Bikesrepublic

Berita Terkini

Jualan Isuzu D-Max baharu telah merekodkan peningkatan 100 perats sejak dilancarkan di Malaysia.

Menurut Isuzu Malaysia, rata-rata 1,200 unit tempahan diterima setiap bulan bagi model generasi ketiga itu sejak dilancarkan April lalu.

Trend sama ini turut dicerminkan di Australia, New Zealand dan Thailand dengan angka jualan meningkat berlipat ganda.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

“Fenomena D-Max telah melanda pelbagai pasaran dunia. Rekaan menarik dan ciri terkini telah meyakinkan pelanggan untuk memilih D-Max baharu ini,” jelasnya.

Difahamkan, model 1.9L Premium (Auto) menjadi pilihan popular dengan 36 peratus pelanggan memilih model tersebut.

Apatah lagi, enjin 1.9L namun berkuasa tinggi menjadi daya tarikan utama terutamanya di Semenanjung Malaysia yang menikmati bayaran cukai jalan lebih rendah.

Maka tidak hairanlah, 61 peratus jualan D-Max direkodkan di Semenanjung berbanding di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Menariknya, model ‘flagship’ X-Terrain juga terbukti popular dengan 17 peratus jualan direkodkan.

Bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut mengenai D-Max 1.9L Premium dan X-Terrain boleh layari pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/

Honda dilaporkan sedang membangunkan semula enjin V4 selepas pengeluar motosikal Jepun itu memfailkan paten enjin itu di Eropah baru-baru ini.

Difahamkan, paten sama pernah difailkan di Jepun dan Amerika Syarikat pada 2013 namun berbeza kali ini, rekaan enjin V4 tersebut turut membenarkan Honda untuk membangunkan enjin V2.

Langkah ini bukan sesuatu yang baru apabila pengeluar lain turut mengambil pendekatan sama antaranya Aprilia dan Ducati.

Bagaimanapun, menurut laporan, Honda berupaya untuk menggunakan teknologi V4 ke V2 ini dengan menghasilkan rev yang lebih tinggi berbanding pesaing lain.

Menurut laporan Moto.it, senario ini dicapai dengan mengubah aliran minyak lalu membenarkan silinder untuk menyesuaikan diri mengikut kuasa ditetapkan berbanding dengan cara konvensional yang hanya menyalurkan minyak ke dalam silinder seperti motosikal lain.

Cara ini juga dijangka dapat meningkatkan prestasi enjin di samping menghasilkan emisi yang lebih rendah.

*Honda VFR750R

Pengeluar motosikal Jepun itu bukan asing dalam pengeluaran motosikal berenjin V4 kerana giat melakukannya seawal era 80an antaranya menerusi VFR750R (RC30) dan VFR750F (RC15) sebelum melancarkan VFR800 (1998) diikuti VFR800X (2010), VFR1200 (2009-2017) dan VFR1200X.

*Honda RC213V-S

Kali terakhir Honda hasilkan enjin V4 adalah menerusi model edisi terhad RC213V-S, yang dibangunkan dengan teknologi MotoGP berdasarkan RC213V.

Meskipun tidak dapat disahkan model apa yang bakal mendapat suntikan enjin V4, rata-rata peminat Honda pastinya mahu sebuah model yang berada dalam segmen seperti Ducati Panigale V4 dan Aprilia RSV4 ataupun menyaingi segmen ‘hypernaked’ yang kini popular dengan Ducati Streetfighter V4 dan Aprilia Tuono V4 1100. – Moto.it

Monster Energy Yamaha dan Maverick Vinales telah bersetuju untuk berpisah di penghujung musim 2021, baru-baru ini.

Persetujuan bersama dicapai untuk Yamaha menamatkan kontrak Vinales yang masih berbaki semusim hingga 2022.

Ketika pelbagai khabar angin berlegar antaranya pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dipetik sebagai pengganti Vinales, kini timbul pula nama Miguel Oliveira.

Pelumba KTM itu turut mengakui dihubungi Yamaha mengenai slot kekosongan di pasukan factory itu.

Bagaimanapun, bagi Oliveira dia menghormati kontraknya bersama KTM.

“Selepas menandatangani kontrak saya kekal komited dengan pasukan ini selama dua tahun dan saya akan menghormati janji saya.

“Sudah tentu situasi Vinales ini mengundang pelbagai ketidaktentuan. Saya juga dihubungi (oleh Yamaha) mengenai perkara ini tetapi seperti saya jelaskan, fokus saya adalah pasukan ini.

“Saya percaya kami mampu muncul juara dunia bersama KTM,” jelas Oliveira yang mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga penghujung 2022. – GPOne

Pelumba Moto2 negara di saingan Kejuaraan CEV Repsol 2021, Adam Norrodin berjaya mendapat tempat ketiga dalam Race 1 di litar Autodrom Algarve, Portugal, semalam.

Bermula di petak ketiga, Adam berjaya menampilkan tunggangan konsisten untuk menaiki podium di litar Portimao di belakang dua pelumba Boscoscuro Talent Team, Fermin Aldeguer (juara) dan Alonso Lopez di tempat kedua.

Bagaimanapun, pelumba Liqui Moly Intact SIC Racing Team itu tidak dapat mengutip mata dalam Race2 apabila terbabit kemalangan.

Namun, nasib lebih baik buat rakan sepasukannya, Lukas Tulovic yang berjaya menamatkan Race 2 di tempat keempat, meskipun menduduki tempat ketiga di awal perlumbaan.

Keputusan perlumbaan di Portimao menyakikan Adam kini menduduki tempat kelima kejuaraan dengan 74 mata, manakala Aldeguer terus selesa didepan dengan 175 mata.

Saingan CEV akan kembali 27 Julai ini di Motorland Aragon.

Aprilia mengumumkan panggilan semula (recall) beberapa model baharu membabitkan RS660 dan Tuono 660 di Amerika Syarikat.

*Aprilia RS660

Panggilan semula itu menyaksikan Aprilia bakal menukar enjin kepada yang baharu.

Menurut laporan, Aprilia sedang mensasarkan beberapa model RS660 dan Tuono 660 berdasarkan nombor chasis tertentu.

*Aprilia Tuono 660

Sebelum ini, Aprilia telah pun berdepan isu dengan tetapan ‘valve train’ di samping beberapa pemilik mendakwa terdapat masalah dengan bahagian ‘connecting rod’.

Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci namun kedua-dua isu ini dijangka punca Aprilia terpaksa membuat panggilan semula bagi menukar enjin kepada yang baru.

Pada masa sama, tidak dapat dipastikan sama ada masalah ini akan turut menjejaskan model RS660 dan Tuono 660 yang dipasarkan di luar Amerika Syarikat termasuk di Malaysia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan bahawa sekatan jalan raya (SJR) akan ditambah di sekitar negeri itu sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok (3 Julai 2021).

Namun, kaedah kawat berduri tidak akan diguna pakai di Selangor selepas mengambil kira faktor keluasan kawasan.

Ketika ini terdapat antara 120 hingga 140 SJR dilaksanakan sekitar Selangor dan angka tersebut akan ditambah sepanjang PKPD termasuk operasi SJR secara mengejut (snap check).

Menurut Arjunaidi, 80 peratus daripada 14,000 anggota polis Selangor akan dikerahkan bagi sepanjang operasi Covid-19.

Dalam perkembangan lain, kaedah kawat duri akan dilaksanakan di lokaliti sekitar Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim yang turut mendedahkan pemasangan kawat duri di 14 lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – The Star

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube