Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Moto3, Dennis Foggia, tekad meninggalkan Leopard Racing hujung musim ini selepas tidak puas hati dengan layanan pasukan itu terhadap ayahnya ketika di GP Austria.

Difahamkan, Leopard Racing telah membatalkan pas kebenaran milik ayah pelumba itu sekaligus tidak dibenarkan untuk berada di ‘paddock’ sebelum diusir ke tempat duduk penonton bagi menyaksikan anaknya menaiki podium, hujung minggu lalu.

Foggia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukannya kepada Sky Italia.

“Ayah saya telah dipaksa keluar dari ‘paddock, keputusan ini sangat tidak adil. Dia terpaksa menyaksikan dari tempat penonton,” jelasnya.

Foggia kemudiannya menegaskan dia enggan kekal bersama pasukan itu dan mahu berhijrah ke Moto2 musim depan meskipun masih terikat kontrak.

“Bagi saya, tiada siapa yang boleh menghalang saya untuk ke Moto2 tahun depan walaupun saya masih terikat dengan kontrak.

“Saya enggan kekal dalam kategori ini (Moto3) ataupun pasukan ini,” tambah Foggia.

Foggia telah pun beraksi selama dua musim bersama Leopard Racing dan mengutip tiga kemenangan.

Pelumba berusia 20 tahun itu kini menduduki tempat keempat kejuaraan dunia Moto3 dengan 102 mata, 94 mata dibelakang pendahulu, Pedro Acosta.

Pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3, Darryn Binder, akan diberi peluang menguji jentera Yamaha M1 di Brno, Republik Czech.

Keputusan itu bukan satu kejutan tatkala adik kepada Brad Binder itu dicanang akan naik ke kelas premier bersama pasukan satelit Yamaha SRT bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Valentino Rossi dan Franco Morbidelli memasuki musim 2022.

Rossi disahkan akan bersara hujung musim ini sementara Franco Morbidelli didakwa akan diangkat ke pasukan factory Yamaha.

Pada masa sama, Binder juga dilaporkan akan digandingkan dengan pelumba Sprinta Racing Moto2, Jake Dixon.

Sejauh mana dakwaan itu masih belum dapat dipastikan apatah lagi pelumba Britain itu jauh ketinggalan dalam kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-19 berbanding rakan sepasukan, Xavi Vierge, di tempat ke-10, ketika ini.

Sekiranya gandingan Binder dan Dixon disahkan, kedua-duanya bakal menjadi pelumba baharu bagi pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Johan Stigefelt yang akan bergerak sebagai entiti baharu musim depan setelah kerjasama dengan Petronas (selaku penaja utama) dan SIC berakhir hujung musim ini.

Meskipun SRT memberi peluang kepada pelumba WorldSBK, Garret Gerloff, untuk dua pusingan sebelum ini, pelumba itu dilihat gagal menarik perhatian Yamaha.

Sementara itu, Toprak Razgatlioglu, dikatakan turut menolak tawaran sertai SRT dan telah pun menandatangani kontrak lanjutan dua tahun dalam usaha merebut kejuaraan WorldSBK.

Razgatlioglu hanya ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu, Jonathan Rea (Kawasaki) setelah merekodkan lima kemenangan daripada 10 perlumbaan. – GPOne

Pengeluar motosikal India, Bajaj, bakal melancarkan Pulsar 250 serba baharu pada November ini selaras dengan sambutan ulang tahun ke-20 jenama itu.

Difahamkan, Bajaj merancang untuk memperkenalkan Pulsar 250 lebih awal namun ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj, mengesahkan bahawa dua versi Pulsar akan dilancarkan membabitkan model Pulsar 250 (naked) dan Pulsar 250F (semi-fairing).

*Sumber: Motoroids

Meskipun terdapat beberapa gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan sebelum ini, namun ciri sebenar masih tidak didedahkan setakat ini.

Apa yang pasti, Pulsar 250 akan tampil dengan ciri lebih moden antaranya penggunaan lampu LED penuh berbanding Pulsar NS/RS 200 yang masih menggunakan lampu jenis halogen.

Sementara itu, tidak dipastikan sama ada Pulsar 250 ini akan turut dijenamakan semula oleh Modenas untuk pasaran tempatan pada masa akan datang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menawarkan diskaun 70 peratus bayaran saman termasuk yang telah disenarai hitam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64, bermula hari ini.

Tawaran pengurangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif JPJ bagi meringakan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan, diskaun 70 peratus itu akan berjalan hingga 16 September.

“Potongan ini akan diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan bagi kesalahan bawah Angka Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

“Pengurangan terhadap notis saman berkenaan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ. Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September,” jelasnya.

Bagaimanapun, kes yang masih dalam sebutan mahkamah dan individu yang memiliki status waran tangkap dan dalam perbicaraan adalah terkecuali daripada tawaran tersebut.

Sementara itu, urusan pembayaran saman boleh dilakukan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta atas talian menerusi portal mySIKAP JPJ.

Triumph Motorcycles telah mendedahkan ‘teaser’ baharu yang dinamakan Speed Triple 1200 RR Prototype.

Mode prototaip ini merupakan versi ‘fairing’ daripada model tersedia, Speed Triple 1200 RS.

Melihat kepada video teaser berdurasi yang dikongsikan, Speed Triple 1200 RR ini menawarkan ergonomik yang lebih agresif hasil penggunaan handlebar jenis ‘clip-on’ berbanding kedudukan yang lebih tegak pada versi RS.

Meskipun tampil dengan fairing namun dengan bahagian kerangka yang terdedah, 1200 RR ini dijangka bukanlah ditawarkan sebagai model supersport sebaliknya ciri ‘semi-fairing’ tersebut meletakkan model baharu ini seangkatan dengan Aprilia Tuono V4.

Antara bahagian lain yang mencuri tumpuan adalah pemilihan lampu bulat (dengan lencana Triumph) di bahagian depan yang ternyata berbeza daripada versi RS sedia ada.

Sementara itu, Speed Triple 1200 RR ini akan mengekalkan enjin 1160cc tiga silinder yang menawarkan 177hpp pada 10,750rpm dan 124Nm pada 9,000rpm.

Bakal dilancarkan pada September, model ini juga dijangka didatangkan dengan suspension Ohlins dan kaliper brek Brembo Stylema seperti yang terdapat pada varian RS.

Tahun lalu, CFMoto telah pun melancarkan 250SR, motosikal sportsbike segmen 250cc untuk pasaran global termasuk Malaysia.

Dalam perkembangan terbaru, pengeluar motosikal China itu dilaporkan bakal memperkenalkan varian baharu, yang dinamakan 250SR-R.

Perkara itu disahkan menerusi dokumen kelulusan yang difailkan di China.

Berdasarkan info dikongsikan, 250SR-R masih mengekalkan enjin 250cc dengan 29hp namun model baharu itu menawarkan berat yang lebih ringan dengan hanya 157kg berbanding 165kg pada 250SR.

Ini sekaligus memberi bayangan penggunaan kerangka dan panel yang lebih ringan.

Namun, perubahan paling ketara adalah penggunaan ‘single-sided swingarm’ berbanding ‘swingarm’ konvensional pada model standard.

Antara ciri lain yang dinaik taraf adalah penggunaan fork berwarna emas, serta ‘winglet’ di kedua-dua belah fairing.

Difahamkan CFMoto 250SR-R ini dijangka akan diperkenalkan sebagai model 2022.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube