Umum mengetahui bahawa Ogos lalu, pihak MForce Bike Holdings Sdh Bhd telah pun ke Vietnam bagi menghadiri majlis pra-pelancaran WMOTO XDV 250i.
Majlis itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa skuter urban ‘adventure’ tersebut akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa WMOTO XDV 250i itu akan dilancarkan pada 9 Disember ini.
Untuk rekod, WMOTO XDV 250i adalah dijenamakan semula daripada Longjia XDV 250Si dan dipasang sepenuhnya MForce di Malaysia.
Berdasarkan spesifikasi Longjia XDV 250Si, skuter tersebut dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm.
Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.
Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.
Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin berwarna TFT serta penghadang angin boleh laras.
Menariknya, di pasaran China, skrin TFT tersebut boleh dihubungkan kepada telefon pintar namun belum dapat dipastikan sama ada fungsi tersebut akan dibawa pada WMOTO XDV 250i.
Apa pun kami akan bawakan info penuh dan terperinci pada hari pelancaran yang akan berlangsung 9 Disember ini.