Pelumba KTM Ajo Moto3, Pedro Acosta, disahkan akan beraksi di kelas Moto2 musim depan.
Acosta akan digandingkan bersama Augusto Fernandez di KTM Ajo Moto2 yang turut diumumkan sebagai pelumba baharu selepas dipancing dari Elf Marc VDS Racing Team.
Kedua-dua pelumba ini akan membawa cabaran bagi KTM Ajo Moto2 menggantikan Raul Fernandez dan Remy Gardner yang akan memulakan saingan di kelas MotoGP bersama Tech3 KTM.
“Beralih ke Moto2 merupakan impian saya kerana saya percaya langkah ini perlu diambil.
“Sudah tentu masih banyak yang saya perlu pelajari dan saya masih boleh kekal di Moto3 tetapi sebagai seorang pelumba, langkah ini penting bagi pembangunan saya.
“Tetapi ini adalah satu kelebihan untuk terus kekal bersama KTM Ajo yang telah pun membantu banyak dalam kejuaraan dunia pertama saya,” jelas Acosta.
Sementara itu, bos KTM, Pit Bierer percaya dengan telunjuk Aki Ajo, Acosta dan Fernandez akan berada dalam landasan terbaik untuk berkembang.
“Aki Ajo dan pasukannya telah memainkan peranan besar dalam pembangunan karier pelumba jadi kami amat berbesar hati untuk bersamanya dalam projek seterusnya.
“Kami juga berbesar hati dapat menyokong keinginan Pedro (Acosta) untuk melangkah ke kateogri seterusnya dari Moto3,” jelas Bierer.
Sementara itu, laporan sebelum ini mengatakan Acosta telah pun mengikat kontrak tiga tahun bersama KTM yang turut menyaksikan dia bakal melangkah ke MotoGP seawal 2024.