Bikesrepublic

Berita Terkini

Piaggio Group mengesahkan bakal terlibat dengan pameran motosikal terbesar dunia EICM 2021 yang akan berlangsung di Milan, November ini.

Pengumuman itu menyaksikan jenama seperti Aprilia, Moto Guzzi dan Vespa akan turut serta menghangatkan acara terbesar motosikal dunia itu bersama-sama beberapa jenama lain yang telah pun mengesahkan penyertaan sebelum ini.

EICM 2021 dijangka menjadi tumpuan hangat selepas edisi 2020 dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, dengan kekangan pergerakan telah pun dilonggarkan, EICMA 2021 akan berjalan seperti dijadualkan yang sebelum ini telah pun mengesahkan beberapa barisan jenama besar antaranya, Triumph Motorcycles, Honda, Yamaha, Fantic, Motori Minarelli, Kymco, MV Agusta, Royal Enfield dan Benelli.

Seperti edisi sebelum ini, EICMA bakal menjadi platform bagi beberapa jenama besar untuk mempamerkan model baharu termasuk jentera konsep yang akan dipasarkan kelak.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan pilihan warna baharu bagi model naked, MT-15 dan MT-25.

Bagi Yamaha MT-15, motosikal tersebut kini tampil dengan tiga warna baharu membaitkan, biru hitam dan kelabu.

Sementara MT-25 tampil dengan pilihan warna Yamaha Blue dan Storm Fluo.

Bagaimanapun, tiada perubahan spesifikasi diumumkan sekaligus menyaksikan MT-15 kekal menawarkan enjin silinder tunggal 155cc dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm.

Manakala MT-25 digerakkan enjin 249cc yang menjana 35hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm.

Masing-masing menawarkan transmisi manual 6-kelajuan.

Menurut HLYM, Yamaha MT-15 dan MT-25 masih lagi mengekalkan harga jualan RM11,988 dan RM21,500.

Persoalan peminat motosikal berkapasiti 150cc akhirnya terjawab apabila Suzuki Malaysia memaklumkan bahawa tiga model baharu, Belang 150, GSX-R150 dan GSX-S150 akan mendarat di Malaysia awal tahun depan.

Perkara itu diumumkan pihak Suzuki Malaysia menerusi siaran strim langsung ketika memperkenalkan Hayabusa, V-Strom 1050XT dan GSX-S1000 yang juga akan dilancarkan lewat tahun ini.

*Suzuki GSX-S150

Menariknya, sewaktu tayangan strim langsung tersebut, tiga model 150cc itu telah melintas di belakang kedua-dua panel lalu memberikan keterujaan kepada peminat Suzuki di Malaysia.

*Suzuki Belang 150

Ini sekaligus satu perkembangan yang mengujakan apatah lagi sudah sekian lama mengharapkan Belang 150, GSX-R150 dan GSX-S150 dilancarkan di Malaysia.

*Suzuki GSX-R150

Pada masa sama, pihak Suzuki Malaysia menjelaskan ketiga-tiga model berkapasiti 150cc ini sepatutnya dilancarkan lebih awal faktor Covid-19 telah mengganggu proses persiapan.

Selepas hampir setahun khabar angin mengenai Transalp 750 dibangkitkan, rupa lebih jelas motosikal itu akhirnya didedahkan.

Majalah penerbitan Jepun, Young-Machine, sekali lagi berjaya mendapatkan imej jelas Transalp 2022 itu yang dijangka akan diperkenalkan kepada umum hujung tahun ini di EICMA 2021.

Meskipun Honda mengunci mulut mengenai model baharu tersebut, namun itu tidak menghalang Young-Machine untuk membuat pendedahan lebih awal.

Walaupun info mengenai motosikal baharu itu masih belum jelas, namun berdasarkan laporan sebelum ini, Transalp 2022 ini bakal tampil dengan enjin parallel-twin 750cc yang sama diguna pakai pada NC750X.

Bukan itu sahaja, Honda juga dijangka memperkenalkan dua jenis transmisi, manual dan DCT (dual-clutch transmission).

Berdasarkan imej tersebut, Transalp akan meneruskan DNA model terdahulu, mengekalkan elemen ‘adventure’ yang lebih agresif antaranya rim jenis spoke (lidi) dan suspensi dengan perjalanan yang lebih panjang.

Apa pun, Honda dijangkakan mendedahkan Transalp 750 2022 ini di Milan pada November ini.

Kerajaan akan membina satu laluan lencongan di laluan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands yang telah ditutup ekoran runtuhan jalanan.

Perkara itu disahkan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta, Ir Jeffryl Azniel Adzar yang memaklumkan pembinaan akan berjalan minggu depan selepas memastikan cerun berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, tarikh pembukaan laluan tersebut belum ditentukan.

“Tarikh bila laluan itu boleh dibuka, juga bergantung kepada pemantauan di kawasan tersebut,” jelas Jeffryl.

Hujan berterusan jadi punca laluan tersebut runtuh sekaligus membahayakan pengguna jalan raya lain sebelum arahan penutupan dilaksanakan dan laluan Jalan Tapah-Cameron Highlands menjadi alternatif sementara. – UTUSAN ONLINE

Seorang pesawah dari Padang Sanai, Kedah telah dihadiahkan sebuah motosikal selepas menjadi penerima vaksin yang ke-49,900 di daerah tersebut.

Motosikal jenis Honda Wave itu turut diserahkan kepadanya oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mohd Isham Md Isa, 44, akui terkejut dengan pemberian hadiah tersebut apatah lagi sedang bertungkus lumus mengumpul duit selama beberapa tahun untuk membeli motosikal baharu.

“Saya memang sedang mengumpul wang untuk membeli motosikal baharu sejak beberapa tahun lepas. Motosikal terpakai yang saya beli sejak lima tahun lepas digunakan untuk ke sawah padi dan semakin uzur,” jelasnya.

Menurut Isham, dia akan menggunakan motosikal tersebut sebaik mungkin terutamanya untuk ulang-alik dari Hospital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan masalah kesihatan.

Sementara itu, Mahdzir menjelaskan pemberian hadiah tersebut adalah bagi meraikan kejayaan mencapai sasaran pemberian vaksin Covid-19 di daerah Padang Terap. – SH

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube