Bikesrepublic

Berita Terkini

Nampaknya Zontes telah dapat mencari apa yang dikehendakki oleh peminat motosikal di Malaysia, kerana sudah ada 1,300 tempahan untuk skuter Zontes 368G dalam masa seminggu selepas pelancaran rasminya. Ia telah dilancarkan pada 2 Januari 2025.

Daripada Siaran Akhbar:

ZONTES Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa sehingga kini (9 Januari) skuter ZONTES 368G yang dilancarkan baru-baru ini telah menerima lebih daripada 1300 tempahan. Dengan harga jualan asas RM28,800, skuter pengembaraan ini telah menjadi pilihan popular di kalangan rakyat Malaysia yang mencari tunggangan serba boleh di jalan raya, sama ada untuk perjalanan harian atau off-road ringan.

Skuter Pengembaraan ZONTES 368G ialah model Completely Knocked Down (Pasang di Tempatan) yang dikeluarkan di kilang pemasangan CKD tempatan di Jitra, Kedah. Penunggang boleh menikmati ciri skuter berkualiti tinggi seperti tangki bahan api yang lebih besar daripada saingannya dan ciri-ciri keselamatan yang berganda pada harga yang berpatutan. Selepas peringkat pengeluaran dan pemeriksaan, model ini dijadualkan untuk dihantar pada Mac 2025, memastikan pemilik menerima produk mereka dengan kepuasan sepenuhnya.

Sementara itu, pembeli yang berminat dialu-alukan untuk mengatur tontonan dan membuat tempahan di mana-mana pengedar sah ZONTES di seluruh Malaysia. Selain itu, ZONTES Malaysia akan menganjurkan jerayawara di seluruh negara dari 3 Januari hingga 6 April 2025. Penggemar motosikal boleh merebut peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat skuter pengembaraan ini.

Anda boleh merujuk jadual ini untuk tarikh dan butiran tertentu:

Untuk maklumat lanjut mengenai ZONTES 368G, sila layari laman web rasmi ZONTES Malaysia di https://zontesmalaysia.com/

Rebiu Tunggangan Pertama Zontes 368G (2025), Pemangkin Arah Baharu

Bajaj Auto mencatatkan 3.1 juta pendaftaran motosikal di seluruh dunia pada 2024, iaitu meningkat 10.6%. Ia tidak jauh dari rekod tertinggi mereka.

Data itu disediakan oleh laman web MotorCycles Data yang menjejaki pendaftaran sebenar oleh pengguna, dan bukannya jualan yang diinvois kepada peniaga oleh pengeluar.

Pertumbuhan jualan syarikat hampir sepenuhnya didorong oleh penggunaan domestik, membawa jenama itu ke tempat keempat di India di belakang Honda, Hero dan Yamaha.

Sebaliknya, bahagian Bajaj dalam pasaran global menyaksikan beberapa penurunan, selain benua Afrika, di mana permintaan adalah untuk kenderaan murah dan pengguna mempertimbangkan Bajaj Auto sebagai alternatif kepada motosikal China. 96% daripada jumlah jualan dan eksport adalah terutamanya ke Afrika, Bangladesh, Sri Lanka.

Pengilang juga memegang kedudukan yang kukuh di Amerika Selatan, mengeksport dari kilang tempatan yang berpangkalan di Colombia.

Keuntungan terbesar ialah India (+13.4%), Brazil (+136%) dan Nicaragua (+53%). Pasaran yang mengalami kejatuhan paling ketara ialah Bangladesh (-27%), Filipina (-10.2%) dan Argentina (-15.6%).

Secara keseluruhan, Bajaj Auto kehilangan satu tempat dalam ranking dunia, jatuh ke tangga ke-6, di belakang TVS Motor.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan yang disyakki terbabit dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di ibu negara.

Sumber berkata, semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 11 malam.

Penahanan semua suspek itu adalah hasil soal siasat dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.

Bagaimanapun keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan terbabit sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya.

Keenam-enam pegawai pemeriksaan itu telah digantungkan tugas oleh Puspakom.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mahmood Razak Bahman berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku khususnya membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

PUSPAKOM tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah,” katanya.

Sementara itu, dua lagi individu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 11 Januari depan.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, setakat ini SPRM sudah menahan sembilan individu dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Boon Siew Honda mengumumkan warna baharu untuk Honda Wave Alpha (2025). Model ini telah berada lama di dalam pasaran dan ia popular di kalangan mereka yang mencari motosikal yang ringkas dan sesuai untuk gunaan harian.

Selebihnya kekal tidak berubah pada motosikal ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 109.2cc yang diperakui EEV (kenderaan cekap tenaga)dengan Programmed Fuel Injection (PGM-FI), yang memberikan prestasi optimum dan kecekapan bahan api yang dipertingkatkan. Ruang simpanan 7.3 liter di bawah tempat duduk masih ada, yang membolehkan penunggang membawa barang-barang kecil seperti baju hujan, jaket atau barangan peribadi yang lain. Kapasiti tangki bahan api kekal pada 4.1 liter.

Tugas membrek dikendalikan oleh cakera tunggal di hadapan dan brek dram di belakang.

Warna baharu itu dipanggil Perak, Biru, Merah dan Hitam klasik. Harga jualan bersih tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran ialah RM5,309 untuk Perak, Biru dan Merah, manakala pilihan Hitam dijual pada harga RM5,259.

Untuk tunggangan tanpa kerisauan, Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan selama dua tahun atau 20,000km, yang mana sampai dahulu. Untuk maklumat lanjut, sila klik www.boonsiewhonda.com.my or kunjungi Honda Impian X yang terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi Boon Siew Honda melalui nombor bebas tol mereka di 1-800-88-3993.

Nahas pesawat pernabangan pada 2024 mengorbankan seramai 334 orang di seluruh dunia, menurut data awal daripada Persatuan Industri Trafik Udara Jerman (BDL), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kematian itu termasuk penumpang, kru pesawat dan tujuh individu di darat.

Sebagai perbandingan, hanya 80 kematian dilaporkan pada 2023, bilangan kedua terendah sejak 1970.

Statistik BDL merangkumi kemalangan yang melibatkan pesawat dengan sekurang-kurangnya 14 tempat duduk. Insiden pesawat yang lebih kecil dan penerbangan tentera dikecualikan daripada laporan itu.

Walaupun jumlah kematian akibat penerbangan mencatat rekod terendah pada 2017, terdapat peningkatan dalam beberapa tahun berikutnya, menurut persatuan itu.

Bagaimanapun, data jangka panjang menunjukkan peningkatan keselamatan yang ketara.

Industri penerbangan adalah kira-kira 53 kali lebih selamat pada tahun lepas (2024) berbanding pada 1970-an,” kata Pengarah Urusan BDL, Joachim Lang.

Pada 2024, sebanyak 17 kemalangan yang melibatkan pesawat penumpang dan kargo telah disiasat, menurut persatuan itu.

Kemalangan paling dahsyat berlaku pada 29 Disember apabila sebuah pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Jeju Air terbabit nahas ketika mendarat di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan. Nahas itu mengorbankan 179 penumpang, manakala dua kru pesawat terselamat. Pasukan penyiasat masih berusaha untuk menentukan punca kemalangan itu.

Menurut unjuran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa PBB (ICAO), kira-kira 4.7 bilion penumpang menaiki penerbangan di seluruh dunia pada 2024, lebih 10 kali ganda purata dari tahun 1970-an apabila hanya 440 juta orang menaiki penerbangan setiap tahun.

Dalam erti lain, penerbangan awam masih merupakan mod pengangkutan yang paling selamat.

Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands telah terhalang sejak satu kejadian tanah runtuh pada 25 Oktober 2024 telah dibuka kembali pada 19 Disember lepas. Namun, ia kini terhalang sekali lagi oleh satu lagi peristiwa tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku di jalan besar Kampung Raja dekat simpang tiga Blue Valley, di sini, kira-kira pukul 3.15 pagi tadi akibat hujan lebat berterusan.

Runtuhan tersebut menyebabkan laluan utama dari arah Simpang Pulai/Lojing ke Cameron Highlands terhalang di kedua-dua arah.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Koyan di Lipis atau Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang telah dihantar ke lokasi untuk memantau situasi, memberikan bantuan dan memastikan keselamatan kawasan.

Kerja-kerja mengalihkan runtuhan sedang giat dilaksanakan bagi membuka semula laluan kepada pengguna.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube