Akhir-akhir ini, sudah menjadi tren di Indonesia di mana remaja-remaja membahayakan nyawa sendiri demi mencipta video tular, seperti dalam cabaran Malaikat Maut yang sering dilihat dalam aplikasi TikTok.
Mereka yang menyertai cabaran ini akan berdiri di hadapan kenderaan bergerak untuk ‘prank’ pemandu kenderaan tersebut, dan bergerak ke tepi sebelum dilanggar.
Cabaran ini dikatakan berjaya jika kenderaan berhenti sebelum melanggar orang yang melakukan cabaran itu, tetapi ini terbukti boleh membawa maut apabila seorang remaja bertemu maut ketika menyertai cabaran itu.
Menurut CNN Indonesia, sekumpulan lapan orang remaja telah menyertai cabaran itu, tetapi pemandu lori itu tidak sempat mengenakan brek sebelum remaja itu dilanggar, mengakibatkan tiga daripada mereka dilanggar.
Salah seorang daripadanya yang hanya dikenali sebagai FA, berumur 13 tahun, meninggal sementara seorang lagi cedera parah dan sedang dirawat di hospital.
Kejadian ini berlaku di daerah Cikarang Utara, Kabupaten Bekasi.
Ketua polis trafik Bekasi Argo Wiyono berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan mangsa, ini bukan kali pertama FA mencipta kandungan bahaya.
Salah seorang daripada rakannya telah memaklumkan pihak polis bahawa FA memang gemar mencipta kandungan seperti ini dalam percubaan menularkan videonya dan menjadi terkenal.
Sementara itu, polis sedang menyiasat kejadian ini, termasuk mencari pemandu lori tersebut.
Argo berkata berkemungkinan pemandu lori itu seorang suspek dalam kes ini kerana dia lari dari tempat kejadian sejurus selepas kejadian itu.
Namun begitu, Argo menyatakan pihaknya perlu menjalankan siasatan dahulu untuk menentukan niat pemandu lori itu.
“Pihak kami masih mencari pemandu lori itu, tetapi kami tidak boleh mengatakannya sebagai suspek sebelum maklumat lebih lanjut diperolehi,” kata Argo.
Beliau kemudiannya mengujar remaja supaya jangan mengeluarkan kandungan yang boleh membahayakan orang lain dan juga diri sendiri.
Sebagai jawapan kepada persoalan tren yang membahayakan nyawa, ahli psikologi Rose Mini Agoes Salim mengatakan ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami sebab di sebalik remaja melakukan perkara seperti ini.
Beliau memberitahu Kompas bahawa remaja secara amnya melakukan aksi seperti ini untuk memenuhi keperluan untuk mengenal identiti sendiri.
“Secara psikologinya, remaja-remaja ini mencari identiti sendiri. Oleh itu, mereka akan mencari tempat untuk menunjukkan kewujudan mereka,” kata beliau.
Rose mengesyaki bahawa remaja yang menyertai cabaran seperti ini berpotensi untuk tidak cemerlang dalam hal-hal akademik, dan cuba untuk menunjukkan kewujudan mereka dengan melakukan perkara bahaya seperti ini.