Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini, berlaku kejutan melibatkan pasukan Sepang Racing Team (SRT) apabila Petronas mengumumkan pengunduran selaku penaja utama (title sponsor).

Perkara itu kemudiannya disahkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi satu kenyataan media.

Kami kemudiannya berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengenai kedudukan SIC bersama SRT, semalam.

Menurut Azhan, kerjasama di antara SIC dan SRT tidak akan diteruskan memasuki musim 2022 namun terserah kepada prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali untuk menentukan sama ada perlunya penjenamaan semula.

“Saya serahkan kepada Datuk Razlan untuk memberikan komen mengenai perkara ini, supaya kami (SIC) mendapat gambaran yang lebih jelas bagaimana dia mahu membawa pasukan di MotoGP selepas ini.

“Tapi seperti yang saya utarakan sebelum ini, mereka (SRT) akan bergerak sebagai entiti baharu dan tidak lagi dibawah SIC. Segalanya terletak pada bahu Datuk Razlan selepas ini” jelasnya.

Bagaimanapun, Azhan turut menjelaskan SIC tidak merancang mewujudkan pasukan MotoGP meskipun kerjasama dengan SRT berakhir.

“Buat masa ini tiada perancangan lagi kerana perlukan bajet dan tajaan besar untuk tubuhkan pasukan di kejuaraan dunia.

“Namun melihat kepada situasi semasa, kami perlu melihat semula program kami, fokus kami adalah terhadap membawa pelumba dari MiniGP kepada CEV terlebih dahulu.

“Mempersiapkan mereka ini dahulu sebelum membawa mereka bertanding di Kejuaraan Dunia.

“Bila dah betul-betul bersedia, saya yakin kami akan sampai ke peringkat itu,” tambahnya.

Beberapa minggu setelah mencapai persetujuan untuk meninggalkan Yamaha hujung musim ini, Maverick Vinales sah diumukan sebagai pelumba baharu Aprilia bagi musim 2022.

Aprilia dalam satu kenyataan menyebut, “Kami berbesar hati mengumumkan selamat datang Maverick Vinales ke pasukan factory Aprilia Racing.”

Pengumuman ini bukan lagi satu kejutan tatkala Vinales telah pun dicanang sebagai calon utama pasukan dari Noale, Itali itu.

*Aprilia RS-GP 2021

Ini bermakna bekas juara dunia Moto3 2013 itu akan beraksi dengan jentera Aprilia RS-GP musim depan bersama rakan sepasukan, Aleix Espargaro.

Aprilia bukanlah nama asing bagi Vinales apabila membuat penampilan sulung di kejuaraan dunia dengan jentera Aprilia dalam kategori 125cc pada 2011.

Ketika itu dia merekodkan empat kemenangan dan lima podium dalam musim pertamanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola, berkongsi rasa teruja dengan pengumuman tersebut.

“Dengan sukacitanya kami mengumumkan penyertaan Maverick Vinales, seorang pelumba yang bertaraf tinggi.

“Dia merupakan bakat yang cukup istimewa, projek kami kini diperkuat dengan penyertaan Maverick (Vinales).

“Kami berbesar hati untuk menawarkan skil dan semangat terbaik kami untuk Vinales,” jelasnya.

Sementara itu, Rivola mengesahkan bahawa pelumba sedia ada, Lorenzo Savadori akan terus kekal bersama Aprilia namun peranannya masih belum ditentukan buat masa ini.

CFMOTO Malaysia telah pun mendedahkan harga rasmi bagi 700CL-X meskipun tarikh pelancaran rasmi model itu belum ditentukan setakat ini.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, model hasil kerjasama dengan KTM ini akan ditawarkan di Malaysia dengan harga RM28,800 (sebelum cukai jalan dan insuran).

Jentera berkonsepkan scrambler dan cafe-racer ini menggabungkan elemen klasik dan moden hasil rekaan Kiska, syarikat pereka yang turut bertanggungjawab mereka beberapa jentera KTM dan Husqvarna.

CFMOTO 700CL-X ini didatangkan dengan tiga varian, Sports, Heritage dan Adventure dengan masing-masing dikuasakan enjin 693cc dengan silinder berkembar yang menawarkan sekitar 74hp dan 67Nm.

Beberapa ciri menarik lain turut ditawarkan di bahagian enjin antaranya ‘split-type connection rod’, forged piston’, ‘elctronic throttle dan slipper clutch’.

Jentera dengan berat 183 kilogram ini menawarkan lampu LED (depan dan belakang), sistem ABS, cruise control, port mengecas USB di bawah tempat duduk dan kawalan perlindungan elektronik.

Jentera dengan berat 183 kilogram ini menawarkan lampu LED (depan dan belakang), sistem ABS, cruise control, port mengecas USB di bawah tempat duduk dan kawalan perlindungan elektronik – mungkin merujuk kepada sistem penggera.

Aksi di GP Austria menyaksikan Brad Binder lakar kejutan dengan muncul juara selepas mengambil risiko dengan tayar ‘slick’ meskipun perlumbaan dilanda hujan lebat.

Bagaimanapun, saingan di Red Bull Ring menyaksikan ketiadaan Maverick Vinales susulan Yamaha membuat keputusan untuk menggantung pelumba itu selepas mengambil kira tindakannya minggu lalu di GP Styria.

Vinales didakwa telah mengoperasikan jentera M1 diluar kebiasaan yang dianggap boleh membahayakan dirinya dan pelumba lain.

Pelumba Sepanyol itu akhirnya buka mulut dalam satu wawancara bersama SKY Itali.

“Saya berasa sedih kerana situasi ini amat sukar.

“Saya rasa kecewa kerana di awal perlumbaan (GP Styria) segalanya berjalan dengan baik.

“Tetapi kemudian segalanya tidak menjadi (sebaik perlumbaan dimulakan semula), dan saya terus meletup,” jelas Vinales ketika menggambarkan apa yang dialaminya dua minggu lalu.

Dia kemudiannya menyatakan permohonan maaf terhadap Yamaha atas apa yang berlaku.

“Saya memohon maaf kepada Yamaha, kerana saya menunggang dengan cara yang salah dalam beberapa lap terakhir.

“Jadi saya mahu mohon maaf kepada semua pihak.

“Saya sekali mohon maaf pada Yamaha, kerana saya tidak berniat untuk keadaan menjadi seperti ini,” tambah Vinales.

Meskipun membuat permohonan maaf secara terbuka, masih tidak dapat dipastikan sama Yamaha akan memberi peluang kepada pelumba berusia 26 tahun itu untuk kembali beraksi di Silverstone hujung bulan ini.

Apatah lagi, Vinales akan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini dengan Aprilia dicanang sebagai destinasi seterusnya bagi musim 2022.

Brad Binder, berjaya melakar kemenangan pertama musim 2021 apabila muncul juara di GP Austria.

Saingan di Red Bull Ring pada awalnya menyaksikan perebutan di antara Francesco Bagnaia (Ducati), Marc Marquez (Repsol Honda), Fabio Quartararo (Yamaha) dan Jorge Martin (Pramac) di awal perlumbaan.

Marquez kemudiannya mendahului perlumbaan selepas memintas Bagnaia.

Bagaimanapun, ketika perlumbaan berbaki lima lap, hujan turun dengan lebat lalu memaksa Marquez, Bagnaia, Martin, Quartararo dan Mir untuk masuk ke paddock bagi menukar jentera (dengan tayar hujan) pada lap ketiga.

Namun, Binder membuat keputusan untuk meneruskan perlumbaan di litar basah menggunakan tayar slick.

Meskipun ketiadaan cengkaman namun percaturan berisiko itu ternyata membuahkan hasil untuk menghadiahkan kemenangan pertamanya musim ini.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga jadi milik Bagnaia dan Martin, yang mudah memintas pelumba lain dengan bantuan tayar hujan.

Pada masa sama, pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo sekadar menamatkan aksi di kedudukan ketujuh untuk mengumpul 181 mata – 47 mata dihadapan Bagnaia yang kini mengutip 134 mata.

Kerajaan bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi kembali beroperasi dalam Fasa 1 bermula 16 Ogos ini.

Ekonomi aktiviti yang dibenarkan adalah seperti berikut:

  1. Kedai cuci kereta
  2. Kedai elektrik dan elektronik
  3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
  4. Kedai perabot
  5. Kedai peralatan sukan
  6. Kedai aksesori kereta
  7. Pusat pengedaran dan jualan kereta
  8. Pasar pagi dan pasar tani
  9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
  10. Kedai barang kemas
  11. Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini, pemilik premis perlu memastikan pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 sebagai bukti telah menerima dos lengkap.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube