Bikesrepublic

Berita Terkini

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bakal dihadapkan dengan kompaun setelah didapati memandu uji kereta di salah sebuah pusat pameran di Autocity Juru, Seberang Perai, Jun lalu.

Muhammad Sanusi didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP dengan melanggar larangan rentas negeri dan memandu uji kenderaan meskipun pusat pameran tidak dibenarkan beroperasi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memaklumkan bahawa kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, pengesahan arahan kompaun akan disampaikan ke pejabat menteri besar Kedah dalam masa terdekat.

Setakat ini, jumlah kompaun yang akan dikenakan belum didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, tular rakaman memaparkan Menteri Besar Kedah itu dipercayai memandu uji sebuah kereta jenis Ford Ranger di Juru meskipun negara sedang dilanda PKP.- BH

Ducati meneruskan trend jualan positif bagi separuh pertama 2021 apabila berjaya menyerahkan 34,485 unit motosikal kepada tangan pemilik baharu.

Angka jualan tersebut sekaligus menyaksikan pengeluar motosikal Itali itu mencatatkan peningkatan lebih 43 peratus dan 9 peratus berbanding tempoh sama pada 2020 dan 2019.

Menurut Ducati, Jun merekodkan jualan paling cemerlang dengan 8,598 unit berjaya dijual seluruh dunia.

Berikut pecahan berdasarkan peratusan jualan mengikut negara:

  • Australia – 82 peratus
  • Itali – 55 peratus
  • Jepun – 53 peratus
  • Amerika Utara – 51 peratus

Pengenalan kepada model baharu menjadi percaturan terbaik buat Ducati apabila model adventure terbaru, Multistrada V4 paling popular diikuti Ducati Scrambler 800 Nightshift dan Icon Dark serta Streetfighter V4.

Lebih menarik, Monster 900 juga catat angka memberangsangkan meskipun baru berusia beberapa bulan dalam pasaran sejak dilancarkan April lalu.

Sementara itu, rata-rata model baharu sudah pun dipasarkan di Malaysia oleh Ducati Malaysia kecuali Multistrada V4, Monster dan Diavel 1260 S “Black and Steel” ekoran situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih melanda negara.

Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor.

Sebaliknya, PKPD di semua mukim terlibat akan ditamatkan jam 12 malam ini.

Perkara itu diputuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengadakan persidangan khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

PKPD di semua 34 mukim telah pun berjalan selama 14 hari sejak 3 Julai lalu yang membabitkan daerah Petaling, Gombak, Klang serta Kuala Selangor.

Pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Jonathan Rea, akhirnya berjaya mendapatkan lesen motosikal awam yang sah.

Siapa sangka, Rea yang juga juara dunia enam kali WorldSBK dengan 103 kemenangan, 194 podium, 30 petak pertama dan 82 lap terpantas baharu sahaja selesai mendapatkan lesen motosikal di usia 34 tahun.

Perkara itu didedahkan Rea sendiri menerusi saluran YouTube miliknya.

Video berdurasi 8 minit 26 saat itu juga mendedahkan dia menjalani ujian menggunakan motosikal jenis Kawasaki Z650 sambil terpampang lesen L yang besar di bahagian depan.

Lebih mencuit hati apabila video tersebut memaparkan Rea, yang merekodkan enam kejuaraan dunia WorldSBK berturut-turut, menerima ‘tunjur ajar’ daripada cikgu sekolah memandu.

Seorang lelaki di India telah dikejutkan dengan pemberian hadiah hari jadi berupa Suzuki Hayabusa 2021 dari isterinya.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Gagan, telah hadir ke pusat pameran Suzuki di India atas permintaan rakannya yang kononnya tidak dapat hadir untuk membawa pulang Hayabusa tersebut.

Bagaimanapun, sewaktu penyerahan, kakitangan di pusat pameran tersebut mendedahkan bahawa generasi ketiga Hayabusa itu adalah miliknya yang telah dibeli oleh isterinya sebagai hadiah hari jadi ke-50 tahun.

Difahamkan, isterinya dan pusat pameran tersebut telah bekerjasama bagi memastikan Suzuki Hayabusa itu dapat diserahkan tepat pada hari kelahiran suaminya.

Suzuki telah menaik taraf enjin 4-inline 1,340cc Hayabusa bagi mencapai standard Euro 5 yang kini menawarkan 187.4hp pada 9,700rpm dan 150Nm pada 7,000rpm.

Meskipun angka tersebut sedikit menurun berbanding Hayabusa generasi kedua yang menawarkan 194hp dan 155Nm namun enjin 16 Valve DOHC dengan penyejukan cecair itu kini lebih tahan lasak serta menawarkan pembakaran minyak lebih efisien dan mampu merekodkan kelajuan maksima (nominal) 299km/j.

Menariknya, Suzuki mengekalkan penggunaan kerangka twin-spar dan swingarm jenis aluminium.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork depan KYB (upside down) dengan salutan Diamond-Like-Carbon
  • monoshock belakang KYB
  • tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22
  • gabungan meter jenis analog dan skrin TFT berwarna
  • Suzuki Intelligent Ride System (SIRS)
  • Bosch IMU 6-axis
  • Launch Control
  • Cruise Control (antara 31km/j hingga 200km/j)
  • Combined Brake System
  • Slope Dependent Control System
  • Hill Hold Control System
  • Emergency Stop Signal

Model ini juga tampil dengan Suzuki Drive Mode Selector Alpha (SDMS-a) yang membolehkan penunggang membuat tetapan berikut:

  • Motion Track Traction Control System
  • Bi-directional Quick Shift System
  • Engine Brake Control System
  • Anti-lift Control System
  • Power Mode Selector

Sistem brek pula dikendalikan kaliper brek Brembo Stylema yang dipadankan dengan cakera brek depan (jenis floating) 320mm serta teknologi ABS terkini.

Ketika ini, Suzuki Hayabusa 2021 ini masih belum dipasarkan di Malaysia.

Ducati Malaysia telah melancarkan kedai atas talian baharu bagi memudahkan para Ducatisti membuat pembelian dengan lebih mudah.

Ekoran situasi semasa pandemik Covid-19 dengan sesetengah negeri masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ducati MY mengambil inisiatif bagi memudahkan pelanggan mendapatkan barangan tulen dan aksesori rasmi Ducati secara atas talian di Ducati Online Store.

Kedai atas talian tersebut mudah diakses dan pelanggan hanya perlu memilih model Ducati yang dikehendaki bagi membuat sebarang pembelian alat ganti Ducati Performance Parts mahupun sebarang aksesori.

Pelanggan yang kerap melayari laman atas talian juga akan menikmati pelbagai tawaran menarik dan diskaun istimewa bagi barangan terpilih.

Setiap pembelian akan dibungkus dengan rapi dan akan dihantar ke pelanggan menerusi perkhidmatan kurier yang dipercayai.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube