Bikesrepublic

Berita Terkini

Sepuluh lagi jalan raya sekitar Kuala Lumpur mungkin akan dikenakan had laju 30km/j.

Perkara itu diketengahkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Meskipun ketika ini lokasi 10 jalan tersebut masih belum dikenal pasti namun pengerusi baharu MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon berharap jalan raya yang akan dikenakan had laju 30km/j tersebut akan memfokuskan kawasan yang mempunyai kepadatan pejalan kaki yang tinggi.

Di samping itu, lokasi yang akan dipilih juga akan mengambil kira rekod kemalangan babitkan pengguna jalan raya yang terdedah termasuk aduan yang diterima daripada penduduk setempat.

“Dibawah cadangan terbaru, beberapa jalan raya dengan had laju 40km/j akan diturunkan kepada 30km/j sementara jalan raya dengan had laju 60km/j akan diturunkan kepada 50km/j,” ujar Prof Wong.

Jelas Wong lagi, dengan menurunkan had laju sesetengah kawasan, kebarangkalian kemalangan maut atau kecederaan boleh dikurangkan.

“Orang ramai sentiasa terkejar-kejar untuk kesana sini.

“Jika mereka boleh memperlahankan kenderaan, kemalangan boleh dielak.

“Dengan mengurus had laju, kita boleh mengurangkan angka kemalangan,” tambahnya.

Sementara itu, pakar pengangkutan, Goh Bok Yen berkata aspek keselamatan tidak boleh dicapai dengan hanya memperkenalkan had kelajuan kenderaan.

“Sudah tiba masanya DBKL menjadikan jalan di bandar lebih mesra pengguna bagi kenderaan bukan bermotor seperti basikal dan pejalan kaki.

“Mencapai keseimbangan perkongsian jalan raya di antara kenderaan dan pejalan kaki juga amat penting di kawasan pusat perniagaan,” katanya.

Perlumbaan Isle of Man TT (IOMTT) kembali berlangsung bagi 2022 setelah dua tahun kejohanan itu dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, edisi 2022 menyaksikan seramai lima pelumba disahkan maut merangkumi sesi ujian, kelayakan dan perlumbaan.

Mark Purslow, Cesar Chanal, Davy Morgan, Roger Stockton serta anaknya Bradley Stockton melengkapkan senarai mangsa yang maut di perlumbaan penuh mencabar itu.

Ini sekaligus menjadikan IOMTT 2022 edisi paling tragis dalam satu musim sejak tahun 1970 yang menyaksikan enam pelumba kehilangan nyawa.

Susulan angka tinggi tersebut, pihak penganjur IOMTT 2022 telah mengesahkan akan menjalankan siasatan mendalam bagi setiap satu kemalangan maut yang berlaku.

“Siasatan akan menganalisis segala aspek termasuk menentukan punca kemalangan tersebut.

“Satu pasukan profesional membabitkan semua organisasi akan terlibat dalam menilai kejadian yang berlaku sebelum menentukan apakah langkah yang harus dilakukan pada masa akan datang,” jelas IOMTT dalam satu kenyataan.

Lima kematian di IOMTT 2022 menjadikan jumlah korban keseluruhan kini cecah 265 sejak 1911.

Walaupun langkah tertentu bakal diambil pihak penganjur dalam mengenal pasti punca kemalangan maut ini berlaku namun tidak dinafikan insiden tersebut memberi gambaran terhadap risiko yang menanti para pelumba di kejuaraan tersebut.

Kerajaan bakal membuat keputusan mengenai usul melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan dalam masa terdekat,

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu ucapan, baru-baru ini,

Menurut beliau, kerajaan memahami bahawa industri kenderaan bermotor terjejas teruk dengan pelbagai sekatan Covid-19 yang berlangsung selama dua tahun sebelum ini.

“Saya sedar Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) memohon pengecualian itu dilanjutkan lagi kerana sesetengah pembeli kereta mungkin tidak dapat menikmati insentif itu kerana kelewatan penghantaran kenderaan.

“Kelewatan ini disebabkan oleh kekurangan cip dan gangguan rantaian bekalan akibat wabak itu. Namun, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan ini dan satu keputusan akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Sebelum ini, Presiden FMCCAM, Tony Khor berkata, lebih 80,000 tempahan kereta baharu akan terjejas sekiranya kerajaan tidak bercadang melanjutkan pengecualian SST yang akan tamat pada 30 Jun ini.

Meskipun tempahan dibuat sebelum tarikh akhir tersebut namun pembeli akan terkesan dengan kenaikan harga tatkala kereta yang ditempah hanya akan diterima selepas tarikh pengecualian SST berakhir.

Menurut FMMCAM, kemungkinan dikenakan cukai jualan seperti sebelum ini dikhuatiri akan membuatkan pembeli membatalkan pembelian sekaligus menjejaskan jualan. – FMT

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan pilihan warna baharu bagi model naked, MT-15.

Bagi Yamaha MT-15, motosikal tersebut kini tampil dengan tiga warna baharu membabitkan Icon Blue, Midnight Black dan Cyan Storm.

Bagaimanapun, HLYM turut kemas kini harga bagi tahun 2022 yang menyaksikan MT-15 kini ditawarkan pada harga RM12,298 (naik RM310) berbanding RM11,988 sebelum ini.

Kenaikan harga tersebut adalah dijangka susulan impak penurunan nilai ringgit serta kenaikan kos bahan yang dialami pasaran dunia ketika ini.

Sementara itu, tiada perubahan spesifikasi diumumkan sekaligus menyaksikan MT-15 kekal menawarkan enjin silinder tunggal 155cc dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm.

Yamaha telah pun melancarkan skuter terbaru di pasaran Jepun yang akan dipasarkan bermula 28 Jun ini.

Yamaha X Force merupakan skuter kompak urban terbaru diperkenalkan yang dikuasakan enjin Blue Core satu silinder 155cc yang menawarkan 15hp pada 8,000rpm dan 14Nm pada 6,500rpm.

Menurut Yamaha, X Force bukan hanya sebuah skuter kompak biasa, sebaliknya model terbaru ini didatangkan dengan pelbagai ciri moden yang selalunya terdapat pada skuter berkapasiti besar.

Untuk itu, Yamaha X Force ini dilengkapi dengan sistem traction control dan sistem Bluetooth untuk telefon pintar.

Menariknya, skuter ini juga dilabel sebagai ‘Master of Street Scooter’ jolokan sama yang Yamaha berikan pada model MT sebagai ‘Master of Torque’.

Bagi memastikan tunggangan yang lancar dan lincah dalam kawasan bandar, jarak antara tayar (wheelbase) X-Force ini hanya 1,340mm manakala ketinggian tempat duduk hanyalah 815mm. Yamaha juga memastikan reka bentuk tempat duduk adalah sesuai untuk semua jenis ketinggian penunggang.

Walaupun bersaiz kompak namun Yamaha X-Force ini tampil dengan ruang letak barang 23.2L dan mempunyai dua pengankut helmet. Model ini juga praktikal dengan kehadiran tangki 6.1L dan port pengecas USB.

Jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi populasi penduduki susulan permintaan terhadap kenderaan bermotor meningkat lebih sejuta setiap tahun sejak 2019.

Perkara itu didedahkan pakar keselamatan jalan raya, Dr Kulanthayan K.C Mani dari Universiti Putra Malaysia.

Tahun lalu, terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar telah direkodkan sekaligus mengatasi populasi penduduk Malaysia yang berada pada 32.6 juta.

Daripada 33.3 juta yang didaftarkan, 47.3 peratus daripadanya adalah kereta, manakala 46.6 peratus adalah motosikal, diikuti 4.7 peratus bagi kenderaan barangan.

Angka tersebut sekaligus secara tidak langsung menjelaskan kesesakan trafik yang melanda negara ketika ini terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, orang ramai juga mengeluh lebuh raya yang sebelum ini lengang, terutamanya Lebuhraya MEX kini bertukar sesak.

Sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pengguna jalan raya turut mengadu sangkut lebih berjam-jam gara-gara kesesakan jalan menghala ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Jelas Dr Kulanthayan, pengamatan yang dibuat terhadap peningkatan pendaftaran kerenderaan baharu sejak beberapa tahun ini sehingga 2021 dipercayai menjadi antara penyumbang besar terhadap kesesakan jalan yang berlaku.

“Apa yang mengejutkan, jumlah kenderaan pada 2019 berada pada 31.2 juta namun meningkat sejuta setiap tahun dan mencapai 33.3 juta pada 2021.

“Buat pertama kali dalam sejarah, jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi jumlah penduduk negara ini,” ujarnya. – NST

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube