Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang jururawat dalam perjalanan pulang ke hospital telah merakam suara misteri seorang wanita, walaupun dia berseorangan di situ.

Pengguna TikTok @ainnur287 berkata ketika merakam bahawa dia tak mendengari apa-apa suara.

@ainnur287

?

♬ original sound – Ain Nur

Ain sedang pulang ke Hospital Seberang Jaya selepas menghantar pesakit Covid-19 pada jam 4 pagi dan membuat rakaman untuk mengisi masa dalam perjalanan pulang.

BMW Group telah mendedahkan bahawa hampir semua kilangnya di Jerman kini terjejas akibat kekurangan semikonduktor berpanjangan, mengakibatkan syarikat itu tak dapat menyiapkan pembinaan 10,000 kereta.

Awal bulan ini, ahli lembaga pengeluaran Milan Nedeljkovic berkata kekurangan lanjut berkemungkinan berlaku, dan bekalan semikonduktor berada pada tahap kritikal.

“Pandangan untuk separuh kedua tahun ini juga masih kritikal. Jangkaan awal bahawa keadaan ini akan terkawal dalam masa terdekat kelihatan sukar,” katanya.

Walau dengan kekurangan ini, BMW Group tetap mencatat rekod penjualan dengan 1,339,080 kereta terjual di seluruh dunia dalam enam bulan pertama tahun ini.

Angka itu menunjukkan kenaikan 39.1% dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun 2020, dan kenaikan 7.1% berbanding tempoh pra-Covid, pada enam bulan pertama tahun 2019.

Semua jenama di bawah sayapnya juga melaporkan penjualan yang lebih tinggi.

Sementara itu, Jaguar Land Rover baru-baru ini berkata kekurangan cip yang berlaku kini sangat dinamik dan sukar dijangka.

Beliau menjangka situasi mencabar ini akan berterusan sehingga lewat 2022, dan penghantaran dalam suku kedua akan lebih teruk dari jangkaan awal.

Syarikat otomotif lain seperti Renault, Nissan, Hyundai dan Volkswagen juga memberi amaran tentang inventori akibat krisis bekalan ini yang bermula bulan Disember lepas apabila permintaan alat elektronik melambung di ketika pandemik memaksa kerajaan seluruh dunia menghadkan pergerakan.

Keadaan ini bertambah teruk dengan kebakaran kilang besar di Jepun, cuaca lebih sejuk dari biasa di Amerika Syarikat dan kemarau berpanjangan di Taiwan.

Setakat ini, penganalisa berpendapat kekurangan bekalan ini telah menyebabkan berjuta kenderaan dibatalkan pengeluarannya di seluruh dunia.

Firma perunding AlixPartners pada bulan Mei meramalkan bahawa krisis ini akan menelan kerugian penjualan industri sebanyak US$110 bilion (RM464.8 bilion), memaksa pengeluar kereta untuk merombak strategi mereka yang melibatkan komponen elektronik.

MOTUL FIM Superbike World Championship menyaksikan perlumbaan penuh drama di TT Circuit Assen apabila ia berakhir dengan Jonathan Rea mencapai kemenangan ketiga dalam pusingan Prosecco DOC Dutch, menjadikannya hatrik keempat sepanjang kerjayanya, walaupun beliau berada di tempat kelapan selepas bermula dari posisi pertama.

Di belakangnya, Scott Redding mengambil tempat kedua, diikuti oleh Andrea Locatelli di tempat ketiga, menjadikannya kali pertamaLocatelli naik ke podium.

Toprak Razgatlioglu memulakan perlumbaan dengan baik, tetapi malangnya beliau terkeluar selepas Garret Gerloff melanggarnya di Turn 1.

Gerloff kini berada bawah siasatan oleh FIM WorldSBK dan diberi penalti akibat kejadian ini yang telah memaksa Razgatlioglu keluar dari perlumbaan.

Akibat kejadian ini juga, Rea turun ke tempat kelapan, sementara Locatelli naik ke tempat pertama untuk kali pertama dalam kerjayanya, sehingga pusingan ke-12 apabila Rea memotongnya untuk mencapai hatrik itu setelah mengekorinya di tempat kedua dari pusingan keempat.

Kemenangan ini merupakan kemenangan podium ke-199 bagi Rea, hanya satu kemenangan lagi untuk memecah rekod.

Redding pula berjaya memotong Locatelli dari tempat ketiga pada pusingan ke-19 daripada 21 pusingan, meletakkan Locatelli di tempat ketiga.

Locatelli kini juara WorldSSP pertama mendapatkan tempat podium dalam WorldSBK sebagai pendatang baru sejak Michael van der Mark pada tahun 2015, juga di Assen.

Sementara itu, Chaz Davies telah ketinggalan peluangnya untuk mendapat tempat podium WorldSBK ke-100 dalam perlumbaan ke-100 beliau untuk Ducati.

Davies telah mendapat tempat keempat dengan mengalahkan Alvaro Bautista dengan beza sesaat sahaja.

Belakang Bautista, berlaku rebutan untuk tempat keenam yang berakhir dengan Tom Sykes terkeluar dari perlumbaan setelah beliau terbabas di chicane terakhir dalam perlawanan dengan Michael van der Mark, Alex Lowes dan Michael Ruben Rinaldi.

Akhirnya, van der Mark mendapat tempat keenam, diikuti oleh Lowes dan Rinaldi.

Axel Bassani mencapai tempat kesembilan, dan Leon Haslam mengakhiri senarai 10 teratas di tempat ke-10.

Tito Rabat mendapat tempat ke-11 sementara Kohta Nozane mendapat tempat ke-12.

Leandro Mercado pula mendapat tempat ke-13 dalam kepulangan pertamanya setelah menjalani program ujian dengan pasukannya.

Tempat ke-14 dan ke-15 diambil oleh Isaac Viñales dan Sykes, sementara Andrea Mantovani mendapat tempat ke-16 dan Loris Cresson tamatkan perlumbaan di tempat terakhir.

Gerloff pula terbabas di Turn 9 selepas tamat penaltinya, menyertai Razgatlioglu dalam pesaraan dari Race 2.

Pemenang enam tempat teratas:

  1. Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team WorldSBK)
  2. Scott Redding (Aruba.it Racing – Ducati) +1.605s
  3. Andrea Locatelli (Pata Yamaha with BRIXX WorldSBK) +3.431s
  4. Chaz Davies (Team GoEleven) +8.695s
  5. Alvaro Bautista (Team HRC) +9.584s
  6. Michael van der Mark (BMW Motorrad WorldSBK Team) +12.691s

Pusingan paling pantas: Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team WorldSBK) 1’34.689s

Kedudukan Championship

  1. Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team WorldSBK) 243 points
  2. Toprak Razgatlioglu (Pata Yamaha with BRIXX WorldSBK) 206
  3. Scott Redding (Aruba.it Racing – Ducati) 162
  4. Alex Lowes (Kawasaki Racing Team WorldSBK) 127
  5. Michael Ruben Rinaldi (Aruba.it Racing – Ducati) 111
  6. Garrett Gerloff (GRT Yamaha WorldSBK Team) 105

Penghantar Foodpanda dan Grab kini dilindungi bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui SPS Lindung yang dilaksanakan hasil kerjasama antara PERKESO dan penyedia-penyedia perkhidmatan.

SPS Lindung merupakan program bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

Inisiatif ini diasaskan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan keselamatan sosial bagi individu bekerja sendiri, termasuk rakan kongsi penghantaran dan juga penghantar.

Untuk menggalakkan pendaftaran, sumbangan PERKESO selama setahun berjumlah RM232.80, iaitu RM19.40 sebulan melalui Pelan 2 SKSPS akan disubsidi 100% oleh kerajaan melalui SPS Lindung.

PERKESO merupakan organisasi bawah Kementerian Sumber Manusia yang memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di Malaysia, dan ia mengumpulkan sumbangan dari kedua majikan dan pekerja.

Ia memberikan faedah kepada pekerja dan/atau tanggungan mereka sekiranya berlaku tragedi, serta faedah pemulihan fizikal dan vokasional.

Manfaat yang diberikan oleh SKSPS merangkumi perubatan, hilang upaya sementara atau kekal, elaun perkhidmatan tetap, pengebumian dan juga pendidikan.

Bawah SKSPS, individu bekerja sendiri dilindungi yang mengalami kecederaan atau penyakit akibat bekerja boleh mendapatkan rawatan percuma dari klinik panel PERKESO atau hospital kerajaan, dan juga boleh menuntut pembayaran balik untuk perbelanjaan perubatan di klinik bukan panel.

Individu dilindungi juga boleh mendapatkan pembayaran hilang upaya sementara selama cuti perubatan tak kurang dari empat hari, dengan kadar perlindungan maksimum RM105.33 sehari.

Sementara itu, mereka yang hilang upaya secara kekal akan terima 90% daripada pendapatan diinsuranskan bulanan yang dipilih, tertakluk kepada umur mereka dan juga faktor penilaian yang lain.

Jika mereka memerlukan penjagaan rapi daripada orang lain, mereka juga boleh menerima elaun sebanyak RM500 sebulan.

Rehabilitasi fizikal seperti pembedahan rekonstruktif, kerusi roda, tongkat, alat bantu pendengaran dan lain-lain, dan juga rehabilitasi vokasional seperti kursus menjahit, pembaikan radio, kaunseling, dan sebagainya akan diberikan secara percuma.

Jika individu dilindungi meninggal, waris sah akan menerima 90% dari pendapatan mereka, dan juga faedah pengebumian sebanyak RM2,000.

Tanggungan individu meninggal atau hilang upaya juga boleh mengambil pinjaman pendidikan.

Memandangkan keadaan ekonomi yang berubah secara ketara, dan juga peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran, inisiatif ini akan memastikan kebajikan rakan kongsi penghantaran akan dijaga dengan baik, kerana mereka menanggung risiko tinggi apabila bekerja.

Walaubagaimanapun, buat masa ini tidak jelas apa akan berlaku setelah tamat tempoh setahun pembayaran disubsidi – sama ada pembayaran akan dilakukan syarikat atau penghantar sendiri.

Namun begitu, subsidi ini telah mendapatkan kritikan dari beberapa pihak sebagai menggalakkan eksploitasi dalam pekerjaan ‘gig’, kerana sudah menjadi kebiasaan industri ini untuk tidak memberi perlindungan keselamatan sosial dengan mengekalkan pekerjaan seperti ini sebagai pekerjaan yang tidak rasmi.

Salah seorang daripada pengkritik, ahli parlimen Klang Charles Santiago mengatakan adalah keperluan untuk industri ini menyediakan mekanisme perlindungan sosial untuk pekerja-pekerja ini yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Mantan pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Nungsari Ahmad Radhi juga mengkritik keras tindakan kerajaan mengsubsidi sumbangan PERKESO.

Beliau berpendapat platform seperti Grab dan Foodpanda dapat mengelak daripada membayar jaminan sosial kerana pembuat dasar gagal bertindak demi kepentingan pekerja.

“Sepatutnya pembuat dasar berusaha memikirkan penyelesaian, kerana terlalu ramai yang dieksploitasi, dan untung untuk pemegang saham juga terlalu banyak,” kata beliau.

Realitinya, penghantar ini tidak dianggap pekerja sepenuh masa, oleh itu tidak mendapatkan manfaat sama seperti pekerja sepenuh masa.

Menurut PERKESO, bilangan rakan kongsi penghantaran yang kini menyumbang bawah SKSPS setakat Julai 9 adalah sebanyak 64,673, iaitu 39% daripada 166,189 individu bekerja sendiri yang menyumbang kepada PERKESO.

Walaubagaimanapun, menurut Jabatan Statistik Malaysia, terdapat 2.72 juta individu bekerja sendiri di Malaysia, dan ini menunjukkan bahawa bilangan yang menyumbang secara tetap kepada PERKESO masih terlalu rendah.

Akhir-akhir ini, sudah menjadi tren di Indonesia di mana remaja-remaja membahayakan nyawa sendiri demi mencipta video tular, seperti dalam cabaran Malaikat Maut yang sering dilihat dalam aplikasi TikTok.

Mereka yang menyertai cabaran ini akan berdiri di hadapan kenderaan bergerak untuk ‘prank’ pemandu kenderaan tersebut, dan bergerak ke tepi sebelum dilanggar.

Cabaran ini dikatakan berjaya jika kenderaan berhenti sebelum melanggar orang yang melakukan cabaran itu, tetapi ini terbukti boleh membawa maut apabila seorang remaja bertemu maut ketika menyertai cabaran itu.

Menurut CNN Indonesia, sekumpulan lapan orang remaja telah menyertai cabaran itu, tetapi pemandu lori itu tidak sempat mengenakan brek sebelum remaja itu dilanggar, mengakibatkan tiga daripada mereka dilanggar.

Salah seorang daripadanya yang hanya dikenali sebagai FA, berumur 13 tahun, meninggal sementara seorang lagi cedera parah dan sedang dirawat di hospital.

Kejadian ini berlaku di daerah Cikarang Utara, Kabupaten Bekasi.

Ketua polis trafik Bekasi Argo Wiyono berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan mangsa, ini bukan kali pertama FA mencipta kandungan bahaya.

Salah seorang daripada rakannya telah memaklumkan pihak polis bahawa FA memang gemar mencipta kandungan seperti ini dalam percubaan menularkan videonya dan menjadi terkenal.

Sementara itu, polis sedang menyiasat kejadian ini, termasuk mencari pemandu lori tersebut.

Argo berkata berkemungkinan pemandu lori itu seorang suspek dalam kes ini kerana dia lari dari tempat kejadian sejurus selepas kejadian itu.

Namun begitu, Argo menyatakan pihaknya perlu menjalankan siasatan dahulu untuk menentukan niat pemandu lori itu.

“Pihak kami masih mencari pemandu lori itu, tetapi kami tidak boleh mengatakannya sebagai suspek sebelum maklumat lebih lanjut diperolehi,” kata Argo.

Beliau kemudiannya mengujar remaja supaya jangan mengeluarkan kandungan yang boleh membahayakan orang lain dan juga diri sendiri.

Sebagai jawapan kepada persoalan tren yang membahayakan nyawa, ahli psikologi Rose Mini Agoes Salim mengatakan ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami sebab di sebalik remaja melakukan perkara seperti ini.

Beliau memberitahu Kompas bahawa remaja secara amnya melakukan aksi seperti ini untuk memenuhi keperluan untuk mengenal identiti sendiri.

“Secara psikologinya, remaja-remaja ini mencari identiti sendiri. Oleh itu, mereka akan mencari tempat untuk menunjukkan kewujudan mereka,” kata beliau.

Rose mengesyaki bahawa remaja yang menyertai cabaran seperti ini berpotensi untuk tidak cemerlang dalam hal-hal akademik, dan cuba untuk menunjukkan kewujudan mereka dengan melakukan perkara bahaya seperti ini.

Terdapat khabar angin tersebar luas bahawa Ducati sedang mengusahakan kotak gear ‘seamless shifting’ untuk model-model ‘streetbike’ syarikat itu.

Khabar angin ini berdasarkan dokumen paten yang dikeluarkan Ducati, dan tanggapan bahawa kotak gear baru ini akan ditampilkan pada generasi ‘superbike’ Ducati seterusnya.

Teknologi ‘seamless shifting’ ini bukanlah benda baru dalam dunia permotoran, bahkan bagi Ducati sendiri, kerana teknologi ini digunakan secara meluas dalam kotak gear jentera MotoGP.

Sebagai tindakbalas kepada perlumbaan grand prix mengharamkan DCT, kotak gear ‘seamless shifting’ diperkenalkan sedekad lalu supaya jentera yang digunakan boleh mencapai penukaran gear sepantas DCT tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.

Kotak gear ‘seamless shifting’ membenarkan peralihan gear yang pantas tanpa memberi impak kepada casis, dan juga dikatakan lebih pantas dalam satu per sepuluh saat atas litar perlumbaan.

Kebaikan teknologi ini atas jalan tidak sejelas itu, tetapi pada kotak gear ‘dual-clutch’ seperti yang ditawarkan Honda, ia memberikan manfaat peralihan gear pantas dan penawaran kotak gear yang berfungsi seperti kotak gear automatik.

Untuk Ducati, teknologi ini kemungkinan besar akan lebih fokus kepada perlumbaan dan litar, menggunakan teknologi dibangunkan MotoGP ini untuk meningkatkan prestasi perlumbaan generasi ‘superbike’ Ducati yang seterusnya.

Kita menjangka akan menyaksikan pengeluaran motosikal menggunakan teknologi ini pada tahun 2023, namun terdapat kemungkinan model baru akan keluar seawal hujung tahun ini, untuk tahun model 2022.

Adakah motosikal seterusnya dari Ducati akan menampilkan teknologi ini? Ini merupakan sesuatu yang bakal dilihat.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube