Bikesrepublic

Berita Terkini

Selepas hampir setahun khabar angin mengenai Transalp 750 dibangkitkan, rupa lebih jelas motosikal itu akhirnya didedahkan.

Majalah penerbitan Jepun, Young-Machine, sekali lagi berjaya mendapatkan imej jelas Transalp 2022 itu yang dijangka akan diperkenalkan kepada umum hujung tahun ini di EICMA 2021.

Meskipun Honda mengunci mulut mengenai model baharu tersebut, namun itu tidak menghalang Young-Machine untuk membuat pendedahan lebih awal.

Walaupun info mengenai motosikal baharu itu masih belum jelas, namun berdasarkan laporan sebelum ini, Transalp 2022 ini bakal tampil dengan enjin parallel-twin 750cc yang sama diguna pakai pada NC750X.

Bukan itu sahaja, Honda juga dijangka memperkenalkan dua jenis transmisi, manual dan DCT (dual-clutch transmission).

Berdasarkan imej tersebut, Transalp akan meneruskan DNA model terdahulu, mengekalkan elemen ‘adventure’ yang lebih agresif antaranya rim jenis spoke (lidi) dan suspensi dengan perjalanan yang lebih panjang.

Apa pun, Honda dijangkakan mendedahkan Transalp 750 2022 ini di Milan pada November ini.

Kerajaan akan membina satu laluan lencongan di laluan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands yang telah ditutup ekoran runtuhan jalanan.

Perkara itu disahkan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta, Ir Jeffryl Azniel Adzar yang memaklumkan pembinaan akan berjalan minggu depan selepas memastikan cerun berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, tarikh pembukaan laluan tersebut belum ditentukan.

“Tarikh bila laluan itu boleh dibuka, juga bergantung kepada pemantauan di kawasan tersebut,” jelas Jeffryl.

Hujan berterusan jadi punca laluan tersebut runtuh sekaligus membahayakan pengguna jalan raya lain sebelum arahan penutupan dilaksanakan dan laluan Jalan Tapah-Cameron Highlands menjadi alternatif sementara. – UTUSAN ONLINE

Seorang pesawah dari Padang Sanai, Kedah telah dihadiahkan sebuah motosikal selepas menjadi penerima vaksin yang ke-49,900 di daerah tersebut.

Motosikal jenis Honda Wave itu turut diserahkan kepadanya oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mohd Isham Md Isa, 44, akui terkejut dengan pemberian hadiah tersebut apatah lagi sedang bertungkus lumus mengumpul duit selama beberapa tahun untuk membeli motosikal baharu.

“Saya memang sedang mengumpul wang untuk membeli motosikal baharu sejak beberapa tahun lepas. Motosikal terpakai yang saya beli sejak lima tahun lepas digunakan untuk ke sawah padi dan semakin uzur,” jelasnya.

Menurut Isham, dia akan menggunakan motosikal tersebut sebaik mungkin terutamanya untuk ulang-alik dari Hospital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan masalah kesihatan.

Sementara itu, Mahdzir menjelaskan pemberian hadiah tersebut adalah bagi meraikan kejayaan mencapai sasaran pemberian vaksin Covid-19 di daerah Padang Terap. – SH

Aprilia sememangnya antara pengeluar yang sibuk memperkenalkan model serba baharu meskipun dunia terpalit dengan pandemik Covid-19.

Bermula dengan RS660, pengeluar motosikal berpangkalan di Noale, Itali itu kemudiannya memperkenalkan Tuono 660 dan akan datang Tuareg 660 yang akan dilancarkan tak lama lagi dengan beberapa foto rasmi telah pun didedahkan.

Perkongsian platform parallel-twin 660cc dengan ‘firing order 270-darjah’ itu ternyata langkah yang membuahkan hasil bagi Aprilia.

Ketika tiga model baharu ini diperkenalkan, Aprilia turut dikatakan menghentikan pengeluaran dua model naked, Shiver dan Dorsoduro.

Dalam perkembangan terbaru, terdapat ura-ura Aprilia mahu menghidupkan semula model ‘adventure-touring’ Caponord.

Bagaimanapun, motosikal tersebut dicanang akan bernadikan enjin V4 seperti yang terdapat pada Tuono 1100 dan RSV4 1100.

Teruja dengan perkarbaran tersebut, seorang pereka telah membayangkan Caponord V4 sebagai jentera konsep.

Lebih lima tahun sudah berlalu sejak kali terakhir Aprilia memperkenalkan Caponord, yang mungkin berpunca daripada kegagalan menyaingi Ducati Multistrada yang jauh lebih popular.

Namun, tatkala Ducati telah pun melancarkan Multistrada berenjin V4 yang diinspirasikan dari Panigale V4 maka bukan satu kejutan jika Aprilia mengorak langkah sama dengan meminjamkan enjin RSV4 ke Caponord baharu.

Francesco Bagnaia meneruskan kejayaan di GP Aragon minggu lalu untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut di Misano, pada Ahad.

Pelumba Ducati itu yang memulakan perlumbaan di petak pertama selepas melakar catatan masa terpantas, berjaya menjarakkan diri di Turn 1 seawal perlumbaan dimulakan.

Bagnaia yang seakan kelihatan selesa didepan kemudiannya mula dikejar pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo ketika di peringkat akhir perlumbaan.

Bagaimanapun, Bagnaia berjaya mengekang asakan pelumba factory Yamaha itu untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini.

Sementara itu, pelumba Avintia, Enea Bastianini turut mencuri tumpuan apabila berjaya menempatkan diri di tempat ketiga.

Meskipun menunggang jentera Ducati berusia dua tahun namun itu tidak menyekat Bastianini untuk memintas sembilan pelumba untuk meraih podium pertamanya musim ini selepas 14 pusingan.

Manakala enam kali juara dunia, Marc Marquez terus melakar keputusan memberangsangkan apabila menamatkan aksi di tempat keempat setelah berjaya memintas wakil Suzuki dan Aprilia, Joan Mir dan Aleix Espargaro di lap terakhir.

Keputusan perlumbaan di Misano kini menyaksikan perebutan kejuaraan semakin sengit dengan Quartararo dan Bagnaia hanya dipisahkan dengan 48 mata.

Berikut keputusan penuh perlumbaan di Misano:

Francesco Bagnaia sekali lagi muncul pelumba terpantas ketika sesi kelayakan di GP Misano sekaligus bakal bermula di petak pertama dalam perlumbaan pada Ahad.

Bagnaia turut berjaya memecahkan rekod catatan masa terpantas kali untuk dua minggu berturut-turut setelah melakukannya di GP Aragon, minggu lalu.

Jack Miller turut menghadirkan kegembiraan berganda buat Ducati apabila merekodkan masa kedua terpantas diikuti pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo yang melengkapkan barisan depan di petak ketiga.

Sementara itu, menyedari rakan sepasukan, Bagnaia, ketika ini hanya ketinggalan 53 mata di belakang Quartararo dalam perebutan kejuaraan dunia, Miller tekad memainkan peranan sebagai penghalang Quartararo dalam mengutip mata.

“Bagi saya, Pecco (Bagnaia) adalah pelumba terpantas di atas litar.

“Sudah tentu saya juga mahu memberikan saingan tetapi kita lihat apa yang akan berlaku nanti.

“Jika dia (Bagnaia) mahu mengukuhkan kedudukan di depan, saya gembira untuk bertindak sebagai penghalang kepada pesaing lain (merujuk kepada Quartararo).

“Tetapi saya rasa segalanya bergantung kepada permulaan perlumbaan pada Ahad,” jelasnya.

Catatan masa terpantas dalam dua minggu berturut-turut membuktikan Bagnaia sudah mula serasi dengan jentera GP21 Ducati dan lantas bakal menghadirkan cabaran sengit tatkala musim 2021 hanya berbaki empat pusingan selepas ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube