Bikesrepublic

Berita Terkini

Pemilik bengkel motosikal di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, Melaka kerugian besar apabila bengkelnya ditenggelami air dalam bencana banjir kilat, pagi tadi.

Mohd Fadhlan Jaafar, 36, memberitahu bahawa sebanyak 20 motosikal pelanggan telah tenggelam dalam kejadian tersebut yang hanya disedari sekitar jam 8 pagi.

Lebih perit, daripada 20 motosikal tersebut, lima daripadanya telah pun selesai dibaiki dan hanya menanti untuk diserahkan kepada pemilik masing-masing.

““Habis semua 20 buah motosikal pelanggan dalam kedai tenggelam. Lima daripada motosikal itu juga sudah selesai dibaiki.

“Sepatutnya diambil oleh pelanggan, tapi tak sangka pula berlaku bencana ini,” jelasnya.

Tambah Farhan, dia cuba juga untuk menyelamatkan motosikal pelanggannya namun ekoran paras air naik hingga ke lutut dia bimbang berdepan risiko lain.

Bagaimanapun, Farhan mampu menarik nafas lega kerana pelanggan faham dengan situasi dihadapinya namun dia masih menampung kerugian.

“Mujur pelanggan faham dan tidak mengamuk, namun saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat banjir kilat ini.

“Ini kali keempat saya kena tahun ini dan kejadian yang paling teruk, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dah korek (dalamkan) longkang, kalau tak lagi teruk rasanya,” tambahnya.

Pelumba MotoGP, Miguel Oliveira dan Alex Rins dilaporkan sudah pun mengesahkan pasukan baharu bagi musim 2023.

Menurut laporan Sky Italia, Oliveira akan meninggalkan KTM hujung musim ini dan berhijrah ke pasukan satelit baharu Aprilia kendalian Razlan Razali.

Perpindah anOliveira sudah pun dijangka apatah lagi pasukan Red Bull KTM mengumumkan telah menandatangani Jack Miller dari Ducati untuk dua musim.

KTM juga menawarkan peluang untuk Oliveira turun ke pasukan Tech3 namun senario itu tidak dipersetujui pelumba Portugal itu yang mahu kekal dengan mesin factory.

Sky Italia turut melaporkan bahawa RNF Racing telah mengikat Oliveira dengan kontrak dua tahun.

“Miguel Oliveria telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Aprilia untuk beraksi bersama pasukan satelit RNF Racing kendalian Razlan Razali,” jelas laporan tersebut.

Difahamkan, Oliveira hampir berpindah ke Gresini namun tiada bentuk persetujuan formal dicapai sebelum pelumba itu buat keputusan sertai Aprilia.

Sementara itu, pelumba Suzuki, Alex Rins dilaporkan akan sertai LCR Honda.

Ini kerana dengan khabar angin kuat mengatakan rakan sepasukan, Joan Mir akan sertai Repsol Honda, pasukan Jepun itu didakwa turut memancing Rins untuk LCR Honda.

Pada masa sama, kegagalan mendapatkan khidmat Oliveira memaksa Gresini untuk mencari calon lain dengan Enea Bastianini dilaporkan akan berpindah ke pasukan factory Ducati atau Pramac Racing.

Juara dunia Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2021, Toprak Razgatlioglu akhirnya berpeluang merasai sendiri kemampuan jentera MotoGP Yamaha YZR-M1 di Litar Motorland Aragon.

Razgatlioglu ditemani pelumba uji Yamaha dan bekas pelumba MotoGP, Cal Crutchlow  sewaktu menjalani beberapa pusingan bersama jentera tersebut.

Selain itu, Razgatlioglu juga pertama kali merasai penggunaan tayar Michelin, selain ‘seamless gearbox’, kuasa lebih tinggi dan elektronik yang berbeza dari jentera WorldSBK R1 miliknya.

Meskipun catatan masa rasmi tidak didedahkan kepada umum namun terdapat laporan mengatakan catatan Razgatlioglu tak jauh dari yang ditetapkan Crutchlow.

“Ini merupakan hari pertama saya merasai jentera MotoGP Yamaha M1 dan sememangnya rasa jauh berbeza dari R1 saya.

“Kuasa lebih tinggi, elektronik jauh berbeza dan ‘seamless gearbox’ adalah perkara baru untuk saya.

“Saya belajar banyak selepas setiap lap kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP. Tetapi saya bernasib baik kerana adanya Cal Crutchlow membantu saya dan sering memberikan nasihat,” jelas Razgatlioglu.

Bagaimanapun, tiada tempat untuk Razgatlioglu di pasukan Yamaha MotoGP musim depan tatkala pasukan factory Yamaha akan kehilangan pasukan satelit RNF Racing yang akan beralih ke Aprilia bagi musim 2023.

Ini bermakna, Razgatlioglu akan terus beraksi di WorldSBK sehingga ada tempat untuknya selepas musim 2023.

Pelumba Moto2, Pedro Acosta tidak akan beraksi di GP Belanda hujung minggu ini di Litar Assen selepas mengalami kecederaan patah kaki.

Perkara itu disahkan pasukan Red Bull KTM Ajo yang menjelaskan bahawa Acosta mengalami patah tulang femur kiri dan akan menjalani pembedahan pada Rabu.

Menurut laporan, pelumba berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan motocross dan ketika ini telah pun berada di Barcelona untuk jalani pembedahan.

Ketika ini, KTM Ajo tidak memberikan tempoh pelumba Sepanyol itu akan diketepikan namun memandangkan kejuaraan dunia Moto2 akan berehat selama lima minggu selepas GP Belanda sebelum kembali bersambung di Silverstone pada 7 Ogos, jarak waktu tersebut akan memberi peluang pada Acosta untuk kembali pulih.

Acosta ketika ini menghuni kedudukan kelapan dalam kejuaraan dunia Moto2 dan menamatkan saingan minggu lalu di tempat kedua.

Tahun lalu, Acosta menjadi pelumba ‘rookie’ pertama untuk menjuarai Moto3 selepas kali terakhir dilakukan Loris Capirossi.

Pembinaan pintasan Terowong Menora dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula digerakkan sebaik kajian kesan terhadap alam sekitar, trafik dan sosial selesai.

Perkara itu disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof selepas mendedahkan bahawa cadangan pembinaan laluan alternatif sepanjang 64 kilometer itu telah pun dapat lampu hijau dari kabinet.

“Kabinet telah bersetuju (secara prinsipal) dengan cadangan pembinaan lebuh raya Gopeng-Kuala Kangsar bagi mengelakkan kesesakan di Terowong Menora.

“Sebaik diluluskan, syarikat pembinaan terlibat perlu mematuhi syarat yang ditetapkan pihak Lembaga Lebuhraya Malayia (LLM) dan kerajaan.

“Salah satu syarat dikenakan adalah kajian kesan terhadap alam sekitar. Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu mengadakan kajian terhadap impak pada sosial dan trafik bagi memastikan projek ini berdaya maju,” jelas Fadillah.

Meskipun mendapat lampu hijau dari kabinet namun Fadillah menjelaskan segalanya akan bergantung kepada keputusan kajian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah pun menyuarakan persetujuan terhadap pembinaan laluan pintasan Terowong Menora itu, 16 Mei lalu.

Menurut Saarani, projek tersebut akan membantu mengurangkan angka kemalangan di kawasan tersebut yang terkenal sebagai lokasi ‘hotspot’ kemalangan kenderaan. – NST

BMW Motorrad akan memperkembangkan portfolio kerjasama dengan TVS Motor Company dengan memperkenalkan G 310 RR pada 15 Julai ini di India.

BMW G 310 RR bakal sertai G 310 R dan G 310 GS yang telah pun ada di pasaran dunia sejak 2015.

Bagaimanapun, berbanding G 310 R dan G 310 GS yang tampil sebagai jentera ‘roadster’ dan ‘touring’, G 310 RR merupakan model ‘sportbike’ yang dibina berasaskan TVS Apache RR 310.

Ramai yang menjangkakan G 310 RR akan hadir apatah lagi sejak TVS dan BMW bekerjasama dalam membangunkan Apache RR 310 untuk pasaran India dan global pada tahun 2018.

Punca penangguhan itu tidak dapat dikenal pasti namun menurut BMW Motorrad India, G 310 RR akan dilancarkan secara rasmi pada 15 Julai ini dengan pengedar rasmi di negara itu telah pun menerima tempahan.

Sementara itu, berdasarkan beberapa teaser dikongsikan, BMW G 310 RR disahkan akan menawarkan beberapa ciri menarik antaranya sistem suspensi KYB boleh laras depan dan belakang, serta paparan TFT berwarna.

Menariknya, ‘teaser’ terbaru juga mendedahkan G 310 RR akan mendapat grafik dan warna yang diinspirasikan daripada model S 1000 RR.

Selain itu, BMW G 310 RR dijangka dikuasakan enjin satu silinder 313cc empat-valve yang mampu menghasilkan 34hp pada 9,500rpm dan 27.3Nm pada 7,500rpm sama seperti ditawarkan Apache RR 310.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube