Setelah lebih setahun sejak Suzuki Assemblers Malaysia mengumumkan penghentian operasi, jenama motosikal Jepun itu akhirnya kembali ke Malaysia menerusi pengendali baharu.
Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB) disahkan sebagai pengimpot, pengedar dan pemasangan tunggal bagi semua motosikal Suzuki, ATV, alat ganti dan aksesori di Malaysia.
Sebagai membuktikan komitmen yang lebih jitu, Suzuki Malaysia turut melancarkan enam model baharu untuk pasaran tempatan yang merangkumi:
- Suzuki GSX-R1000 – RM99,289.00
- Suzuki GSX-R1000R – RM110,289.00
- Suzuki Katana GSX-S 1000S – RM77,989.00
- Suzuki GSX-S 750 – RM40,989.00
- Suzuki V-Strom 650XT – RM37,989.00
- Suzuki SV 650 – RM37,289.00
Menurut Pengurus Besar dan Pengarah Suzuki Malaysia Sdn Bhd, Dato’Jeffrey Lim, ini adalah permulaan baharu yang mengujakan bagi Suzuki.
“Kami bukan sahaja kembali tetapi kami tiba dengan komitmen yang lebih besar, bukan sahaja menawarkan pelanggan dengan model terkini malah meningkatkan pengalaman pemilikan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.
Pada masa sama, Dato Jeffrey memahami bahawa peminat Suzuki sudah menunggu lama untuk pelancaran produk baharu.
“Suzuki Malaysia telah pun merancang untuk melancarkan barisan baharu ini lebih awal namun disebabkan faktor Covid-19, kami tidak dapat melaksanakannya,” tambahnya.
Sementara itu, meskipun keenam-enam model dilancarkan membabitkan jentera bersesaran 650cc keatas namun banyak lagi produk lebih menarik akan diperkenalkan.
“Suzuki Malaysia ada tiga kategori pengedar (Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus dan Suzuki Station) untuk pasaran tempatan tetapi buat masa ini kami memulakan perniagaan dengan menjual model CBU.
“Kami akan mengumumkan banyak lagi barisan produk menarik tak lama lagi,” katanya.
Meskipun tidak menyebut tentang model bersesaran kecil namun berdasarkan skop ketiga-tiga kategori pengedar berikut, pastinya model bawah 250cc akan diperkenalkan.
Hal ini kerana, Suzuki Big Bike World akan menawarkan pusat pameran serba lengkap dengan kesemua model motosikal Suzuki sementara Suzuki Station Plus akan menjual model sehingga 800cc.
Manakala Suzuki Station dipertanggungjawabkan menawarkan motosikal bawah 250cc dengan mensasarkan pelanggan mencari motosikal mampu milik untuk kegunaan harian.
Suzuki Station juga akan menawarkan liputan rangkaian paling luas untuk pasaran besar sekaligus beri bayangan model bersesaran kecil antaranya GSX-R150 dan Belang 150 akan direalisasikan tak lama lagi.