Bikesrepublic

Berita Terkini

Ketika pelumba lain memilih untuk terbang ke pusingan seterusnya MotoGP di Aragon, Johann Zarco memilih haluan berbeza.

Keputusan oleh majoriti pelumba MotoGP untuk terbang ke destinasi perlumbaan seterusnya dianggap rasional kerana tidak perlu menghabiskan tenaga yang diperlukan untuk beraksi selama tiga hari bermula dengan ujian bebas pada.

Bagaimanapun, lain kisahnya buat Zarco, yang memilih untuk menunggang dengan sendiri ke Motorland Aragon dari Itali dengan menempuh jarak hampir 1,000km.

Lebih mengejutkan, pelumba Ducati itu melakukannya dengan sebuah jentera Ducati 900 SS Darmah 1981 yang telah dipulihkan berbanding model Multistrada yang ternyata lebih sesuai dan selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Pengembaraan itu membawanya ke laluan di Alps dan melalui rumahnya di Andorra kemudian menuju ke Sepanyol.

Menurut Zarco, idea itu datang dari pasukannya sendiri.

“Mereka telah merancang selama beberapa bulan. Idea asal adalah bermula di Itali, merentasi Alps kemudian menuju ke Andorra dan seterusnya ke Aragon.

“Ketika saya diberitahu idea ini, saya terus berminat untuk sertai kerana perjalanan itu tak jauh dari rumah saya,” jelasnya.

Zarco akui perancangan awal adalah menunggang Ducati Multistrada tetapi disebabkan termakan dengan gurauan rakan sepasukan, dia memilih untuk menunggang 900 SS 1981 tersebut.

Meskipun sudah berusia lebih 40 tahun namun jentera Ducati tersebut tidak membawa sebarang masalah sebaliknya pengembaraan tersebut diganggu oleh masalah jentera dialami rakannya yang menunggang BMW.

“Selepas selesai makan malam pada malam pertama, salah sebuah motosikal jenama BMW mengalami masalah, buat malu sahaja,” gurau Zarco.

Meskipun menempuh 950km sebelum tiba di Motorland Aragon, Zarco berjaya menempatkan diri dikalangan 10 pelumba terpantas dalam FP1 sebelum merekodkan masa keempat terpantas di FP2, ketika sesi ujian bebas, semalam.

Moto Guzzi mempunyai perancangan besar bagi tahun 2021 sempena ulang tahun ke-100 namun ekoran pandemik Covid-19, beberapa program terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun, syarikat berpangkalan di Mandello del Lario, Itali itu membuat pengumuman besar antaranya perancangan pembinaan kilang baharu dan muzium serta mendedahkan model pertama dari generasi baharu Guzzi, V100 Mandello.

Meskipun maklumat rasmi hanya akan didedahkan di EICMA pada November ini namun difahamkan, V100 ini dikuasakan enjin V-Twin dengan penyejukan cecair yang mampu menjana sekitar 115hp.

Enjin 1000cc serba baharu tersebut dijangka bakal menjadi platform bagi beberapa model Moto Guzzi lain yang akan didedahkan di EICMA.

Langkah terbaru oleh Moto Guzzi ini dilihat bakal mencorak semula syarikat itu dalam menempatkan diri dikalangan pengeluar besar lain.

Selepas lebih sekian lama penantian, akhirnya Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan Dominar D400 generasi terbaru.

Berbanding dengan model sulung yang diperkenalkan pada 2018, Dominar D400 baharu ini tampil dengan beberapa penambahbaikan dan naik taraf terkini.

Antara ciri yang dikemas kini adalah penggunaan fork jenis upside/down dengan 135mm perjalanan menggantikan fork teleskopik, serta sistem ekzos dua lubang.

Bagaimanapun, ciri paling menonjol adalah bahagian enjin 373.3cc, yang telah dinaik taraf kepada DOCH dengan penyejukan cecair berbanding SOHC dan kini menawarkan 39.4hp dan 35Nm yang kemudiannya dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Peningkatan lebih 5hp ini dijangka memberikan Dominar D400 ini kuasa yang lebih baik lantas meningkatkan pengalaman menunggang.

Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:

  • cakera break 320mm depan dan 230mm belakang
  • ABS dwi-saluran (dual-channel)
  • klac assist dan slipper
  • pad tangki dengan kemasan gentian karbon
  • tangki 13L
  • lampu LED penuh

Sementara itu, paparan digital LCD pada model terbaru ini juga hadir dengan petunjuk gear, speedometer, odometer dan RPM.

Modenas Dominar D400 generasi baharu ini tampil dengan dua pilihan warna, Savanna Geen dan Charcoal Black dan ditawarkan pada harga RM13,997.

Tawaran di Shell Select kini diperkembangkan dengan rangkain baharu termasuk produk daripada 29 usahawan terpilih daripada program ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif Shell Malaysia dalam membantu komuniti mengharungi norma baharu.

Ini termasuklah mengubah stesen Shell kepada ‘one-stop center’ termasuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pelanggan mengisi minyak dan membeli barangan sambil membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengurus Besar Mobiliti, Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming, berbesar hati menjemput usahawan dari program ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’.

“Kami gembira untuk menyambut usahawan dari ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’. Ketika ini kami mempunyai 29 rakan kongsi tempatan yang dipilih dari program tersebut untuk menyalurkan produk mereka di Shell Select.

“Usaha ‘Malaysia untuk Malaysia’ ini membuktikan komitmen kami dalam mencapai keperluan komuniti sedia ada dengan menggabungkan tawaran oleh PKS dan kepelbagaian barangan dapur kami,” jelasnya.

Menurut Shell Malaysia, Shell Select kini menawarkan pelbagai barangan daripada PKS tempatan termasuk burger ayam Joe Flizzow X deli2go, murtabak ayam dengan keju, murtabak kambing dan jus nenas buatan tempatan.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh dapatkan bekalan barangan dapur asas antaranya tepung, gula, biskut, sos sardin, mee, santan serta pelbagai minuman.

Sementara itu, orang ramai kini boleh menikmati pelbagai tawaran istimewa sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia dari 16 Ogos dan 30 September 202 ini.

Ducati Malaysia dikatakan bakal melancarkan beberapa model baharu tahun ini bermula dengan Multistrada V4.

*Ducati Multistrada V4 S

Next Bike Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia telah pun membuka tempahan bagi Multistrada V4 S sebelum ini yang dijangka dilancarkan minggu depan.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, beberapa model baharu lain turut disebut akan dilancarkan antaranya Monster dan SuperSport 950.

Ini disahkan menerusi info harga (jangkaan) yang dikongsikan akaun Facebook Speed House MY.

*Ducati Monster

Berdasarkan perkongsian tersebut, harga bagi Monster bermula dari (jangkaan) RM7X,XXX manakala SuperSport 950 diletakkan pada (jangkaan) RM7X,XXX dan RM8X,XXX bagi SuperSport 950 S.

*Ducati SuperSport 950

Meskipun tiada tarikh pelancaran diumumkan bagi model Monster dan SuperSport 950 itu namun ini perkongsian ini sedikit sebanyak beri bayangan bahawa kedua-dua model ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Nantikan perkembangan lanjut, bermula dengan pelancaran Ducati Multistrada V4 S minggu depan.

Baru-baru ini, Allianz Malaysia telah pun mengumumkan inisiatif bantuan tepi jalan percuma bagi pemegang insurans komprehensif untuk motosikal bawah 250cc.

Inisiatif itu menyaksikan pemegang insurans komprehensif akan mendapat sokongan terbaik menerusi Allianz Road Rangers, dengan menghulurkan bantuan kepada pemilik motosikal yang berdepan masalah.

Langkah terbaru ini menyaksikan setiap pemegang insurans motosikal Allianz Plus serta motosikal Allianz (bawah 250cc) berpeluang menikmati perkhidmatan berikut:

  • bantuan trak penunda kecemasan (percuma sehingga 50km)
  • penghantaran minyak dan bateri
  • servis tayar pancit

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang, pendekatan terbaru ini diambil setelah mengambil kira kepayahan yang dihadapi penunggang kapcai ketika berlakunya kerosakan mahupun kemalangan.

Jelasnya, pengguna kapcai yang berdepan masalah selalunya tiada pilihan selain daripada mengharapkan bantuan penunggang motosikal lain.

“Kerap kali terjadi dimana penunggang tersadai tepi jalan atau terlibat dalam kemalangan.

“Setiap kali ini berlaku, penunggang motosikal lain yang perlu menghulurkan pertolongan.

“Dengan bantuan tepi jalan kami, pengguna motosikal kapcai tak perlu lagi gusar dan hanya perlu menghubungi kami untuk mendapat bantuan sewajarnya,” jelasnya.

Itulah hakikatnya, mentang-mentang bayaran insurans bagi motosikal kapcai tidak setinggi motosikal berkuasa tinggi mahupun kereta, pengguna kapcai tidak diberikan perlindungan atau bantuan sebaiknya.

Bagi Sean, tak salah pun dalam memberi perlindungan ekstra kepada pengguna kapcai.

“Ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada mereka, di samping memaklumkan bahawa kami sentiasa ada jika diperlukan,” tambahnya.

Bagi yang tertanya-tanya bagaimanakah bantuan tepi jalan Allianz ini berfungsi, hanya ikut tiga langkah ini:

Talian bantuan 24 jam

  • Sekiranya terlibat dalam kemalangan, pelanggan hanya perlu hubungi 1-800-22-5542 bagi membolehkan juruteknik atau trak tunda tiba ke lokasi untuk tujuan baik pulih atau bantuan menunda.

Trak tunda Allianz Road Rangers

  • Trak tunda Allianz Road Ranger menawarkan perkhidmatan menunda secara percuma (sehingga 50km), penghantaran minyak, bateri dan servis tayar pancit.

Baucar e-hailing

  • Pelanggan akan diberikan baucar e-hailing untuk digunakan pulang ke rumah dari tempat berlakunya kemalangan atau kerosakan.

Buat masa ini terdapat lebih 190 trak tunda yang sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan terbaik kepada pelanggan yang memerlukan.

Inisiatif ini sekaligus meletakkan Allianz General Malaysia sebagai perkhidmatan insurans yang memberi perlindungan sewajarnya kepada pengguna kapcai di Malaysia.

Bukan itu sahaja, pemegang insurans komprehensif juga akan menerima perlindungan kemalangan sehingga RM10,000 sekiranya berlaku kematian atau kecatatan kekal, serta perlindungan perbelanjaan hospital RM100 setiap hari sehingga 60 hari.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube