Adakah terdapat tahap kalis air bagi baju hujan? Atau adakah kita hanya mempercayai pembuatnya? Atau adakah kita terus mencuba sehingga kita menemui jenama yang berkesan? Sebelum kami teruskan, TIDAK, INI BUKAN ARTIKEL BERBAYAR ATAU DITAJA.
Kami akui, membeli baju hujan motosikal bukanlah satu tugas yang mudah, terutamanya apabila setiap pembuat mendakwa menghasilkan baju hujan terbaik, biasanya dengan kata-kata manis seperti “kalis air sepenuhnya” dan “dapat bernafas.” Lihatlah di dalam platform membeli-belah atas talian seperti Shopee dan Lazada dan anda akan faham maksud kami. (Dan kami belum mula menyentuh mengenai isu baju hujan yang palsu.)
Jadi, kembali kepada soalan: Adakah terdapat penilaian sedemikian? Jawapannya ialah ada.
Tahap kalis air untuk fabrik
Tahap Kalis Air (Pilar Air dalam mm) | Tahap Kalis Air | Keadaan |
---|---|---|
0-5000 mm | Tiada rintangan atau sedikit rintangan air. | Hujan renyai-renyai, tiada tekanan. |
6000-10000 mm | Kali hujan dan air di bawah tekanan rendah. | Hujan ringan, tekanan ringan. |
11000-15000 mm | Kalis air dan kalis hujan, tetapi bukan di bawah tekanan tinggi. | Hujan sederhana, tekanan rendah. |
16000-20000 mm | Kalis hujan dan kali air di bawah tekanan tinggi. | Hujan lebat, tekanan lebih tinggi. |
20000 mm+ | Kalis hujan dan air, di bawah tekanan yang amat tinggi. | Hujan lebat, tekanan amat tinggi. |
Sila rujuk rajah di atas.
Jadi, lebih tahap kalis air, lebih kalis air kain itu.
“Tekanan” seperti yang diterangkan di atas ialah daya yang menekan pilar air terhadap fabrik, yang menyerupai angin. Inilah sebabnya mengapa ada pembuat baju hujan dan/atau pakaian musim sejuk tertentu yang menyatakan tahap kalis air fabrik mereka dalam unit PSI (tekanan setiap inci persegi). Kadar penukaran ialah 1 psi = 704 mm air.
Bagaimanakah sesuatu fabrik diuji?
Istilah teknikalnya ialah ujian tekanan hidrostatik.
Pertama, terdapat sebab mengapa tahap itu dipanggil “pilar air.” Ia merujuk kepada tiub menegak yang diisi dengan air dan ditanda dalam mm. Istilah sebenarnya di dalam Bahasa Inggeris ialah water column, dan menjadi “tiang air” apabila dialih bahasa, jadi kami gunakan istilah “pilar.”
Sehelai fabrik ditengangkan seperti kulit dram, dan tiub diletakkan di atasnya. Air kemudiannya ditambah ke dalam tiub sehingga tekanannya meresap melalui fabrik.
Contohnya, jika air mula meresap pada 3250mm, fabrik tersebut mempunyai penarafan kalis air antara 0-5000mm, oleh itu ia tidak seberapa kalis air dan hanya sesuai untuk hujan yang ringan.
Agak mudah untuk difahamkan.
Masalahnya…
Walaubagaimanapun, tidak semua pengeluar menerbitkan penarafan pakaian hujan mereka. Terdapat juga mereka yang meniru (ahem) atau menggunakan bahan yang sama yang digunakan oleh pengeluar lain untuk membuat baju hujan sendiri.
Terdapat beberapa kemungkinan yang terhasil di sini:
- Sut hujan yang tidak mempunyai tahap kalis air, tetapi benar-benar kalis air kerana bahan dan reka bentuk yang baik. Anda mungkin terkejut apabila mendapati baju hujan berjenama tertentu yang agak nipis dan ringan namun menawarkan kalis air yang hebat dan tahan selama bertahun-tahun.
- Baju hujan yang bukan sahaja membenarkan air masuk, tetapi ia seperti kita tidak memakai baju hujan. Ia mungkin disebabkan oleh reka bentuk yang buruk seperti tiada pengedap velcro, tiada “saluran hujan” untuk menutup zip jaket, atau pengedap jahitan yang buruk (terutamanya di kawasan kelangkang), atau bahan yang tidak baik, atau gabungan mana-mana atau semua faktor ini . Dan selamat mencuba untuk mendapatkan kembali wang anda daripada penjual Shopee yang anda pesan!
- Tetapi… ada juga pengeluar yang benar-benar menguji pakaian hujan mereka tetapi mereka tetap bocor seperti penapis. Ia mungkin disebabkan oleh reka bentuk dan bahan yang buruk.
Jadi macam mana kita hendak tahu baju hujan mana yang bagus?
Cara terbaik, malangnya, adalah mencuba beberapa baju hujan daripada beberapa jenama.
Baju hujan kegemaran kami setakat ini adalah dari RS Taichi dan Komine. Yang pertama tidak mempunyai penarafan kalis air yang diterbitkan, manakala tahap Komine ialah 32000mm. Kedua-duanya ringan, tahan lama, bernafas, dan sangat kalis air. TIDAK, INI BUKAN ARTIKEL BERBAYAR ATAU DITAJA, sebaliknya ia adalah dari pengalaman kami sendiri yang memiliki beberapa pakaian hujan.