Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, telah pun selamat tiba di tanah air sempena cuti musim panas.

Saingan MotoGP kini memasuki cuti pertengahan musim selama sebulan sebelum kembali bersambung pada 8 Ogos nanti di Austria.

Hafizh telah pun tiba di Malaysia semalam dan bakal menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Sementara itu, rata-rata berpendapat kepulangan Hafizh sempena cuti musim panas ini bakal memberi peluang kepada pelumba itu untuk menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

TMJ sebelum ini menyatakan hasrat berminat untuk menaja karier Hafizh di arena permotoran antarabangsa.

Baginda turut berminat untuk mengenal pasti dengan lebih lanjut kos perbelanjaan Hafizh bagi beraksi di Moto2 serta segala bantuan yang telah diterima setakat ini.

Hafizh turut mencuri tumpuan semalam apabila memuat naik iklan menjual basikal S-Works Shiv TT miliknya dengan harga RM42,000 di Instagram dalam usahanya untuk terus berlumba..

Saingan hujung minggu lalu di GP Belanda menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke 23 keseluruhan dihadapan rakan sepasukan Barry Baltus.

Monster Energy Yamaha telah pun disahkan kehilangan khidmat Maverick Vinales hujung musim ini dengan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kontrak lebih awal.

Vinales yang masih berbaki kontrak sehingga hujung 2022 akan meninggalkan pasukan factory itu hujung musim ini dengan Aprilia dicanang sebagai destinasi seterusnya.

*Maverick Vinales

Keputusan itu menyaksikan Yamaha mempunyai satu slot kosong selain dari Fabio Quartararo bagi musim 2022.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, timbul dakwaan bahawa Yamaha telah mencapai persetujuan bersama pasukan satelit, Petronas Sepang Racing Team (SRT) untuk memindahkan Franco Morbidelli ke pasukan factory.

Seandainya dakwaan tersebut berasas bermakna SRT bakal ketiadaan pelumba menuju musim 2022 sementara Morbidelli akan kembali digandingkan bersama bekas rakan sepasukan, Fabio Quartararo dan bakal mendapat jentera M1 factory yang diidamkan.

Senario ini juga bererti SRT bakal ketiadaan dua pelumba menuju musim 2022.

Ini kerana, seorang lagi pelumba, Valentino Rossi juga dikhabarkan tidak akan bersama SRT musim depan bagi memfokuskan saingan bersama Aramco Racing Team VR46 yang akan membuat penampilan sulung di kelas premier bersama Ducati.

*Franco Morbidelli

Sekiranya Morbidelli berhijrah ke factory Yamaha, situasi ini pastinya memberi impak besar terhadap prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, yang kini perlu mencari dua muka baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.

Sebelum ini, pengurus pasukan SRT, Johan Stigefelt, menyuarakan minat terhadap pelumba Moto2, Raul Fernandez sebelum pelumba KTM Ajo itu dikhabarkan akan menyertai Remy Gardner di KTM Tech3.

*Garret Gerloff

Ketika aksi di GP Belanda, SRT mempertaruhkan pelumba GRT Yamaha WorldSBK, Garret Gerloff menggantikan Morbidelli yang mengalami kecederaan.

SRT turut dikhabarkan menawarkan peluang itu kepada Toprak Razgatlıoğlu sebelum pelumba itu menolak tawaran tersebut bagi memberi fokus pada WorldSBK bersama Pata Yamaha.

*Fabio Quartararo

Morbidelli ketika ini sedang menjalani rawatan pemulihan apabila disahkan akan diketepikan lebih lapan minggu selepas menjalani pembedahan di lutut kiri ekoran kecederaan sewaktu latihan.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, membuat keputusan untuk menjual basikal kesayangannya menerusi akaun sosial Instagram miliknya.

Namun, kapsyen yang disertakan paling mencuri perhatian apabila Hafizh memaklumkan tindakan menjual basikal itu kerana mahu terus berlumba.

Senario itu sekaligus mencetuskan tanda tanya sama ada situasi kewangan Hafizh sedang terkesan ketika ini atau sekadar mahu mengukuhkan bajet sedia ada.

Menurut perkongsian tersebut, basikal jenis TT Shiv itu baru digunakan untuk 200 kilometer sahaja dan ditawarkan pada harga RM42,000.

Difahamkan, Hafizh membeli basikal tersebut tahun lalu dengan nilai pasaran sekitar RM70,000 dan digunakan untuk beriadah selepas pulang dari perlumbaan di luar negara.

Monster Energy Yamaha telah pun mengumumkan Maverick Vinales bakal meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.

Vinales dan Yamaha telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak yang masih berbaki semusim hingga 2022 lebih awal.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Vinales bakal beraksi dengan pasukan baharu bermula musim depan.

*Aleix Espargaro

Aprilia merupakan antara destinasi paling relevan buat Vinales yang masih belum mengesahkan slot pelumba kedua yang bakal digandingkan bersama Aleix Espargaro.

Ketua Pengarah Aprilia Racing, Massimo Rivola juga menyatakan minat dengan khidmat Vinales sebelum ini.

*Andrea Dovizioso

Namun, Aprilia juga sedang giat menguji RS-GP dengan pelumba berpengalaman Andrea Dovizioso, yang ketika ini juga dicanang sebagai calon untuk bergandingan bersama Espargaro.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, media antarabangsa melaporkan khidmat pelumba Sepanyol itu turut ditagih Aramco Racing Team VR46.

Namun, situasi di VR46 turut bergantung kepada keputusan membabitkan pelumba veteran, Valentino Rossi sekiranya dia masih berminat untuk meneruskan karier bersama jentera Desmosedici musim depan. – GPOne

Ketika di EICMA 2019, Brixton Motorcycles telah pun mendedahkan jentera konsep dengan enjin 1,200cc.

Namun apa yang mencuri tumpuan ketika itu adalah reka bentuk motosikal tersebut yang mirip Triumph Bonneville T120.

Ketika itu, pihak Brixton mendedahkan model 1,200cc itu bakal diangkat ke peringkat pengeluaran namun memasuki 2021, masih tiada sebarang perkembangan terbaru.

Apatah lagi dengan dunia dilanda pandemik Covid-19, percaturan Brixton pasti turut tergendala.

Bagaimanapun, laporan terbaru mendedahkan Brixton Motorcycles telah pun memfailkan paten yang mengesahkan enjin 1,200cc itu telah pun memasuki peringkat pengeluaran.

Paten tersebut datangnya dari Gaokin, pengeluar motosikal dari China yang ketika ini menghasilkan motosikal Brixton.

Gambar paten tersebut jelas memaparkan rekaan enjin sama yang ditayangkan pada EICMA 2019 dan seperti enjin T120 Triumph, enjin 1,200cc ini dilengkapi sistem penyejukan cecair dan dua dilinder.

Ketika ini tiada tarikh pelancaran model 1,200cc ini didedahkan namun apa yang pasti, tawaran terbaru dari Brixton ini pastinya akan mencuri perhatian ramai.

Kurang 24 jam setelah membantu Monster Energy Yamaha melengkapkan kemenangan satu-dua di Assen, Maverick Vinales membuat keputusan untuk berpisah dengan pasukan itu hujung musim ini.

Perkara itu diumumkan pihak Yamaha sendiri yang mendedahkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak Vinales yang masih lagi berbaki setahun.

Vinales telah merekodkan lapan kemenangan sejak menyertai Monster Energy Yamaha pada 2017 dan tidak pernah gagal menamatkan setiap musim dalam kelompok enam teratas.

Hubungan Vinales bersama Yamaha mulai suram apabila pelumba Sepanyol itu tidak berpuas hati dengan tindakan pasukannya menggantikan ketua kru, Esteban Garcia dengan bekas ketua kru Valentino Rossi, Silvano Galbusera.

Dia kemudian meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak mendapat kerjasama yang diharapkan dari pihak Yamaha ekoran jentera YZR-M1 miliknya masih berdepan masalah sama berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo.

“Kerjasama ini cukup penting buat sama dalam tempoh lima tahun ini. Keputusan untuk meninggalkan Yamaha bukan mudah.Kami telah mencapai pelbagai kejayaan bersama.

“Sebagai penghormatan terhadap tindakan Yamaha yang menghormati keputusan ini, saya tekad untuk berikan yang terbaik sehingga penghujung musim ini,” jelas Vinales.

Meskipun berjaya menaiki podium di Assen, Vinales akui dia tidak mencapai potensi yang sebenar setakat ini bersama Yamaha.

Dalam perkembangan sama, berita ini membuka peluang kepada Aprilia untuk memancing pelumba berusia 26 tahun itu untuk digandingkan bersama Aleix Espargaro musim depan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube