Royal Enfield Himalayan sememangnya antara model paling popular di India dan beberapa negara lain ekoran didatangkan dengan harga mampu milik di samping sesuai digunakan untuk apa jua keadaan.
Bukan itu sahaja, enjin satu silinder 411cc yang menghasilkan 24.3hp itu cukup popular dikalangan penunggang baharu.
Bagaimanapun, baru-baru ini, media di India melaporkan Himalayan bakal disuntik dengan enjin parallel-twin 650cc yang diambil dari model The Twin, Interceptor dan Continental GT.
Menurut laporan BikeWale, projek pembangunan motosikal baharu ini telah pun bermula di kilang RE di Chennai.
Menariknya, projek ini sebelum ini tidak pernah dirancangkan namun langkah tersebut diambil setelah RE mengorak visi dan objektif baharu memasuki 2021.
Difahamkan, Himalayan 650 ini akan tampil dengan dua varian berlainan, model ADV dan sports-tourer. – BikeWale
Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 menunjukan kenaikan sejak beberapa hari lalu.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan kadar Rt meningkat kepada 0.91 pada Selasa berbanding 0.86 yang dicatat Khamis lalu.
Setakat ini, Rt tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan masing-masing pada 1.02 diikuti Melaka (0.99), Putrajaya (0.96), Selangor (0.95) dan Sabah (0.93).
Meskipun kadar kebolehjangkitan meningkat namun portal COVIDNOW menunjukan jumlah kes harian dan kemasukan ke hospital masih mencatatkan trend penurunan. – BH
Triumph Motorcycles bakal mengumumkan beberapa motosikal bersesaran kecil dan sederhana dengan kerjasama pengeluar motosikal India, Bajaj Auto.
Triumph dan Bajaj telah pun menandatangani perjanjian pada Januari 2020 untuk membangunkan beberapa model ‘baby’ Triumph yang bersesaran di antara 200cc hingga 750cc.
Bagaimanapun, faktor pandemik Covid-19 memaksa pembangunan model baharu ditangguh ke tarikh baharu.
Namun, dalam perkembangan terbaru, Ketua Pengurusan Penjenamaan Triumph Motorcycles, Miles Perkins mendedahkan bahawa kerjasama itu akan berjalan seperti yang dirancangkan sebelum ini.
“Saya telah pun melihat sendiri jentera prototaip dan pembangunan jentera jadi segalanya masih mengikut jadual.
“Kami cuma masih belum mengesahkan model mana yang akan dibangunkan dan tarikh pelancaran, tetapi pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.
Lebih menarik, model kerjasama Triumph dan Bajaj ini bukan sahaja akan dijual di pasaran tertentu sebaliknya di seluruh dunia sekaligus menyaksikan Malaysia berpeluang cerah untuk menerima model baharu itu nanti.
Bagaimanapun, ketika ini Triumph juga giat memperkenalkan model 2022 bermula dengan Tiger Sport 660 dan akan datang Tiger 1200.
Yamaha bakal memperkenalkan MT-10 dan MT-10 SP 2022 yang dikemas kini dengan enjin lebih berkuasa dan reka bentuk baharu.
Perkara itu disahkan menerusi dokumen yang telah difailkan baru-baru ini.
Berdasarkan dokumen tersebut, model MT-10 dan MT-10 SP dibezakan dengan kod RN78 A dan RN78 B menggantikan kod RN45 A dan RN45 B yang digunakan bagi model sebelum ini.
Spesifikasi dinyatakan menunjukkan bahawa versi SP dan standard dibezakan dengan penggunaan komponen yang lebih premium namun kedua-duanya masih dihidupkan enjin CP4 998cc yang diambil dari YZF-R1.
Bagaimanapun, dokumen tersebut mendedahkan generasi baharu MT-10 ini tampil lebih berkuasa, 164hp dan 112Nm berbanding 158.2hp dan 111Nm sebelum ini.
Peningkatan kuasa itu juga dipercayai disumbangkan oleh sistem ekzos serba baharu.
Pada masa sama, peningkatan kuasa ini juga telah meningkatkan kelajuan maksima jentera kepada 250km/j berbanding 245km/j pada model sebelumnya.
Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan gambar model baru itu namun melihat kepada ukuran dimensi dinyatakan, MT-10 2022 ini pastinya sah hadir dengan rekaan serba baharu selaras dengan kemas kini yang dilaksanakan terhadap varian MT-07 dan MT-09 2021.
Sementara itu,dokumen itu turut menyatakan MT-10 2022 ini tampil 2 kilogram lebih berat dengan 212kg bagi model standard dan 214kg bagi model SP.
Suzuki Hayabusa 2021 tiba di pengedar rasmi Suzuki Malaysia dengan harga RM111,200.
Harga tersebut diumumkan beberapa pengedar rasmi Suzuki Malaysia di laman sosial Facebook, hari ini.
Bagi tahun 2021, generasi ketiga Hayabusa ini tampil dengan penggunaan lampu LED penuh (depan dan belakang).
Suzuki turut menaik taraf enjin 4-inline 1,340cc Hayabusa bagi mencapai standard Euro 5 yang kini menawarkan 187.4hp pada 9,700rpm dan 150Nm pada 7,000rpm.
Angka tersebut sedikit menurun berbanding Hayabusa generasi kedua yang menawarkan 194hp dan 155Nm.
Bagaimanapun, enjin 16 Valve DOHC dengan penyejukan cecair itu kini lebih tahan lasak serta menawarkan pembakaran minyak lebih efisien dan mampu merekodkan kelajuan maksima (nominal) 299km/j.
Antara langkah pembaharuan diambil adalah dengan mengurangkan 1mm diameter dalam throttle body dan memanjangkan panjang paip intake kepada 12mm.
Menurut Suzuki, langkah ini melancarkan aliran kuasa enjin pada kelajuan rendah dan pertengahan.
Penggunaan Suzuki Side Feed Injector (S-SFI) juga menyumbang kepada peningkatan output kuasa serta tork.
Hayabusa 2021 ini turut didatangkan dengan sistem Ride-by-Wire Electronic Throttle dan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang membantu meningkatkan respon enjin serta menjamin pertukaran gear yang lebih efisien.
Menariknya, Suzuki mengekalkan penggunaan kerangka twin-spar dan swingarm jenis aluminium.
Antara ciri menarik lain ditawarkan:
fork depan KYB (upside down) dengan salutan Diamond-Like-Carbon
monoshock belakang KYB
tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22
gabungan meter jenis analog dan skrin TFT berwarna