Bikesrepublic

Berita Terkini

Akhir-akhir ini, sudah menjadi tren di Indonesia di mana remaja-remaja membahayakan nyawa sendiri demi mencipta video tular, seperti dalam cabaran Malaikat Maut yang sering dilihat dalam aplikasi TikTok.

Mereka yang menyertai cabaran ini akan berdiri di hadapan kenderaan bergerak untuk ‘prank’ pemandu kenderaan tersebut, dan bergerak ke tepi sebelum dilanggar.

Cabaran ini dikatakan berjaya jika kenderaan berhenti sebelum melanggar orang yang melakukan cabaran itu, tetapi ini terbukti boleh membawa maut apabila seorang remaja bertemu maut ketika menyertai cabaran itu.

Menurut CNN Indonesia, sekumpulan lapan orang remaja telah menyertai cabaran itu, tetapi pemandu lori itu tidak sempat mengenakan brek sebelum remaja itu dilanggar, mengakibatkan tiga daripada mereka dilanggar.

Salah seorang daripadanya yang hanya dikenali sebagai FA, berumur 13 tahun, meninggal sementara seorang lagi cedera parah dan sedang dirawat di hospital.

Kejadian ini berlaku di daerah Cikarang Utara, Kabupaten Bekasi.

Ketua polis trafik Bekasi Argo Wiyono berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan mangsa, ini bukan kali pertama FA mencipta kandungan bahaya.

Salah seorang daripada rakannya telah memaklumkan pihak polis bahawa FA memang gemar mencipta kandungan seperti ini dalam percubaan menularkan videonya dan menjadi terkenal.

Sementara itu, polis sedang menyiasat kejadian ini, termasuk mencari pemandu lori tersebut.

Argo berkata berkemungkinan pemandu lori itu seorang suspek dalam kes ini kerana dia lari dari tempat kejadian sejurus selepas kejadian itu.

Namun begitu, Argo menyatakan pihaknya perlu menjalankan siasatan dahulu untuk menentukan niat pemandu lori itu.

“Pihak kami masih mencari pemandu lori itu, tetapi kami tidak boleh mengatakannya sebagai suspek sebelum maklumat lebih lanjut diperolehi,” kata Argo.

Beliau kemudiannya mengujar remaja supaya jangan mengeluarkan kandungan yang boleh membahayakan orang lain dan juga diri sendiri.

Sebagai jawapan kepada persoalan tren yang membahayakan nyawa, ahli psikologi Rose Mini Agoes Salim mengatakan ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami sebab di sebalik remaja melakukan perkara seperti ini.

Beliau memberitahu Kompas bahawa remaja secara amnya melakukan aksi seperti ini untuk memenuhi keperluan untuk mengenal identiti sendiri.

“Secara psikologinya, remaja-remaja ini mencari identiti sendiri. Oleh itu, mereka akan mencari tempat untuk menunjukkan kewujudan mereka,” kata beliau.

Rose mengesyaki bahawa remaja yang menyertai cabaran seperti ini berpotensi untuk tidak cemerlang dalam hal-hal akademik, dan cuba untuk menunjukkan kewujudan mereka dengan melakukan perkara bahaya seperti ini.

Terdapat khabar angin tersebar luas bahawa Ducati sedang mengusahakan kotak gear ‘seamless shifting’ untuk model-model ‘streetbike’ syarikat itu.

Khabar angin ini berdasarkan dokumen paten yang dikeluarkan Ducati, dan tanggapan bahawa kotak gear baru ini akan ditampilkan pada generasi ‘superbike’ Ducati seterusnya.

Teknologi ‘seamless shifting’ ini bukanlah benda baru dalam dunia permotoran, bahkan bagi Ducati sendiri, kerana teknologi ini digunakan secara meluas dalam kotak gear jentera MotoGP.

Sebagai tindakbalas kepada perlumbaan grand prix mengharamkan DCT, kotak gear ‘seamless shifting’ diperkenalkan sedekad lalu supaya jentera yang digunakan boleh mencapai penukaran gear sepantas DCT tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.

Kotak gear ‘seamless shifting’ membenarkan peralihan gear yang pantas tanpa memberi impak kepada casis, dan juga dikatakan lebih pantas dalam satu per sepuluh saat atas litar perlumbaan.

Kebaikan teknologi ini atas jalan tidak sejelas itu, tetapi pada kotak gear ‘dual-clutch’ seperti yang ditawarkan Honda, ia memberikan manfaat peralihan gear pantas dan penawaran kotak gear yang berfungsi seperti kotak gear automatik.

Untuk Ducati, teknologi ini kemungkinan besar akan lebih fokus kepada perlumbaan dan litar, menggunakan teknologi dibangunkan MotoGP ini untuk meningkatkan prestasi perlumbaan generasi ‘superbike’ Ducati yang seterusnya.

Kita menjangka akan menyaksikan pengeluaran motosikal menggunakan teknologi ini pada tahun 2023, namun terdapat kemungkinan model baru akan keluar seawal hujung tahun ini, untuk tahun model 2022.

Adakah motosikal seterusnya dari Ducati akan menampilkan teknologi ini? Ini merupakan sesuatu yang bakal dilihat.

Pandemik Covid-19 yang masih berleluasa ini semakin hari semakin mengganas, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Dengan bilangan kes di Thailand yang makin meningkat saban hari, dan program vaksinasi mereka yang bergerak perlahan, penganjur Thai GP terpaksa membatalkan pusingan Moto GP 2021 yang sepatutnya berlangsung di Buriram.

Ia dipercayai bahawa pusingan gantian sedang dalam perancangan, namun mencari tempat baru merupakan sesuatu yang mencabar bagi pihak penganjur disebabkan keadaan pandemik ini.

Wujud khabar angin terdapat penganjuran pusingan kedua di Sepang dan juga Austin, di Circuit of the Americas, tetapi ini semua hanya spekulasi tanpa pengesahan dari mana-mana pihak.

Namun begitu, melihat kepada keadaan di negara kita sendiri, adakah perlumbaan di Sepang masih akan diteruskan sebagai acara tertutup atau adakah ia harus dibatalkan juga?

Tidak dinafikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia saban hari mendatangkan kebimbangan.

Pun begitu, dalam masa sama program vaksinasi Malaysia bergerak pantas, jadi agak sukar untuk ditentukan sama ada acara ini masih boleh diteruskan pada Oktober nanti atau sebaliknya.

Penyelesaian paling mudah ialah mengadakan dua perlumbaan di tempat yang sama, tetapi semestinya mengurangkan pergerakan antara negara meningkatkan peluang perlumbaan akan diteruskan.

Musim perlumbaan 2021 hanya akan menyaksikan maksima 20 acara.

Semua tarikh, acara dan penonton yang dibenarkan tertakluk kepada evolusi pandemik dan juga kelulusan kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat.

Jadual MotoGP terkini seperti di bawah, namun kemungkinan besar akan berlaku perubahan bergantung kepada keadaan semasa.

TarikhGrand PrixLitar
28 MacQatar*Losail International Circuit
4 AprilQatar*Losail International Circuit
18 AprilPortugalAlgarve International Circuit
2 MeiSepanyolCircuito de Jerez – Ángel Nieto
16 MeiPerancisLe Mans
30 MeiItaliAutodromo del Mugello
6 JunCatalunyaBarcelona – Catalunya
20 JunBelandaTT Circuit Assen
27 JunJermanSachsenring
8 OgosStyriaRed Bull Ring-Spielberg
15 OgosAustriaRed Bull Ring-Spielberg
29 OgosGreat BritainSilverstone
12 SeptemberAragónMotorLand Aragón
19 SeptemberSan Marino e della Riviera di RiminiMisano World Circuit Marco Simoncelli
3 OktoberAmerika SyarikatCircuit of the Americas
24 OktoberMalaysiaSepang International Circuit
7 NovemberAlgarveAlgarve International Circuit
14 NovemberComunitat ValencianaComunitat Valenciana-Ricardo Tormo

Acara MotoGP yang tertunda akibat pandemik Covid-19 dan masih menanti pengumuman tarikh baru:

Grand PrixLitar
República ArgentinaTermas de Río Hondo

Tempat Grand Prix Simpanan:

Indonesia**Mandalika International Street Circuit

* Perlumbaan petang
** Tertakluk kepada homologasi

Tindakan mencabut cermin sisi sememangnya popular dikalangan pemilik yang mahukan motosikal kelihatan lebih bergaya.

Namun, tindakan tersebut memberi kesan terhadap keselamatan penunggang ekoran tidak lagi berupaya melihat kedatangan trafik lain dari belakang di samping memberi kesan pada pertimbangan sewaktu menunggang.

Mengambil kira faktor tersebut, mahkamah tinggi Madras telah meluluskan cadangan untuk membatalkan waranti motosikal sekiranya pemilik mencabut cermin sisi.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengesan angka kemalangan tinggi berpunca daripada isu terbabit.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengangkutan Tamil Nadu juga telah diarahkan untuk memaklukam semua pengedar motosikal untuk memperkenalkan klausa pembatalan waranti sekiranya pemilik mencabut cermin sisi. – RushLane

Varian Proton X70 kini diperkembangkan dengan edisi Special Edition yang terhad kepada 2,000 unit sahaja untuk pasaran tempatan.

Proton X70 SE ini dikuasakan enjin 1.8L TGDi dengan transmisi 7-kelajuan sama seperti varian Premium 2WD.

Bagaimanapun, perbezaan ketara tampil menerusi rekaan luar dan kemasan di ruang dalam yang menonjolkan lagi rupa X70 SE ini terutamanya pemilihan warna hitam bagi bahagian bumbung, spoiler dan cermin sisi serta penggunaan rim 19 inci.

Lencana SE juga dipaparkan di bahagian belakang.

Sementara itu, ruang dalam juga tampil dengan kemasan serba hitam termasuklah penggunaan kerusi kulit Nappa dan karpet SE.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Proton Intelligent Air Purification System (P-IAPS)
  • 6 beg udara SRS
  • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
  • Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
  • kamera 360

Proton X70 SE ini datang dengan pilihan warna Ocean Blue dan Ruby Red dan ditawarkan pada harga OTR RM123,800 (sebelum insurans). Tempahan kini boleh dibuat dengan bayaran serendah RM99.

Suzuki dan MV Agusta bakal menghangatkan EICMA edisi ke-78 tahun ini dengan masing-masing telah pun mengesahkan penyertaan.

Suzuki bakal sertai dua pengeluar motosikal gergasi Jepun lain, Yamaha dan Honda yang sebelum ini telah pun mengesahkan penglibatan lebih awal.

Menariknya, Suzuki akan menggunakan pendekatan teknologi bagi membenarkan pengunjung mengakses model 2022 dengan lebih terperinci di samping melihat dengan lebih dekat model baharu dengan jarak yang lebih selamat.

“EICMA merupakan pameran yang menakjubkan untuk semua yang terlibat dalam industri motosikal.

“Acara di Milan ini merupakan platform tepat untuk setiap pengeluar, terutamanya dalam tempoh sekarang,” jelas Pengarah Divisyen Motosikal dan Marin Suzuki Itali, Paolo Ilariuzzi.

Turut mengesahkan penglibatan adalah MV Agusta yang akan turut serta mengujakan pengunjung dengan model baharu sepertimana didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Timur Sardarov.

“Pameran di Milan adalah peluang yang kami tidak akan lepaskan.

“Ini adalah pameran yang membenarkan kami berkongsi gaya dan kekuatan jentera buatan Itali, yang menggabungkan teknologi dan kejuruteraan ‘avant-garde’ serta pengalaman lebih 75 tahun.

“Tahun ini kami tidak akan gagal dalam membuat kejutan untuk semua peminat,” ujarnya.

EICMA 2021 dijadualkan akan berlangsung di Milan pada 23 hingga 28 November ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube