Bikesrepublic

Berita Terkini

CFMoto merupakan antara pengeluar yang paling mencuri tumpuan sewaktu pameran EICMA 2021 di Milan yang berlangsung November tahun lalu.

Ini kerana jenama motosikal China itu memaparkan prototaip SR-C21 yang sekaligus menarik perhatian pengunjung.

Prototaip SR-C21 itu tampil dengan beberapa komponen premium antaranya brek Brembo, sistem ekzos SC Project dan paparan skrin TFT.

Pada masa sama, rata-rata berpendapat SR-C21 itu akan dikuasakan enjin LC8 790cc hasil kerjasama dengan KTM.

Dalam perkembangan terbaru, jentera prototaip itu telah pun dikesan menjalani ujian di China.

Bagaimanapun, dari segi imej dikongsikan, jentera tersebut ternyata kehilangan beberapa komponen premium yang terdapat pada versi prototaip.

Antaranya ekzos berkembar SC Project sebelum ini digantikan dengan ekzos tunggal yang ditempatkan di bahagian sisi manakala cakera brek berkembar dengan brek Brembo juga digantikan dengan cakera brek tunggal.

Namun, apa yang paling mengecewakan adalah SR-C21 itu akan dikuasakan enjin parallel-twin 450cc, berbeza dengan tanggapan awal yang berpendapat model itu akan dijana enjin LC8 790cc KTM.

Apa pun, dengan pendedahan terbaru ini menyaksikan CFMoto SR-C21 ini akan menjadi pesaing baharu bagi segmen sportsbike 400cc antaranya Kawasaki Ninja 400.

Bagi yang mengikuti perkembangan Rali Dakar 2022 yang sedang berlangsung ketika ini, pastinya nama pemandu Toyota Gazoo Racing, Giniel De Villiers antara mencuri tumpuan.

Ini kerana De Villiers telah terlibat dalam dua insiden perlanggaran membabitkan dua pelumba motosikal dalam dua peringkat perlumbaan.

Kemalangan bukan perkara baru mahupun mengejutkan di Rali Dakar namun apa yang membuatkan penganjur berang adalah tindakannya De Villiers yang langsung tidak memberhentikan kenderaannya dalam kedua-dua insiden.

De Villiers melanggar Cesar Zumaran sewaktu pelumba itu sedang cuba menghidupkan jentera KTM miliknya di Stage 1B. Kejadian tersebut turut dirakam dan tular di media sosial.

Pada Stage 2, De Villiers telah melanggar seorang pelumba motosikal Mohamedsaid Aoulad Ali dan berlalu pergi.

Meskipun Ali tidak sempat membaca plat kenderaan tersebut namun telemetri mengesahkan kereta tersebut milik De Villiers.

Berdasarkan kejadian kemalangan di Rali Dakar sebelum ini, adalah kebiasaan untuk si pelaku menjadi individu pertama yang menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Namun dalam kes De Villiers, dia serta merta meneruskan perlumbaan tanpa menghiraukan pelumba yang dilanggarnya.

Meskipun De Villiers sekadar dikenakan penalti lima minit bagi kesalahan pertama namun penganjur membuat keputusan untuk menetapkan penalti lima jam bagi insiden kedua.

Penalti itu secara langsung membuat De Villiers tidak berpeluang untuk menduduki tempat yang baik bagi Rali Dakar edisi kali ini.

MForce Bike Holdings telah pun mengsahkan bakal menjadi pengedar eksklusif rasmi jenama Moto Morini di Malaysia.

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan semasa, Moto Morini merupakan jenama motosikal Itali yang dibangunkan Alfonso Morini di Bologna sekitar tahun 1937.

Ketika ini terdapat beberapa buah motosikal berkuasa tinggi di bawah payung Moto Morini antaranya Corsaro ZT, Corsaro ZZ, Milano dan Super Scrambler dengan kesemuanya dikuasakan enjin V-Twin 1,200cc.

Bagaimanapun, model yang paling mencuri tumpuan adalah X-Cape 650 yang telah pun didedahkan kepada umum di EICMA pada November tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan MForce yang dikeluarkan hari ini, X-Cape 650 akan turut masuk pasaran tempatan sekitar suku kedua 2022 yang sekaligus bakal menarik perhatian peminat ADV di Malaysia.

Moto Morini X-Cape 650 didatangkan dengan gabungan tayar 19″ depan dan 17″ belakang dan dipadankan bersama fork Marzocchi 50mm boleh laras depan dan penyerap hentakan belakang KYB. Sementara sistem membrek pula hadir dengan brek kaliper Brembo dengan sokongan ABS.

Ketinggian tempat duduk diletakkan pada 845mm bagi menjaminkan tunggangan selesa atas jalan raya dan off-road.

Antara ciri menarik lain:

  • Tangki 18L
  • paparan skrin TFT 7-inci
  • kerangka steel trellis dengan swingarm aluminium

X-Cape 650 ini dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang berupaya menghasilkan 60hp pada 8,250rpm dan 56Nm pada 7,000rpm.

Pemilihan MForce sebagai rakan pengedar Moto Morini di Malaysia dijangka bakal mengukuhkan kedudukan sebagai pengedar terkemuka di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad, MForce telah pun mencatatkan peningkatan jualan lebih 25 peratus bagi tahun 2021 berbanding tahun 2020.

Boon Siew Honda mengemaskini Honda X-ADV bagi tahun 2022 dengan pilihan warna baharu, Mat Ballistic Black Metallic.

Pilihan warna baharu itu sertai Pearl Deep Mud Grey dan Grand Prix Red sedia ada.

Meskipun warna baharu namun X-ADV masih mengekalkan spesifikasi sama bagi tahun 2022.

Honda X-ADV 2022 ini dikuasakan enjin parallel-twin 745cc SOHC 8-valve dengan penyejukan cecair yang berkemampuan menghasilkan 57hp pada 6,750rpm dan 69Nm pada 4,750rpm.

Kuasa kemudiannya disalurkan kepada tayar belakang melalui transmisi 6-kelajuan DCT (Dual-Clutch Transmission).

Fungsi Throttle-by-Wire pula menawarkan empat mod tunggangan, Standard, Sport, Rain dan Gravel serta satu mod USER yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Honda Smartphone Voice Control (HSVCS)
  • lampu LED dengan DRL (daytime running light)
  • penghadang angin boleh laras
  • ruang letak baragn 22L
  • port pengecas USB

Honda X-ADV ini juga tampil dengan ciri premium antaranya ABS, fork depan jenis USD 41mm, swingarm Pro-Link dan Emergency Stop Signal (ESS).

Honda X-ADV 2022 ini ditawarkan pada harga RM67,799.

Qianjiang Motorcycles bakal menjadi pengeluar motosikal China kedua untuk sertai Kejuaraan Dunia Moto3 bagi musim 2022.

QJ Motor bakal merancakkan saingan Moto3 musim akan datang bersama-sama CFMoto yang telah pun mengesahkan penyertaan sebelum ini.

Seperti CFMoto, QJ Motor juga akan bertanding dengan jentera KTM CR250GP yang telah dijenamakan semula.

QJ Motor juga akan berganding bahu bersama pasukan Avintia Esponsorama Moto3 dan akan mempertaruhkan gandingan Matteo Bertelle dan Elia Bartolini yang juga merupakan protege akademi VR46.

Sebelum ini, CFMoto turut mengesahkan penyertaan dan akan bersaing bersama pasukan Prustel GP.

Susulan pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal pemasangan tempatan bawah 150cc telah pun berakhir pada 31 Disember 2021, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengemas kini senarai harga bagi beberapa model terlibat.

Antara motosikal yang terlibat adalah Yamaha 135LC, Ego Avantiz, Ego Gear, NVX dan NMax.

Menurut HLYM, harga bagi Yamaha 135LC SE meningkat kepada RM7,548 berbanding RM6,868 sebelum ini.

Sementara itu, Yamaha Ego Avantiz dan Ego Gear masing-masing turut memaparkan peningkatan kepada RM5,536 (dari RM4,873) dan RM5,998 (dari RM5,418).

Pada masa sama, Yamaha NVX versi ‘non-ABS’ dan NMax juga meningkat kepada RM9,298 berbanding RM8,998 sebelum ini.

Bagaimanapun, HLYM memaklumkan bahawa tiada perubahan harga dikenakan bagi model Lagenda dan Y15ZR.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube