Bikesrepublic

Berita Terkini

Berminat mencari jentera ‘track bike’ dengan DNA perlumbaan terbaik untuk kegunaan di litar lumba?

Kami cadangkan sila layari Ebay ketika ini kerana jentera Kawasaki ZX-10R 2016 milik Jonathan Rea telah dibuka untuk bidaan bagi sesiapa yang mampu memilikinya.

Lebih menarik, iklan tersebut dimuat naik pihak Provec Racing sendiri yang merupakan pihak yang mengendalikan operasi KRT WSBK yang berpangkalan di Granollers, Catalunya, Sepanyol.

Menurut iklan tersebut, model ZX-10R tersebut merupakan jentera latihan milik enam kali juara dunia Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Jonathan Rea.

Berdasarkan info dikongsikan, model 2016 itu merupakan jentera yang digunakan semasa latihan Rea yang membantu menyumbang kepada dominasi pelumba itu di pentas WSBK.

Menariknya, jentera untuk dijual itu kini didatangkan dengan enjin serba baharu dengan perbatuan kosong.

Meskipun Provec Racing telah melakukan pelbagai modifikasi namun kesemua ciri yang diperlukan untuk kembali menjadi jentera ‘road-legal’ antaranya pemegang nombor plat, cermin sisi dan lampu depan/belakang turut akan disertakan.

Sementara itu, pihak yang berjaya membuat bidaan bagi jentera unik tersebut juga akan menikmati beberapa pengalaman berikut:

  • berjumpa dengan Rea dan kru Kawasaki Racing Team (KRT)
  • pas VIP KRT bagi pusingan WSBK pilihan
  • gear rasmi KRT dengan tandatangan Rea
  • dengar penjelasan dari Rea sendiri mengenai segala modifikasi yang telah dilakukan
  • tandatangan Rea pada motosikal tersebut

Antara modifikasi yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  • enjin baharu dengan perbatuan kosong
  • kit ECU racing
  • sistem ekzos Akrapovic
  • kit regulator Kawasaki
  • sistem penyejukan Taleo
  • hos Samco
  • rantai dan sproket Renthal
  • pelindung enjin GB racing
  • kit race Showa Superstock
  • head pope dengan ‘racing offset’ oleh Provec Racing
  • handelbar khas oleh Provec Racing
  • line brek J.Juan
  • stering damper K-Tech

Bukan itu sahaja, jentera ini juga didatangkan dengan warna KRT Winter Test.

Orang ramai yang berminat untuk membuat bidaan sila klik PAUTAN INI.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei.

Sepanjang tempoh tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 19 kluster rentas negeri daripada 50 kluster yang telah dicatat sejak awal tahun ini yang menyumbang kepada 6,291 kes.

Menurut Ismail Sabri, setakat 20 Mei, KKM telah merekodkan sejumlah 1,966 kluster rentas negeri dengan 528 daripadanya masih aktif manakala 1,438 lagi telah pun berakhir.

Sambutan Aidilfitri baru-baru ini telah menyumbang kepada peningkatan besar kluster rentas negeri ekoran masih ada individu yang melanggar prosedur operasi standard dengan pulang beraya menggunakan surat kebenaran bekerja. – BERNAMA

Jack Miller akan terus menyarung warna merah bagi musim 2022 setelah menandatangani kontrak lanjutan bersama Ducati.

Pelumba itu dianugerahkan kontrak sambungan apabila berjaya merekodkan dua kemenangan selepas lima pusingan setakat ini.

Dua kemenangan berturut-turut di Jerez dan Le Mans menjadikan Miller pelumba Australia pertama selepas Casey Stoner melakukannya pada 2012.

Miller ketika ini menduduki tempat keempat perebutan kejuaraan dunia dengan 64 mata, 16 mata dibelakang pendahulu, Fabio Quartararo.

“Saya sangat gembira kerana dapat meneruskan pengembaraan bersama pasukan Ducati Lenovo untuk semusim lagi.

“Menyarung warna ini sememangnya satu penghargaan dan berjaya memenangi dua perlumbaan sebelum ini bersama jentera Desmosedici GP merupakan satu impian!

“Saya kini boleh memberikan fokus sepenuhnya pada musim ini. Saya kini berada di kedudukan keempat dan musim 2021 masih panjang.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk merebut kejuaraan,” jelas Miller.

Saingan MotoGP kembali bersambung dengan pusingan keenam di litar Mugello pada hujung minggu ini.

Pengeluar motosikal India, Bajaj Auto, dilaporkan bakal memperkenalkan Pulsar RS250 tahun ini.

Model tersebut bakal dilancarkan bersama dengan model Pulsar NS250 yang telah pun didedahkan menerusi imej ‘spyshot’ yang tular Februari lalu.

Pulsar RS250 dan NS250 merupakan versi yang telah dinaik taraf daripada model 200cc yang masih lagi ditawarkan ketika ini.

Menurut laporan media di India, RS250 dan NS250 dibangunkan dengan platform enjin satu silinder sama yang terdapat pada KTM Duke 250.

Menariknya, versi 250 ini didakwa akan didatangkan dengan lampu LED serta paparan digital LCD penuh seperti yang terdapat pada Dominar 250.

Walaupun tiada info lebih terperinci didedahkan ketika ini namun Bajaj dijangka akan melancarkan kedua-dua model tersebut sekitar tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Modenas dilaporkan bakal melancarkan generasi baharu Dominar 400 tidak lama lagi.

Sejak dilancarkan pada 2018 dengan penjenamaan semula oleh Modenas, motosikal segment ‘touring’ itu merupakan model 400cc paling mampu milik ditawarkan ketika ini dengan harga bawah RM15,000.

Versi baharu Dominar bakal tampil dengan pelbagai ciri dinaik taraf antaranya enjin DOHC, ekzos berkembar, kuasa lebih tinggi, fork USD serta fungsi ‘gear indicitor’.

Seorang gadis berusia 21 tahun telah ditahan polis apabila aksinya melakukan ‘wheelie’ tular di media sosial.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang memaklumkan bahawa remaja perempuan itu telah ditahan bersama seorang lelaki berusia 16 tahun.

Tangkapan dibuat setelah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapat satu rakaman video, semalam.

Video berdurasi 31 saat itu menunjukkan seorang wanita telah melakukan aksi ‘wheelie’ dengan motosikal jenis Honda EX-5 di Jalan Dato’Syed Esa.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah pun dibebaskan dengan ikat jamin.

Menurut Ismail, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang menyaksikan kedua-dua individu tersebut berdepan penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun sekiranya didapati bersalah.

Minggu lalu, seorang lelaki telah dikenakan hukuman denda RM10,000 dan lesen digantung lima tahun apabila tular video melakukan aksi berbahaya termasuk ‘wheelie’ di samping tidak memakai topi keledar (helmet) di sekitar Lembah Klang sewaktu perayaan Aidilfitri. – SH

Beberapa jam sebelum aksi pembukaan tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) berlangsung di Aragon, Kawasaki Racing Team (KRT) kini berdepan isu ‘rev limit’.

Hal ini kerana FIM telah membuat pusingan U untuk tidak memperuntukkan ‘rev limit’ 15,100rpm diberikan kepada KRT sekaligus memaksa pasukan itu mematuhi ‘rev limit’ yang ditetapkan pada 14,600rpm seperti yang diumumkan sebelum ini.

Situasi ini lantas memberi kesan kepada KRT, Puccetti Racing, Pedercini Kawasaki dan Orelac Racing yang telah pun tiba di Sepanyol bagi menghadapi musim 2021 WSBK bersama jentera ZX-10RR 2021.

Keputusan FIM itu memaksa Kawasaki untuk menala semula enjin baharu dengan ‘rev limit’ berada pada 15,100rpm untuk kembali kepada 14,600rpm setelah mendapati tidak banyak komponen baharu didapati pada ruangan enjin.

Berikut ‘rev limit’ yang telah ditetapkan FIM bagi semua pengeluar yang beraksi di WSBK musim 2021:

  • Kawasaki ZX-10RR 2021 – 14,600rpm
  • Ducati V4 – 16,100rpm
  • Yamaha R1 – 14,950rpm
  • BMW M 1000 RR – 15,500rpm
  • Honda CBR1000RR-R – 15,600rpm

BMW M 1000 RR 2021 telah mendapat pelbagai komponen baharu sekaligus Suruhanjaya Teknikal Antarabangs (CTI) membenarkan ‘rev limit’ berada pada 15,500rpm berbanding 14,900rpm pada musim lalu.

Bagaimanapun, isu ‘rev limit’ ini dijangka tidak akan memberi kesan kepada usaha Jonathan Rea untuk memburu kejuaraan dunia WSBK ketujuh musim ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube