Monster Energy Yamaha telah pun disahkan kehilangan khidmat Maverick Vinales hujung musim ini dengan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kontrak lebih awal.
Vinales yang masih berbaki kontrak sehingga hujung 2022 akan meninggalkan pasukan factory itu hujung musim ini dengan Aprilia dicanang sebagai destinasi seterusnya.
Keputusan itu menyaksikan Yamaha mempunyai satu slot kosong selain dari Fabio Quartararo bagi musim 2022.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, timbul dakwaan bahawa Yamaha telah mencapai persetujuan bersama pasukan satelit, Petronas Sepang Racing Team (SRT) untuk memindahkan Franco Morbidelli ke pasukan factory.
Seandainya dakwaan tersebut berasas bermakna SRT bakal ketiadaan pelumba menuju musim 2022 sementara Morbidelli akan kembali digandingkan bersama bekas rakan sepasukan, Fabio Quartararo dan bakal mendapat jentera M1 factory yang diidamkan.
Senario ini juga bererti SRT bakal ketiadaan dua pelumba menuju musim 2022.
Ini kerana, seorang lagi pelumba, Valentino Rossi juga dikhabarkan tidak akan bersama SRT musim depan bagi memfokuskan saingan bersama Aramco Racing Team VR46 yang akan membuat penampilan sulung di kelas premier bersama Ducati.
Sekiranya Morbidelli berhijrah ke factory Yamaha, situasi ini pastinya memberi impak besar terhadap prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, yang kini perlu mencari dua muka baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.
Sebelum ini, pengurus pasukan SRT, Johan Stigefelt, menyuarakan minat terhadap pelumba Moto2, Raul Fernandez sebelum pelumba KTM Ajo itu dikhabarkan akan menyertai Remy Gardner di KTM Tech3.
Ketika aksi di GP Belanda, SRT mempertaruhkan pelumba GRT Yamaha WorldSBK, Garret Gerloff menggantikan Morbidelli yang mengalami kecederaan.
SRT turut dikhabarkan menawarkan peluang itu kepada Toprak Razgatlıoğlu sebelum pelumba itu menolak tawaran tersebut bagi memberi fokus pada WorldSBK bersama Pata Yamaha.
Morbidelli ketika ini sedang menjalani rawatan pemulihan apabila disahkan akan diketepikan lebih lapan minggu selepas menjalani pembedahan di lutut kiri ekoran kecederaan sewaktu latihan.