Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, mengakui bersetuju melepaskan Franco Morbidelli ke factory Yamaha bagi musim 2022.
Meskipun tiada pengumuman rasmi namun berdasarkan laporan media antarabangsa, Morbidelli akan menggantikan Vinales di Yamaha.
“Ini adalah impiannya, dan kami tidak akan menolak. Dia (Morbidelli) juga telah mengajukan soalan ini, dan kami juga telah berikan lampu hijau.
“Kini perbincangan adalah diantara Yamaha dan VR46,” jelas Razlan.
Penghijrahan Morbidelli bermakna Razlan perlu membentuk pasukan baharu bagi saingan musim 2022, apatah lagi dengan Valentino Rossi dijangka bakal undur diri.
Antara nama yang disebut sebagai calon adalah bekas pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, namun bagi Razlan, pelumba berpengalaman itu bukan sasaranya.
“Idea itu menarik tetapi kami enggan berada dalam situasi sama seperti tahun ini.
“Dovizioso tidak beraksi selama setahun. Kami mahukan pelumba yang boleh dibentuk, sepertimana kami lakukan bersama Fabio Quartararo,” tambah Razlan.
Pada masa sama, Razlan juga menepis dakwaan yang mengaitkan pasukan itu dengan enam kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea.
“Kami ada membuat senarai calon diluar MotoGP, seperti Toprak Razgatlıoğlu, Garrett Gerloff, nama dia (Rea) turut ada. Tetapi dukacitanya, usianya agak lanjut. Kami mahu memfokuskan pelumba muda,” ujarnya lagi.
Sebaliknya, Razlan mengakui sedang mengintai kelompok Moto2 ketika ini.
“Kami sedang melihat di Moto2, dari tempat pertama hingga kesembilan, termasuk Xavi (Vierge). Ada pelumba lain yang masih ada antaranya Marco Bezzecchi, Joe Roberts dan Marcel Schrotter.”
Dalam perkembangan sama, pelumba uji Yamaha, Cal Crutchlow, akan kembali ke litar bersama SRT menggantikan Morbidelli untuk tiga pusingan seterusnya.
Morbidelli ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan lutut. – GPOne