Bikesrepublic

Berita Terkini

Modenas memperkenalkan tiga warna baharu bagi model naked-street, Pulsar NS200 ABS.

Bagi tahun 2021, Pulsar NS200 ABS kini tampil dengan warna Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey. Warna sama yang diperkenalkan Bajaj pada September tahun lalu di India.

Pada masa sama, pilihan warna Plasma Blue dan Burnt Red turut menampilkan rim 17″ berwarna putih dan grafik putih di bahagian sisi tangki.

Bagaimanapun, Pulsar NS200 ABS ini masih mengekalkan penggunaan enjin satu silinder 200cc dengan DTS-i yang menawarkan 24hp pada 9,750rpm dan 18N pada 8,000rpm.

Ciri keselamatan turut dikekalkan terutamanya fungsi Anti-lock Braking System (ABS) yang dipadankan bersama cakera brek 300mm depan dan 230mm belakang.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 12L
  • fork teleskopik depan
  • nitrox monoshock belakang
  • lampu halogen dengan Auto Headlamp On (AHO)
  • berat 158kg

Modenas Pulsar NS200 ABS dengan warna baharu ini masih lagi ditawarkan dengan harga RM9,655 (sebelum cukai jalan dan insurans).

Kawasaki dikatakan bakal memperkenalkan beberapa model baharu menjelang EICMA 2021.

Antara yang disebut bakal diperkenalkan adalah ZX-6R generasi baharu serta beberapa model lain.

Sementara itu, Kawasaki Amerika Syarikat juga akan melancarkan enam model baharu, dua daripadanya adalah jet ski dan ATV.

Bagaimanapun, pengeluar motosikal Jepun itu disahkan bakal menjadikan EICMA 2021 sebagai platform melancarkan tiga model baharu.

Meskipun ketika ini segalanya hanya kekal spekulasi namun pastinya antara model yang akan ditayangkan adalah Z650RS yang telah pun diperkenalkan secara rasmi hari ini.

Pada masa sama, timbul juga dakwaan sejak hujung tahun lalu bahawa Kawasaki turut bercadang membawa teknologi 4-inline kepada Ninja 400 sepertimana yang dilaksankan terhadap ZX-25R.

Namun, apa yang pasti kita hanya perlu menunggu pelancaran tiga model baharu ini di Milan pada November nanti.

Kawasaki akhirnya melancarkan Z650RS 2022 di Eropah yang merupakan keluarga terbaru model retro-klasik jenama Jepun itu.

Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, Z650RS meneruskan kesinambungan rekaan retro yang ditawarkan Z900RS yang telah dilancarkan pada 2018.

Menariknya, Z650RS ini juga dikuasakan enjin parallel-twin 649cc yang sama terdapat pada model Z650 dan Ninja 650 dan hasilnya, menawarkan 67hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.

Bagaimanapun, Kawasaki telah menala semula enjin ini bagi menghasilkan respon yang lebih baik ketika di rpm rendah dan pertengahan.

Seperti model Z650 dan Ninja 650, model baharu ini juga tampil dengan fork depan 41mm serta ‘horizontal link shock’ di bahagian belakang dengan preload boleh laras.

Sistem membrek pula dikendalikan kaliper brek dua piston berkembar di bahagian depan yang mencengkam cakera brek 300mm dan dibantu Bosch ABS dwi-saluran.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh
  • meter analog dengan paparan digital
  • klac assist/slipper
  • ketinggian tempat duduk 820mm

Menurut info, Kawasaki Z650RS ini akan ditawarkan pada harga dari GP7,549 (RM43 ribu) di pasaran UK.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang perhalusi cadangan kebenaran merentas negari pada pertengahan bulan Oktober.

Kebenaran rentas negeri termasuk membuka semula sempadan negara merupakan antara topik yang akan dibincangan lagi minggu ini.

Menurut Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan keputusan mengenai dua aspek ini dalam masa terdekat.

“Rentas negeri berdasarkan kepada data dengan kadar vaksinasi sudah meningkat hampir ke 90 peratus.

“Kalau dimaklumkan tadi, kemungkinan dalam bulan Oktober sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana di Malaysia ini tetapi sentiasa ingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya. – BH

Ducati Malaysia mengumumkan lanjutan waranti tiga bulan untuk pemilik Ducati.

Lanjutan tiga bulan tersebut adalah khas bagi pelanggan Ducati dengan waranti sedia ada bakal tamat tempoh antara Ogos hingga September 2021.

Langkah tersebut merupakan inisiatif terbaru dari Ducati Malaysia bagi membantu pemilik yang sebelum ini berdepan kekangan untuk menghantar motosikal bagi tujuan selenggara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengurus Besar Ducati Malaysia, Dennis Michael, usaha ini adalah berkat sokongan pelanggan terhadap jenama Ducati di Malaysia.

*Pengurus Besar Ducati Malaysia, Dennis Michael (pertama dari kanan)

“Pemilik dan pelanggan kami sentiasa memberi sokongan teguh terhadap jenama Ducati di Malaysia jadi kami berasa terpanggil untuk menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh agar sama-sama dapat mengharungi tempoh pandemik ini.

“Sokongan bersama ini juga membuka jalan kepada pelanggan menikmati pengalaman yang lebih baik kelak,” jelasnya.

Sementara itu pemilik hanya perlu membuat janji temu dengan mana-mana pusat servis Ducati terdekat untuk menikmati lanjutan waranti tiga bulan ini.

Sebarang masalah akan ditangani mengikut yang termaktub dalam perlindungan waranti manakala pelanggan boleh nikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi setiap alat ganti.

Pada masa sama, pelanggan yang hadir untuk tujuan selenggara motosikal juga boleh nikmati diskaun sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian Ducati.

Pengeluar motosikal Taiwan, SYM sah bakal menyertai EICMA 2021 sekaligus memeriahkan acara pameran motosikal terbesar dunia itu.

Ini bermakna SYM sertai, Honda, Yamaha, Suzuki, MV Agusta, Aprilia, Piaggio, Vespa, Moto Guzzi, Benelli, Triumph Motorcycles dan Royal Enfield di Milan pada November ini.

SYM dijangka akan mempamerkan model baharu sedia ada di samping dijangka mendedahkan beberapa model serba baharu yang akan dilancarkan kelak.

SYM merupakan salah satu daripada pengeluar motosikal terbesar dari Taiwan dan telah pun memiliki rangkaian kukuh di serata Asia dan Eropah dengan lima fasiliti terletak di Taiwan, Vietnam, China, Itali dan Jerman.

EICMA 2021 dijangka lebih rancak selepas edisi 2020 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengeluar motosikal telah pun menarik diri lebih awal tahun ini, antaranya KTM dan BMW Motorrad sementara Ducati masih belum mengesahkan penyertaan setakat ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube