Peminat MotoGP mungkin perasan ada sebuah Italjet Dragster dalam warna Gresini Racing Team di latar belakang semasa pusingan GP Perancis. Dan sekarang secara rasminya, Italjet Dragster Gresini MotoGP Replica dilancarkan.
Italjet dan Gresini menjadi rakan kongsi awal tahun ini, lantas melahirkan replika yang memakai warna yang sama dengan motosikal perlumbaan Gresini Ducati GP16 MotoGP.
Motosikal ini boleh didapati dalam dua varian merentasi banjaran modelnya, iaitu versi standard dan versi edisi terhad. Edisi standard boleh didapati untuk Italjet Dragster 125, 200, dan 300, yang juga mamakai warna Gresini.
Edisi terhad merupakan versi perdana dan hanya disediakan untuk versi 300cc, dan hanya 75 unit akan dibina. Ia mempunyai suspensi depan dan belakang Öhlins, sistem ekzos Akrapovic, dan penutup tempat duduk belakang dengan sayap “ekor triceratops”. Terdapat juga hologram khas yang memaparkan keaslian motosikal yang diperakui oleh Gresini Racing Team.
Harga Italjet Dragster Gresini MotoGP Replica bermula daripada €6,399 (RM32,333.63) untuk versi 125cc standard kepada €7,499 (RM37,891.74) untuk versi 300cc standard. Edisi terhad pula berharga €9,499 (RM47,996.76).
Sejurus Yamaha NMAX “Turbo” dilancarkan di Indonesia baru-baru ini, terma “Turbo” mencetus banyak pertanyaan yang menunjukkan beberapa kekeliruan. Jadi, mari kita lihat bagaimana sebuah pengecas turbo berfungsi.
Bagaimanapun, NMAX “Turbo” tidak menggunakan pengecas turbo yang sebenar. Sebaliknya, ia adalah mod yang membuatkan transmisi CVT hasilkan tork segera untuk memecut dan memotong.
Terdapat beberapa sebab mengapa pengecas turbo tidak popular di kalangan pembuat motosikal, walaupun terdapat era motosikal yang mengunakan pengecas turbo.
Apakah turbo?
Enjin pembakaran dalaman memerlukan udara untuk berfungsi. Udara disedut masuk, dicampur dengan bahan api dan dibakar. Pembakaran ini menukar tenaga kimia dalam bahan api kepada tenaga haba, yang seterusnya menolak omboh ke bawah untuk memutarkan aci engkol (tenaga kinetik).
Walaubagaimanapun, setiap piston boleh menyedut hanya seberapa banyak udara. Udara yang tidak mencukupi bermakna anda tidak boleh mencampurkan terlalu banyak bahan api, jika tidak bahan api yang tidak terbakar akan terbuang. Oleh kerana udara dan bahan api tidak mencukupi, enjin menghasilkan tork dan kuasa yang terhad.
Turbo mengubahnya dengan memaksa lebih banyak udara ke dalam kebuk pembakaran, untuk dicampur dengan lebih banyak bahan api, jadi enjin boleh menghasilkan lebih kuasa lebih tinggi.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Premis asasnya ialah pengecas turbo menggunakan gas ekzos (daripada dibuang terus) untuk memampatkan udara.
Secara spesifik, pemampat dalam pengecas turbo menekan udara masuk sebelum ia memasuki manifold kemasukan udara.
Komponen utama pengecas turbo ialah:
Turbin – biasanya dengan rekabentuk jejari.
Pemampat – biasanya jenis pemampat emparan.
Hab aci pusat berputar.
Turbin
Bahagian turbin (juga dipanggil “bahagian panas” atau “bahagian ekzos” turbo) ialah tempat daya putaran dihasilkan, untuk turut memutarkan pemampat (melalui aci berputar melalui tengah turbo). Selepas ekzos memutarkan turbin ia terus masuk ke dalam ekzos.
Turbin menggunakan satu siri bilah untuk menukar tenaga kinetik daripada aliran gas ekzos kepada tenaga mekanikal aci berputar (yang digunakan untuk menggerakkan bahagian pemampat). Perumah turbin mengarahkan aliran gas melalui bahagian turbin, dan turbin itu sendiri boleh berputar pada kelajuan sehingga 250,000 rpm.
Pemampat
Pemampat menarik udara luar melalui sistem pengambilan udara dan memampatkannya, dan memaksanya ke dalam ruang pembakaran (melalui manifold masuk).
Hab aci pusat berputar
Hab aci pusat berputar menempatkan aci yang menyambungkan turbin ke pemampat. Aci yang lebih ringan boleh membantu mengurangkan kelambatan galakan turbo (turbo lag). Bahagian juga mengandungi galas untuk membolehkan aci ini berputar pada kelajuan tinggi dengan geseran yang minimum.
Sesetengah hab disejukkan dengan air dan mempunyai paip untuk mengalirkan coolant enjin. Satu sebab untuk penyejukan air adalah untuk melindungi minyak pelincir pengecas turbo daripada menjadi terlalu panas.
Keburukan pengecas turbo
Setiap penyelesaian kejuruteraan mencipta masalah lain. Begitu juga dengan pengecas turbo, maka penggunaannya terhad.
Kelewatan galakan turbo
Kelewatan galakan turbo atau turbo lag merujuk kepada kelewatan yang berlaku antara menekan pendikit dan pengecas turbo untuk memberikan tekanan rangsangan. Kelewatan ini disebabkan oleh peningkatan aliran gas ekzos (selepas pendikit dibuka secara tiba-tiba) mengambil masa untuk memutarkan turbin ke kelajuan di mana rangsangan dihasilkan (disebabkan oleh inersia turbin). Kesan kelewatan galakan turbo melambatkan tindak balas pendikit, justeru melambatkan penghantaran kuasa.
Kemudian, apabila tekanan rangsangan mencukupi, tork enjin meningkat secara tiba-tiba dan menyebabkan kenderaan memecut dengan tiba-tiba yang boleh mengejutkan penunggang.
Terdapat cara untuk mengatasi kelambatan ini,tetapi ia memerlukan banyak teknologi dan menjadi mahal.
Haba
Sistem turbo menjana banyak haba, memerlukan penggunaan minyak yang boleh menahan penyeksaan. Oleh itu, hanya minyak enjin sintetik disyorkan.
Seorang pemuda meluahkan penyesalannya kerana gajinya hanya tinggal RM50 setelah membeli sebuah superbike BMW.
Melalui ciapan pemuda yang berusia 26 tahun itu, gajinya telah mencapai RM6,000 sebulan tetapi dia ingatkan ia mencukupi untuk membeli motosikal idamannya yang berharga RM129,000 (harga untuk BMW S 1000 RR).
Tetapi ia nyata yang dia telah silap bajet. Melalui ciapannya di laman X, “Betul kata orang superbike sebenarnya hobi untuk orang kaya.
“Sekarang baru tengah bulan, lepas renew (baharui) cukai jalan, servis apa semua, duit makan pun tinggal RM50.
“Tak tahu boleh survive sampai hujung bulan ni tak,” beliau mengeluh.
Seperti biasa, netizen cepat memberikan teguran kerana dia tidak mengukur baju di badan sendiri. Ada pula yang mengatakan bahawa superbike kelas itu hanya sesuai bagi mereka yang bukan makan gaji dan dengan pendapatan lima angka setiap bulan.
“Bagilah gaji berapa pun, memang tak cukup kalau boros, tak pandai urus wang. Gaji tinggi, gaya hidup pun tinggi, memang tak cukup,” komen seorang netizen.
Ada yang memberikan nasihat kewangan.
“Secara logiknya RM50 tak lepas sampai hujung bulan. Tapi kalau pinjam atau pakai simpanan boleh je.”
“Jual jelah, jalan terbaik kalau dan membebankan tu,” kata seorang netizen yang lain.
Mula-mulanya dokumen permohonan kelulusan jenis untuk enjin empat silindernya didedahkan, dan kini keseluruhan motosikal sport empat silinder CFMoto 500SR Voom telah didedahkan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, enjin empat silinder selari DOHC-nya dengan gerek 63mm dan lejang 40mm menghasilkan 78 hp.
Spesifikasi lain yang didedahkan dalam dokumen kelulusan menunjukkan bahawa CFMoto 500SR Voom mempunyai jarak roda 1394 mm, serupa dengan motosikal supersport 600cc. CFMoto mendakwa ia seberat 194 kg termasuk bahan api, iaitu kurang sedikit daripada CFMoto 675SR-R yang menggunakan enjin tiga silinder yang akan datang, dengan keberatan 195 kg. Menurut dokumumen itu lagi, kelajuan maksimumnya ialah 210 km/j. Saiz tayar depan dan belakang masing-masing ialah 120/70-17 dan 160/60-17.
Gambar-gambar dalam dokumen menunjukkan dua versi warna iaitu perak/hitam serta biru-hitam. Kedua-duanya menampilkan suspensi KYB dan kaliper brek yang dipasang secara radial berjenama CFMoto. Namun versi perak dan hitam mendapat fork hitam dan penutup enjin gangsa dan roda berwarna gangsa, manakala versi biru mempunyai fork perak, roda putih dengan enjin hitam. Lubang bulat pada depan fairing merupakan adalah salur masuk udara yang digelangi dengan LED DRL. Saluran udara ke kotak penapis udara kelihatan di atas fairing tepi. Lampu utama ialah unit segi empat tepat di bawah hidung.Ini kelihatan amak cantik dan kami boleh menjangkakan versi naked NK tidak lama lagi. Tetapi kami ingin melihat sama ada CFMoto akan membuat varian yang lebih sporty dengan lengan ayun sebelah.
Pengusaha sebuah stesen minyak di Alor Gajah berdepan dengan denda RM1 juta (maksimum) selepas satu video tular menunjukkan seorang pemandu kereta bernombor pendaftaran luar negara mengisi petrol bersubsidi RON95 di sana.
Sehubungan itu, stesen minyak itu telah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar, berkata tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial pada 16 Jun lalu yang mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.
Beliau berkata, video tular itu menunjukkan seorang individu mengisi petrol bersubsidi ke dalam kenderaan bernombor pendaftaran dari negara jiran .
“Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.
“Kesalahan disyaki dibuat jam 4.35 petang, Ahad lalu dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi ‘outdoor payment terminal’ (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Norena berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).
“Kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing,” katanya.
Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition telah lancarkan sebagai penghormatan kepada legenda rock ‘n’ roll itu.
Elvis merupakan seorang peminat motosikal yang tegar dan memiliki beberapa motosikal tetapi Triumph adalah salah satu kegemarannya. Beliau menunggang sebuah Triumph T120 julung kalinya pada tahun 1965 yang dimiliki oleh rakannya Jerry Schilling. Elvis begitu kagum dengan motosikal itu sehingga dia terus memesan T120 untuk setiap rakannya.
Model T120 baharu ini digayakan mengikut persembahan ’68 ‘Comeback Special’ Elvis yang paling ikonik, dimana namanya diterangi dengan mentol merah di atas pentas. Oleh itu, motosikal itu menampilkan huruf emas ‘ELVIS’ dalam cara yang sama dengan lampu pentas tersebut, bersama-sama dengan tandatanganya di atas tangki. Lambang Elvis ‘Taking Care of Business in a Flash‘ juga dipaparkan pada mudguard hadapan motosikal. Rekabentuk ini turut dipaparkan pada rantai leher yang dihadiahkan kepada setiap ahli Memphis Mafianya.
Skim warna Carnival Red diilhamkan oleh Bonneville T120 TT yang dipaparkan dalam wayang koboi-komedi ‘Stay Away Joe‘ serta Bonneville yang dihadiahkan kepada Memphis Mafia pada tahun 1965, selain daripada inspirasi Bonneville custom yang dibina oleh J Daar bagi mengumpul dana untuk yayasan Elvis Presley Charitable Foundation pada tahun 2023.
Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition ini terhad kepada 925 unit sahaja di seluruh dunia, oleh itu nombor sirinya dan tandatangan Elvis Presley diukir pada pengapit bar hendal. Setiap pembeli akan menerima cakera emas Sony dalam sarung rekod Elvis Presley dan Triumph Motorcycles yang eksklusif. Di dalam sarung itu turut terdapat sijil ketulenan yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Triumph Nick Bloor dan Jamie Salter, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ABG, Elvis Presley Enterprises.
Harga ialah £14,495 (RM86,780.70) di atas jalan raya di UK.