Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan sekumpulan motosikal kapcai yang bertandang ke Langkawi telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi.

Operasi tersebut menyaksikan beberapa anggota telah ditempatkan di tapak mendarat feri ke Langkawi.

Berdasarkan video berdurasi 13 saat itu jelas menunjukkan konvoi motosikal kapcai ditahan sebaik tiba di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Menurut laporan BH Online, operasi tersebut menyaksikan 473 saman telah dikeluarkan PDRM terhadap penunggang motosikal yang konvoi ke Langkawi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari yang turut memaklumkan jumlah saman tersebut dikeluarkan selepas melakukan pemeriksaan terhadap semua 1,200 motosikal.

“Mereka tiba melalui tiga perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan dari Kuala Perlis ke Jeti Tanjung Lembung, Langkawi, iaitu pada jam 5 petang, diikuti jam 9 dan 11 malam tadi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 473 motosikal disaman PDRM membabitkan 606 pelbagai kesalahan trafik dengan majoriti tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi,” jelasnya.

Jelas Shariman lagi, rata-rata konvoi motosikal tersebut datang dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

“Sebuah motosikal bukan sahaja tiada nombor pendaftaran, malah digantikan dengan tulisan ‘Langkawi Attack #JB_MARI’,” tambahnya. – BH

Banjir yang melanda negara baru-baru ini menyaksikan puluhan ribu kenderaan terjejas dengan rata-rata rosak setelah ditenggelami air.

Laporan sebelum ini mendakwa lebih 50,000 kenderaan dijangka tersadai pasca banjir.

Bagaimanapun, masih ada sebahagian yang cuba menyelamatkan kenderaan masing-masing dengan menghantar ke bengkel untuk tujuan baik pulih.

Namun, nasib malang menimpa beberapa pemilik kenderaan di Sepang apabila kereta yang ditenggelami air dan lumpur dikompaun Majlis Perbandan Sepang kerana diparkir di hadapan sebuah bengkel.

Perkara itu dikongsikan pengguna akaun Facebook, Ucop MH Tow yang memuat naik video memaparkan beberapa kereta banjir dikenakan kompaun RM10 yang perlu diselesaikan dalam tempoh 7 hari.

Video 1 minit 45 saat itu memaparkan beberapa kenderaan yang jelas tejejas dengan banjir telah diletakkan di depan bengkel bagi tujuan membaik pulih.

Meskipun bukan diletakkan di ruang parkir namun kenderaan tersebut dilihat tidak menghalang lalu-lintas.

Rata-rata netizen juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Majlis Perbandaran Sepang yang dianggap tidak bertimbang rasa dengan apa yang berlaku.

Setelah insiden tarik tali antara VR46 dan Aramco berlarutan hingga tiada penghujung, pasukan baharu di MotoGP itu mengumumkan Mooney selaku penaja utama.

Mooney, syarikat perbankan Itali disahkan sebagai penaja utama VR46 di kelas MotoGP dan Moto2.

Syarikat Itali itu akan memberi sokongan dan tajaan bagi projek MotoGP VR46 yang bakal mempertaruhkan gandingan Luca Marini dan Marco Bezzechi di kelas premier dan Celestino Vietti dan Niccolo Antonelli di Moto2.

“Atas persetujuan, pasukan ini akan dinamakan Mooney VR46 Racing Team. Informasi lanjut akan didedahkan pada 3 Januari nanti,” jelas pasukan VR46 dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini sekaligus menamatkan ketidaktentuan dengan Aramco, yang sebelum ini memuat naik satu kenyataan media mengumumkan VR46 akan membuat penampilan di MotoGP bersama Tanal Entertainment Sport & Media dengan Saudi Aramco.

VR46 akan bertanding di kelas premier dengan jentera Ducati 2022.

Setelah menyedari tahap kerosakan akibat banjir yang dialami pemilik kereta Proton lebih signifikan dari jangkaan, PROTON membuat keputusan untuk meningkatkan bantuan untuk pengguna terjejas.

Untuk itu, PROTON menawarkan diskaun 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model KECUALI Proton X50 dan X70 yang ditawarkan diskaun sebanyak 25 peratus (naik 5 peratus dari sebelum ini).

Pada masa sama, PROTON juga menawarkan diskaun 25 peratus bagi caj buruh (labour charge) untuk semua model selain perkhidmatan tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma.

“PROTON amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan B40.

“Sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan telah diterima oleh pusat servis Proton dan kami menjangkakan banyak lagi unit akan tiba pada hari dan minggu yang akan datang.

“Oleh itu, pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” jelas Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Kelab Peminat Cub Prix Malaysia meminta agar kerajaan negeri Perak mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebuah litar lumba motosikal.

Cadangan tersebut dikemukakan Presiden Kelab Peminat Cub Prix Malaysia, Datuk Ton Zailani Mat Darus.

Menurutnya, pembangunan litar lumba tersebut adalah bagi memenuhi permintaan peminat motosikal berkuasa rendah.

“Saya mencadangkan kawasan sekitar Bukit Merah dipilih bagi mewujudkan sebuah litar lumba motosikal berkuasa rendah kerana strategik.

“Lokasi ini lengkap dengan segala kemudahan yang ada seperti berdekatan dengan Lebuh Raya Utara Selatan dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambah Datuk Ton lagi, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad baru-baru ini.

“Kita telah kemukakan perkara itu kepada Menteri Besar dan mengusulkan Lembah Beriah, Bukit Merah sebagai tapak litar lumba motosikal berkuasa rendah.

“Jika litar lumba ini ada, golongan anak muda yang sukakan aktiviti permotoran dapat mengadakan aktiviti di tempat yang betul dan secara tidak lansung, gejala lumba haram dapat dicegah,” tambahnya. – K! Online

Satu ketika dulu terutamanya pada era 80an dan 90an, pasaran motosikal dunia dibanjiri jentera empat-silinder 400cc.

Pembangunan motosikal seperti itu kemudiannya dihentikan tidak lama selepas itu sehinggalah Kawasaki melancarkan ZX-25R pada Julai 2020.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, sebuah pengeluar OEM di China, Colove, dilaporkan sedang membangunkan enjin empat-silinder 400cc.

Menariknya, laporan di China mendakwa enjin tersebut adalah lebih berkuasa daripada platform 400cc yang terdapat pada Honda CBR400RR, Kawasaki ZXR400 dan Yamaha FZR400 yang rata-rata menawarkan 60hp.

Sebaliknya, enjin dibangunkan Colove ini menawrakan 74hp pada 13,500rpm dan 44Nm pada 12,000rpm.

Kuasa tinggi itu dicapai dengan bore yang lebih bsar dan stroke pendek (59mm x 36.5mm) dan mampu menghasilkan rev yang lebih tinggi berbanding enjin buatan Jepun terdahulu.

Pembangunan platform baharu ini sekaligus memberi bayangan bahawa terdapat beberapa model supersports bersesaran 400cc bakal diperkenalkan pasaran China tidak lama lagi.

Pada masa sama, kemampuan syarikat China membangunkan enjin 4-silinder 400cc yang berkuasa juga secara tidak langsung membuktikan pasaran di negara itu semakin berkembang pesat. – Bennetts

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube