Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi khas ‘Ops Merah’ di seluruh negara bagi menangani insiden langgar lampu merah.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli.

Menurutnya, JPJ melihat kesalahan melanggar lampu merah sebagai satu masalah yang serius yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Terdapat 22,656 kes langgar lampu merah direkodkan pada 2019 namun angka itu menurun kepada 12,764 kes susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di Terenggan sahaja, langgar lampu merah adalah kesalahan kedua tertinggi pada Ogos tahun ini sahaja dengan 476 kes,” jelasnya.

Kesalahan langgar lampu merah boleh dikenakan tindakan saman sebanyak RM300 dan denda tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987. –NST

Setelah beberapa tahun penantian, akhirnya muncul sinar di hujung terowong apabila Honda Winner X semakin hampir untuk dilancarkan di Malaysia.

Hal ini kerana terdapat beberapa pengedar yang telah pun mengiklankan pembukaan tempahan bagi model moped 150cc tersebut.

Bagaimanapun, setakat kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi yang diumumkan Boon Siew Honda.

Malah, iklan ‘tempahan dibuka’ bagi Honda Winner X di atas juga sudah dipadam.

Pelancaran Winner X sememangnya dalam jangkaan apatah lagi motosikal tersebut telah pun dikesan menjalani ujian disini.

Apa pun, perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak menggembirakan peminat motosikal di Malaysia yang sekian lama menanti model ini yang telah pun dipasarkan di negara jiran selama beberapa tahun.

Berdasarkan Winner X yang diperkenalakn di Vietnam, motosikal itu dikuasakan enjin 150cc satu silinder PGM-Fi DOHC yang menawarkan 15.4hp pada 9,000rpm dan 13.5Nm pada 6,500rpm.

Model ini turut dilengkapi dengan teknologi ABS (Anti-lock Braking System).

Pengeluar motosikal China, Zongshen, telah mendedahkan sebuah model konsep yang dinamakan Cyclone RA9 di CIMA Motor Show 2021, baru-baru ini.

Zongshen merupakan antara jenama motosikal terbesar di China yang turut menjalinkan kerjasama dengan Piaggio Group.

Kerjasama itu menyaksikan Zongshen bertanggungjawab memasang motosikal Aprilia di China antaranya babitkan model 125 hingga 250cc.

Hasil kerjasama tersebut juga memainkan peranan besar dalam penghasilan Cyclone RA9 yang mengguna pakai kerangka, enjin serta beberapa komponen dari model Aprilia.

Sebagai contoh, chasis jenis tubular steel adalah dari Aprilia Shiver dan Dorsoduro.

Bagaimanapun, Zongshen menerapkan beberapa komponen baharu antaranya ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’ dan reka bentuk yang lebih radikal dengan tempat duduk tunggal.

Cyclone RA9 ini juga bernadikan enjin 987cc V-Twin DOHC dari Aprilia dengan Zongshen mendakwa menawarkan sekitar 112hp pada 9,500rpm dan 97.6Nm pada 7,500rpm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

brek kaliper J.Juan
Bosch ABS dwi-saluran
suspensi boleh laras
berat 215kg

Jenama motosikal China, CFMoto disahkan bakal menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2022.

CFMoto bakal menjadi jenama keempat dibawah payung Pierer Mobility Group selain KTM, Husqvarna dan GASGAS untuk beraksi di perlumbaan dunia itu.

CFMoto akan bekerjasama dengan PruestelGP Team bersama dua jentera binaan KTM yang akan memaparkan jenama motosikal China tersebut.

PruestelGP Team juga akan turut bersaing di bawah bendera China.

Berbanding KTM, Husqvarna dan GASGAS, CFMoto bukanlah syarikat pengeluar motosikal yang termasuk dalam portfolio Pierer Mobility Group namun merupakan antara syarikat yang menjalinkan kerjasama erat dalam penghasilan dan pengedaran motosikal KTM di pasaran Asia.

CFMoto turut membangunkan beberapa model sendiri menggunakan enjin KTM antaranya model adventure 800MT yang dikuasakan enjin 790 Adventure.

Penyertaan CFMoto di Moto3 pastinya mengukuhkan lagi dominasi KTM di kelas itu musim depan apatah lagi ketika ini menguasai tujuh daripada kelompok 10 teratas kelas tersebut musim ini.

Bagaimanapun, masih belum diumumkan siapakah yang bakal membarisi skuad PruestelGP CFMoto bagi musim 2022.

CFMoto menjadi pasukan dari China yang ketiga beraksi di Moto3 selepas Loncin pada lewat 2000 dan Zonghsen pada 2005.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman cadang agar syarat khas dikenakan terhadap pemegang lesen memandu warga emas yang mahu memperbaharui lesen.

Cadangan itu dikemukakan Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias yang memaklumkan syarat khas itu bertujuan menjaga keselamatan golongan berusia dan pengguna jalan raya lain.

Baginya, faktor usia dan kesihatan boleh menyumbang kepada angka kemalangan seperti penyakit ‘alzheimer’ dan masalah mata.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya.

“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” jelasnya.

Antara syarat dicadangkan adalah memendekkan had jangka masa pembaharuan lesen agar penilaian lebih kerap dapat dilakukan terhadap golongan warga emas.

Pada masa sama, warga emas yang mahu memperbaharui lesen perlu ada pengesahan daripada doktor yang membuktikan individu berkenaan masih sihat dari segi fizikal dan mental untuk memandu.

“Sekarang, lesen memandu boleh diperbaharui sehingga tempoh lima tahun. Jika warga emas usia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia,” tambah Azisman. – BH

Benda merupakan antara jenama motosikal terbaru dari China yang pada awal tahun ini telah pun mencuri perhatian dengan melancarkan LFS 700 dan LFC 700.

Benda LFS 700 merupakan motosikal segmen ‘cruiser’ yang dikuasakan enjin inline-4 680cc.

Syarikat itu juga sedang giat membangunkan enjin turbo V-Twin 300cc sebelum ini.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Benda membuat kejutan apabila mendedahkan dua enjin baharu, membabitkan 1,200cc V4 dan 500cc V4 ketika di CIMA Motor show baru-baru ini.

Berdasarkan info dikongsikan enjin 1,200cc V4 tersebut menghasilkan sekitar 151.5hp pada 9,500rpm dan 121Nm pada 7,500rpm dengan nisbah mampatan berada pada 11.5:1.

Kedua-dua enjin 1200cc dan 500cc ini datang dengan tetapan 70-darjah V4 dengan DOHC dan 16-valve.

Buat masa ini, Benda belum mendedahkan model apakah yang bakal mendapat suntikan enjin V4 baharu ini namun melihat kepada barisan sedia ada, pastinya enjin ini akan diguna pakai pada model berkonsepkan ‘sport cruiser’.

Pada masa sama, enjin 1200cc V4 ini juga paling berkuasa pernah dihasilkan di China, mengetepikan 140hp yang ditawarkan CFMoto 1250TR-G yang dilancarkan tahun lalu.

Sementara itu, enjin 496cc V4 pula berupaya menghasilkan 56hp pada 10,000rpm dan 45Nm pada 8,000rpm.

Meskipun jauh lebih kecil berbanding versi 1200cc namun kedua-duanya tampil dengan reka bentuk sama.

Menurut Benda, model baharu yang akan mengguna pakai kedua-dua enjin V4 ini hanya akan didedahkan sekitar tahun depan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube