula pada Julai 2015 tetapi terpaksa berhenti dua tahun kemudian kerana kebimbangan keselamatan jalan raya. Ia kini menyediakan perkhidmatan penghantaran motosikal.

Nabil berkata tinjauan tidak rasmi yang dijalankan oleh pasukannya di stesen LRT baru-baru ini menunjukkan bahawa penumpang menerima kos yang lebih rendah dan masa perjalanan lebih pantas yang ditawarkan oleh perkhidmatan e-hailing motosikal.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube