Bikesrepublic

Berita Terkini

Triumph Motorcycles telah membuat pengumuman mengejut apabila mendedahkan Tiger Sport 660, sebuah motosikal sports-tourer yang digerakan enjin sama yang terdapat pada Trident 660.

Meskipun model tersebut dilitupi dengan grafik ‘camo’ bagi menyembunyikan ciri sebenar namun berdasarkan video dan foto dikongsikan, jelas Tiger Sport 660 ini dikuasakan enjin 3-silinder 660cc yang sama pada Trident 660.

Lantas kami menjangkakan Tiger Sport 660 kekal menawarkan 80hp pada 10,250rpm dan 63.7Nm pada 6,250rpm.

Bagaimanapun, sebagai motosikal segmen touring, kami jangkakan Triumph melakukan beberapa talaan antaranya aspek nisbah gear yang lebih tinggi, sistem suspension dengan jarak pergerakan lebih panjang dan juga penggunaan kerangka baharu.

Sudah pasti, perbezaan ketara berbanding Trident 660 adalah penggunaan fairing serta penghadang angin tinggi.

Sementara itu, Triumph juga dijangka membawa sistem elektronik yang sama terdapat pada Trident 660 termasuk sistem ride-by-wire, mod tunggangan, traction control dan ABS.

Meskipun tiada info lebih terperinci didedahkan namun dijangka motosikal ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Yamaha Motor India telah pun melancarkan MT-15 Monster Energy MotoGP Edition untuk pasaran negara itu.

Bagaimanapun, selain daripada grafik dan warna yang diilhamkan dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, model edisi khas ini kekal dengan ciri dan spesifikasi sama seperti varian standard.

Grafik dan warna Monster Energy Yamaha boleh kelihatan di bahagian tangki, sisi panel badan dan pelindung radiator.

Yamaha MT-15 ini dikuasakan enjin 155cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 19hp @ 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500 dan dipadankan bersama kotak gear 6-kelajuan dengan bantuan klac slipper dan assist.

Ciri lain turut ditawarkan adalah kerangka jenis delta box, fork teleskopik dengan jarak pergerakan 130mm, lampu LED dengan daytime running light (DRL), paparan digital LCD, sistem Variable Valve Actuation (VVA) dan ABS (single-channel).

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 ditawarkan dengan harga RM11,998 dan didapati dengan dua pilihan warna, Yamaha Blue dan Ice Fluo.

Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, lebih gemar jika setiap pelumba menggunakan masa latihan dengan motosikal berbanding aktiviti lain.

Dia berkongsi pendapatnya ketika sesi Facebook Live di akaun Facebook miliknya.

Bagi Zulfahmi, sebagai pelumba motosikal, sesi latihan seharusnya kekal dengan bermotosikal tapi sebaliknya ramai yang gemar berlatih mengikut trend antaranya berbasikal.

“Latihan perlu berjalan mengikut benda yang betul supaya kita tak hilang fokus sebagai pelumba motosikal.

“Zaman sekarang cukup senang nak hilang arah dengan sesi latihan kita sebab dengan adanya media sosial kita nampak ramai pelumba MotoGP main basikal, motorcross.

“Tapi pada pandangan saya, latihan perlu mengikut apa sukan kita iaitu perlumbaan motosikal profesional. Jadi kita perlu banyakkan masa atas motosikal tak kira apa pun jenis motosikal tersebut.

“Yang penting kita menunggang motosikal di litar supaya dapat perbaiki skil,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zulfahmi akui bimbang dengan sikap pelumba yang gemar ikut trend semasa.

“Saya nampak sekarang ini pelumba terlalu mengikut trend latihan pelumba profesional. Bila mereka kayuh basikal, semua nak kayuh basikal.

“Bila pelumba pro main motocross, semua nak main motocross.

“Tapi apakah keperluan yang palig penting untuk berada dalam keadaan terbaik dalam perlumbaan? Bagi saya adalah berlatih dengan motosikal di litar.

“Jika ikutkan pemain tenis, berlatih dengan bermain tenis. Atlet berbasikal berlatih dengan kayuh basikal setiap hari. Pelari maraton pula lari setiap hari.

“Jadi disebabkan sukan kita adalah lumba motosikal jadi sudah tentu latihan juga adalah lumba motosikal,” tambah Zulfahmi lagi.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin sempat berkongsikan pendapatnya tentang pelumba tunggal negara dalam saingan Moto2, Hafizh Syahrin, menerusi Facebook Live, semalam.

Hal ini kerana, Hafizh merupakan satu-satunya pelumba yang masih membawa nama negara di pentas permotoran tertinggi di dunia itu bersama pasukan NTS RW Racing.

Bagaimanapun, Hafizh akan ditemani seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin, yang akan bersama dalam saingan Moto2 hujung minggu ini di GP Britain, setelah mendapat tiket menggantikan Jake Dixon di Petronas Sprinta Racing.

Namun bagi Zulfahmi, Hafizh tetap berada di satu tahap yang lebih tinggi meskipun kedua-duanya akan bersaing bersama di Litar Silverstone.

“Dia pelumba yang bagus dan yang terbaik Malaysia ada sekarang ini.

“Sejujurnya, pada saya, dia (Hafizh) berada pada satu tahap lagi bagus dari Adam terutamanya dengan pengalaman dan skil menunggang motosikal,” kata Zulfahmi.

Meskipun menyedari kedudukan Hafizh ketika ini kurang memberangsangkan namun bagi Zulfahmi, itu bukanlah penanda aras bagi komitmen yang ditonjolkan pelumba itu.

“Kalau kita tengok waktu perlumbaan, Hafizh selalu buat lebih baik daripada sesi kelayakan.

“Tetapi dengan sebab-sebab tertentu antaranya berada di NTS yang merupakan sebuah pasukan baharu jadi kedudukan dia tak kompetitif,” tambahnya.

Apa sekalipun, Zulfahmi menegaskan bahawa Hafizh sentiasa memberikan segalanya tidak kira apa keputusannya di hujung perlumbaan.

“Dia seorang yang sangat kompetitif.

“Orang luar yang minat sukan permotoran perlu faham macam mana sukan ini berjalan.

“Saya sebagai seorang kawan kepada Hafizh, saya sentiasa sokong dia. Tak kira keputusan dia bagus atau tidak, saya tahun dia berikan 100 peratus pada karier dia jadi saya harapkan yang terbaik untuknya, jelas Zulfahmi lagi.

Hafizh dan Adam bakal turun hujung minggu ini bagi melalui pusingan ke-12 MotoGP.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, telah pun mengesahkan bahawa pelumba di FIM CEV, Adam Norrodin akan menggantikan Jake Dixon dalam perlumbaan Moto2 di Silverstone, hujung minggu ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook Live bekas pelumba negara itu di akaun Facebook miliknya.

Bagaimanapun, menurut Zulfahmi, tiada sasaran diletakkan setakat ini sehinggalah Adam dapat merasa jentera Triumph 765 Moto2 itu nanti.

“Kategori Moto2 sememangnya sangat susah sebab ramai rider laju.

“Tapi jentera Petronas Sprinta Racing sangat kompetitif jadi sekarang ni bergantung pada “feeling” Adam.

“Selepas itu baru kita akan nilai apa sasaran untuk dia,” jelas Zulfahmi.

Berita mengenai Adam akan menggantikan Dixon di pusingan GP Britain Moto2 hujung minggu ini mula tersebar beberapa hari lalu namun setakat ini masih tiada pengesahan dari pihak Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Dixon pula akan diberi peluang menguji jentera YZR-M1 dalam kelas premier bersama-sama Valentino Rossi dalam usaha merebut slot ke MotoGP bagi musim 2022.

Sementara itu, Zulfahmi turut mendedahkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menentukan haluan musim 2022.

Suzuki Malaysia telah pun mengumumkan bahawa dua model 2021, GSX-R1000R dan GSX-R1000 telah pun berada dipengedar rasmi seluruh Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi perkongsian di Facebook Suzuki Malaysia.

Sebelum ini, salah sebuah pengedar rasmi Suzuki di Malaysia, Wah Motor Superbikes telah pun membuka pra-tempahan bagi beberapa model antaranya Suzuki SV650, GSX-S750, V-Strom 750XT, GSX-R1000, GSX-R1000R dan Katana.

Suzuki GSX-R1000R merupakan motosikal segmen sportsbike yang dikuasakan enjin 4-silinder 999.8cc DOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 199hp dan 118Nm dan dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Model ini juga masih mengekalkan ciri Suzuki Even Firing Order yang membantu memastikan enjin kekal lancar dan kurang gegaran sewaktu operasi.

Penggunaan kerangka jenis twin-spar aluminium juga memastikan model ini lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.

Menariknya, model ini juga menawarkan paparan digital LCD yang diinspirasikan daripada GSX-RR di MotoGP.

Antara ciri lain ditawarkan adalah:

  • IMU 6-axis
  • traction control boleh laras
  • Suzuki Bi-Directional Quick Shift
  • Suzuki Drive Mode Selector
  • Motion Track Anti-Lock Brake (GSX-R1000R)
  • Launch Control
  • tangki 16L

Sementara itu, sistem suspension dikendalikan Advanced Showa Balance Free Front Fork (BFF) manakala sistem brek dibantu kaliper Brembo 4-piston (berkembar) dengan ABS di depan manakala kaliper Nissin satu piston di belakang.

Dalam perkembangan sama, Suzuki Malaysia tidak mendedahkan harga rasmi bagi kedua-dua model ini namun berdasarkan tinjauan di pengedar rasmi lain, GSX-R1000 dan GSX-R1000R ditawarkan pada harga RM99,289 dan RM110,289.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube