Bikesrepublic

Berita Terkini

Francesco Bagnaia akhirnya mengukir nama selaku pemenang perlumbaan MotoGP setelah berjaya mengungguli GP Aragon.

Lebih manis kemenangan tersebut hadir setelah Bagnaia terpaksa berhempas pulas menyekat kemaraan Marc Marquez.

Ketika perlumbaan berbaki tiga lap terakhir, Marquez memintas Bagnaia sebanyak tujuh kali namun jentera GP21 milik pelumba Ducati itu ternyata mempunyai kuasa dan cengkaman yang lebih baik untuk kembali berada di depan.

Ini juga keputusan kedua terbaik buat Marquez setelah memenangi GP Jerman, Jun lalu dalam usahanya untuk kembali mencapai prestasi sebenar menuju ke musim 2022 bersama jentera RC213V.

Sementara itu, juga merupakan kemenangan pertama Ducati di GP Aragon sejak tahun 2000 dan yang ke-250 bagi seorang pelumba Itali di kelas premier.

Tempat ketiga jadi milik pertahan juara, Joan Mir dari Suzuki.

Mir turut berdepan tekanan sewaktu perebutan tempat ketiga dari wakil Aprilia, Aleix Espargaro sebelum mengesahkan kedudukannya.

Kemenangan Bagnaia juga menempatkan dia hanya 53 mata dibelakang pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo yang terpaksa akur di kedudukan ke-8 walaupun bermula di kedudukan ketiga.

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Dua remaja maut setelah kereta jenis Proton Wira Aeroback dirempuh dengan Mitsubishi Triton yang dipandu secara lawan arus dalam kejadian yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan.

Menurut laporan media tempatan, mangsa adalah Nur Afiqah Abd Karim, 18 tahun dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan kedua-duanya beralamat di Klang, Selangor.

Sementara itu, insiden kemalangan tersebut turut dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang berada di lorong bertentangan.

Dalam kejadian tersebut, jelas menampakan sebuah kenderaan pacuan empat roda melawan arus dan memandu dalam kelajuan tinggi sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

Bagaimanapun, pemandu berusia 24 tahun yang berada dalam Mitsubishi Triton tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian tersebut disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa yang berada di bahagian hadapan tersepit dan cedera parah.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa tetapi disahkan meninggal dunia,” jelasnya.

Sementara itu, lelaki berusia 24 tahun yang memandu Triton tersebut telah direman enam hari di samping disahkan positif dadah jenis ganja. – SH

Ketika pelumba lain memilih untuk terbang ke pusingan seterusnya MotoGP di Aragon, Johann Zarco memilih haluan berbeza.

Keputusan oleh majoriti pelumba MotoGP untuk terbang ke destinasi perlumbaan seterusnya dianggap rasional kerana tidak perlu menghabiskan tenaga yang diperlukan untuk beraksi selama tiga hari bermula dengan ujian bebas pada.

Bagaimanapun, lain kisahnya buat Zarco, yang memilih untuk menunggang dengan sendiri ke Motorland Aragon dari Itali dengan menempuh jarak hampir 1,000km.

Lebih mengejutkan, pelumba Ducati itu melakukannya dengan sebuah jentera Ducati 900 SS Darmah 1981 yang telah dipulihkan berbanding model Multistrada yang ternyata lebih sesuai dan selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Pengembaraan itu membawanya ke laluan di Alps dan melalui rumahnya di Andorra kemudian menuju ke Sepanyol.

Menurut Zarco, idea itu datang dari pasukannya sendiri.

“Mereka telah merancang selama beberapa bulan. Idea asal adalah bermula di Itali, merentasi Alps kemudian menuju ke Andorra dan seterusnya ke Aragon.

“Ketika saya diberitahu idea ini, saya terus berminat untuk sertai kerana perjalanan itu tak jauh dari rumah saya,” jelasnya.

Zarco akui perancangan awal adalah menunggang Ducati Multistrada tetapi disebabkan termakan dengan gurauan rakan sepasukan, dia memilih untuk menunggang 900 SS 1981 tersebut.

Meskipun sudah berusia lebih 40 tahun namun jentera Ducati tersebut tidak membawa sebarang masalah sebaliknya pengembaraan tersebut diganggu oleh masalah jentera dialami rakannya yang menunggang BMW.

“Selepas selesai makan malam pada malam pertama, salah sebuah motosikal jenama BMW mengalami masalah, buat malu sahaja,” gurau Zarco.

Meskipun menempuh 950km sebelum tiba di Motorland Aragon, Zarco berjaya menempatkan diri dikalangan 10 pelumba terpantas dalam FP1 sebelum merekodkan masa keempat terpantas di FP2, ketika sesi ujian bebas, semalam.

Moto Guzzi mempunyai perancangan besar bagi tahun 2021 sempena ulang tahun ke-100 namun ekoran pandemik Covid-19, beberapa program terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun, syarikat berpangkalan di Mandello del Lario, Itali itu membuat pengumuman besar antaranya perancangan pembinaan kilang baharu dan muzium serta mendedahkan model pertama dari generasi baharu Guzzi, V100 Mandello.

Meskipun maklumat rasmi hanya akan didedahkan di EICMA pada November ini namun difahamkan, V100 ini dikuasakan enjin V-Twin dengan penyejukan cecair yang mampu menjana sekitar 115hp.

Enjin 1000cc serba baharu tersebut dijangka bakal menjadi platform bagi beberapa model Moto Guzzi lain yang akan didedahkan di EICMA.

Langkah terbaru oleh Moto Guzzi ini dilihat bakal mencorak semula syarikat itu dalam menempatkan diri dikalangan pengeluar besar lain.

Selepas lebih sekian lama penantian, akhirnya Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan Dominar D400 generasi terbaru.

Berbanding dengan model sulung yang diperkenalkan pada 2018, Dominar D400 baharu ini tampil dengan beberapa penambahbaikan dan naik taraf terkini.

Antara ciri yang dikemas kini adalah penggunaan fork jenis upside/down dengan 135mm perjalanan menggantikan fork teleskopik, serta sistem ekzos dua lubang.

Bagaimanapun, ciri paling menonjol adalah bahagian enjin 373.3cc, yang telah dinaik taraf kepada DOCH dengan penyejukan cecair berbanding SOHC dan kini menawarkan 39.4hp dan 35Nm yang kemudiannya dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Peningkatan lebih 5hp ini dijangka memberikan Dominar D400 ini kuasa yang lebih baik lantas meningkatkan pengalaman menunggang.

Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:

  • cakera break 320mm depan dan 230mm belakang
  • ABS dwi-saluran (dual-channel)
  • klac assist dan slipper
  • pad tangki dengan kemasan gentian karbon
  • tangki 13L
  • lampu LED penuh

Sementara itu, paparan digital LCD pada model terbaru ini juga hadir dengan petunjuk gear, speedometer, odometer dan RPM.

Modenas Dominar D400 generasi baharu ini tampil dengan dua pilihan warna, Savanna Geen dan Charcoal Black dan ditawarkan pada harga RM13,997.

Tawaran di Shell Select kini diperkembangkan dengan rangkain baharu termasuk produk daripada 29 usahawan terpilih daripada program ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif Shell Malaysia dalam membantu komuniti mengharungi norma baharu.

Ini termasuklah mengubah stesen Shell kepada ‘one-stop center’ termasuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pelanggan mengisi minyak dan membeli barangan sambil membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengurus Besar Mobiliti, Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming, berbesar hati menjemput usahawan dari program ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’.

“Kami gembira untuk menyambut usahawan dari ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’. Ketika ini kami mempunyai 29 rakan kongsi tempatan yang dipilih dari program tersebut untuk menyalurkan produk mereka di Shell Select.

“Usaha ‘Malaysia untuk Malaysia’ ini membuktikan komitmen kami dalam mencapai keperluan komuniti sedia ada dengan menggabungkan tawaran oleh PKS dan kepelbagaian barangan dapur kami,” jelasnya.

Menurut Shell Malaysia, Shell Select kini menawarkan pelbagai barangan daripada PKS tempatan termasuk burger ayam Joe Flizzow X deli2go, murtabak ayam dengan keju, murtabak kambing dan jus nenas buatan tempatan.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh dapatkan bekalan barangan dapur asas antaranya tepung, gula, biskut, sos sardin, mee, santan serta pelbagai minuman.

Sementara itu, orang ramai kini boleh menikmati pelbagai tawaran istimewa sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia dari 16 Ogos dan 30 September 202 ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube