Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2022 telah pun dilancarkan di Vietnam dan tampil dengan dua pilihan warna baharu.
Vietnam sertai Indonesia, Thailand dan Filipina yang menawarkan model suku liter empat silinder itu sejak diperkenalkan secara global pada Julai 2020.
Bagaimanapun, setakat ini model itu masih lagi tidak muncul di pasaran Malaysia apatah lagi pengurusan Kawasaki telah pun beralih tangan ke Modenas.
Modenas juga selaku pengedar baharu masih berdiam diri tentang perancangan seterusnya bagi jenama motosikal Jepun itu di Malaysia.
Setakat ini, Modenas dikenal pasti akan membuat beberapa penjenamaan semula model 250cc hingga 650cc namun tidak pasti sama ada perancangan itu babitkan ZX-25R atau tidak.
Sementara itu, ZX-25R SE 2022 tampil dengan pilihan warna Twilight Blue dan Silver Fusion di Vietnam dan sertai pilihan warna Metallic Black dan KRT Edition sedia ada.
Menurut info, Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2022 ini ditawarkan pada harga VND 191,000,000 (RM34,900).
Pelumba negara, Adam Norrodin, tidak akan terlibat dengan Kejuaraan CEV Moto2 Eropah bagi musim 2022 setelah kontraknya bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak disambung.
Senario itu juga menyaksikan harapan Adam untuk sertai Kejuaraan Dunia MotoGP juga terkubur.
Selain tidak disambung kontrak dengan SIC, Adam yang sebelum ini bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC juga berdepan kesukaran mencari pasukan baharu dan penaja.
Hal ini kerana menurut Adam, kekangan masa itu timbul ekoran SIC hanya bangkitkan isu kontrak baru-baru ini setelah semua pasukan telah pun mengesahkan perancangan musim 2022.
Namun, Adam enggan salahkan sesiapa sebaliknya enggan berputus asa dan akan terus mengadakan perbincangan dengan pasukan lain demi kelangsungan kariernya.
“Saya tak salahkan sesiapa. Saya tahu SIC juga mempunyai kekangan. Cuma saya memang sangat berharap untuk meneruskan kerjaya saya dalam dunia permotoran ini.
“Sebab motosikal ini adalah karier saya dan saya sudah lama berkecimpung dalam dunia ini. Jika boleh memang saya tak mahu berhenti,” ujar Adam.
Meskipun nasib tidak menyebelahi pelumba berusia 23 tahun itu namun Adam bertegas enggan mengaku kalah.
“Walaupun peluang untuk ke MotoGP sudah tiada lagi, saya tak nak berputus asa dengan karier saya.
“Saya akan cuba dapatkan tempat kosong untuk membolehkan terus berlumba. Kalau tak ada rezeki dalam MotoGP mungkin ada rezeki saya di tempat lain,” tambahnya.
Sementara itu, Adam juga berharap dapat beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sekiranya berpeluang. – HM
Tahun 2021 menyaksikan pelbagai model baharu diperkenalkan untuk pasaran dunia.
Eropah merupakan pasaran yang terdahulu menerima ketibaan model 2021 antaranya Triumph Trident 660, Aprilia Tuono 660, Suzuki Hayabusa 2021 dan Triumph Speed Triple 1200 RS.
Pengeluar motosikal Itali, Ducati juga tidak terkecuali apabila melancarkan Multistrada V4, Monster 937 dan SuperSport 950 untuk pasaran dunia.
Meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19 namun pasaran motosikal dunia masih menerima permintaan tinggi.
Bagaimanapun, bagi mengenal pasti model mana yang memberi impak besar, 10 media motosikal Eropah telah diberi penghormatan untuk memilih motosikal terbaik Eropah bagi tahun 2021.
Selepas undian dikumpulkan, Ducati Multistrada V4 S muncul motosikal terbaik bagi tahun 2021.
Ikuti reviu penuh Ducati Multistrada V4 2021 di bawah:
Motosikal segmen ‘adventure-touring’ itu diangkat sebagai motosikal terbaik di Eropah bagi tahun 2021 diikuti Harley-Davidson Pan America 1250 dan Yamaha Tracer 9 GT ketiga.
Sementara itu, Ducati Monster baharu duduki tempat keempat diikuti Aprilia RS 660 kelima dan Triumph Trident 660 keenam.
Tempat ketujuh jadi milik Yamaha MT-09 2021 manakala Triumph Speed Triple 1200 RS, Honda CRF1100L Africa Twin dan Aprilia Tuono 660 berkongsi tempat kelapan.
Kami juga telah diberi kesempatan untuk menguji kemampuan Ducati Multistrada V4 S 2021 November lalu dan secara peribadi, kami tidak terkejut motosikal ADV dari Ducati itu mampu muncul jentera terbaik Eropah bagi tahun 2021.
Triumph Tiger 1200 merupakan antara motosikal yang dinanti-nanti sejak dilancarkan secara global pada awal Disember tahun lalu.
Ketika itu ramai yang tertanya-tanya bilakah model baharu tersebut akan tiba di Malaysia.
Bagaimanapun, perkongsian terbaru oleh Triumph Motorcycles Malaysia mendedahkan bahawa Triumph Tiger 1200 itu akan tiba sekitar suku kedua tahun ini.
Makluman itu bukanlah satu kejutan tatkala Fast Bike Sdn Bhd (selaku pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia) sering saja membawa masuk model baharu dalam tempoh singkat dari tarikh pelancaran global.
Berita baik itu sekaligus memberi ruang pada peminat Triumph di Malaysia untuk menabung sementara menanti ketibaan model baharu tersebut.
Pembangunan Tiger 1200 kali ini memfokuskan dalam menghasilkan jentera ‘adventure-touring’ yang lebih ringan dan berkuasa di samping menyuntik spesifikasi berkelas dunia.
Hasilnya, Triumph berjaya mengurangkan berat sehingga 25 kilogram berbanding model sebelumnya dan 17kg lebih ringan berbanding pesaing lain.
Di tengah-tengah pembangunan Tiger 1200 terletaknya enjin dengan ‘crank T-Plane’ baharu yang sebelum ini diperkenalkan pada varian Tiger 900.
‘Crank T-Plane’ membolehkan enjin menghasilkan ‘rev’ yang lebih efisien dan bertenaga ketika rpm rendah dan tinggi.
Enjin 1160cc itu kini menghasilkan 147hp pada 9,000rpm dan 130Nm pada 7,000rpm – naik 8.5hp dan 8Nm berbanding generasi sebelumnya.
Bagi tahun 2022, Tiger 1200 kini tampil dengan varian GT dan Rally serta versi Explorer yang tampil dengan tangki 30L serta menawarkan ciri elektronik tambahan.
Tiger 1200 GT dan GT Pro dilengkapi suspensi Showa separa-aktif elektronik di samping tayar 19-inci depan dan 18-inci belakang manakala Rally dan Rally Pro didatangkan bersama tayar 21″ depan dan 18″ belakang dengan rim jenis ‘wire-spoke’ (lidi) tubeless.
Sementara itu, Tiger 1200 Explorer pula lengkap dengan ciri keselamatan ‘blind spot detection system’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure S dan BMW R 1250 RT.
Pasukan Sepang Racing Team (SRT) secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada MotoGP selepas enam musim.
Bekas prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali menyifatkan meskipun pengakhiran itu bukanlah sesuatu yang diingankannya namun semua pihak perlu menerima hakikat tersebut.
Ketika SRT disahkan tidak lagi bertanding di MotoGP, rata-rata meluahkan rasa kecewa kerana senario itu menyukarkan lagi peluang untuk menyaksikan pelumba tempatan beraksi di MotoGP.
Namun, Razlan mengharapkan ada pihak lain yang mampu meneruskan misi itu.
“Kami mahu melakukan lebih lagi terutama sebagai platform buat pelumba Malaysia tetapi malangnya situasi tidak membenarkan untuk kami terus berusaha meletakkan pelumba Malaysia ke Kejuaraan Dunia 2022.
“Kami berharap akan ada pihak tertentu yang boleh mengambilalih peranan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Razlan turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat sama ada yang menyokong atau membenci perjalanan SRT selama ini.
“Terima kasih juga kepada semua peminat pasukan terutama kepada yang membenci.
“Ia menunjukkan minat mereka terhadap MotoGP dan pasukan sebenarnya sangat kuat.
“Peminat MotoGP beremosi serta vokal dan itu menjadi sebahagian daripada permainan.
“Kami disanjung apabila dapat melakukan yang terbaik dan dibenci apabila sebaliknya atau sekiranya tidak ada pelumba Malaysia.
“Kami tidak boleh memenangi hati semua penyokong namun kami sudah mencuba sebaik mungkin,” tambah Razlan.
Meskipun SRT terkubur namun Razlan bakal meneruskan karier di MotoGP sebagai pengendali RNF MotoGP Racing Team bersama dua tonggak baharu, Andrea Dovizioso dan Darryn Binder bagi musim 2022. – HM
Kalendar MotoGP musim 2022 semakin membuka tirai bermula dengan sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari.
Bagaimanapun, menjelang ujian rasmi tersebut, sudah mula beberapa khabar angin mengenai pasukan dan pelumba di MotoGP.
Dalam satu sesi perbincangan menerusi program Bar Sport, pengurus MotoGP, Carlo Pernat mendedahkan Honda sedang mengintip beberapa pelumba baharu.
“Honda sedang terdesak untuk cuba mendapatkan seorang pelumba yang mampu menghadirkan kemenangan,
“Terdapat dua nama disebut; (Fabio) Quartararo dan (Joan) Mir, tetapi peluang lebih tinggi untuk Mir sertai Honda kerana dia tidak menelan belanja yang tinggi dan dia juga merupakan calon tepat.
“Secara peribadi, senario ini akan ditentukan sebaik sahaja Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2022 bermula,” jelasnya.
Bagi Pernat, Honda tidak boleh bergantung kepada Marc Marquez seorang sahaja apatah lagi keadaan fizikalnya masih lagi tidak dapat dipastikan.
“Buat masa ini tiada perkabaran bilakah Marc (Marquez) akan dibenarkan kembali. Apabila tiada khabar berita bermakna tiada perkembangan positif buat masa ini.
“Saya rasa Marquez juga tidak akan terlibat dengan sesi ujian rasmi di Sepang,” tambahnya.
Ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 6 Februari depan.