Bikesrepublic

Berita Terkini

Meskipun Honda memperkenalkan pelbagai model baharu di EICMA tahun lalu namun yang tetap ditunggu-tunggu adalah Honda ADV 350 yang diperkenalkan pada 2021. 

Manakan tidak, meskipun sudah memasuki tahun 2023, model itu masih belum kelihatan sehingga kini.

Apatah lagi, Honda Motorcycles Malaysia hanya menawarkan Forza 250 dan X-ADV 750 untuk pasaran skuter maxi di Malaysia ketika ini. 

Kekurangan pilihan bagi segmen skuter maxi itu ternyata mengecewakan meskipun Honda pernah menawarkan Forza 300 pada 2019. 

Namun begitu, kami difahamkan bahawa Honda ADV 350 bakal memasuki pasaran Malaysia tahun ini.

Meskipun tarikh sebenar tidak diberitahu namun makluman itu sudah cukup untuk merancakkan pasaran skuter maxi di Malaysia. 

ADV 350 merupakan skuter bercirikan ‘urban adventure’ yang diilhamkan daripada X-ADV 750. 

Selain daripada rekaan lampu depan yang diinspirasikan daripada X ADV 750 2021, versi 350cc ini juga mengekalkan ciri yang praktikal untuk kegunaan harian antaranya ruang letak barang bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet ‘full-face’.

Menariknya, ADV 350 datang dengan pakej elektronik moden termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Emergency Stop Singal sebagai standard.

Sementara itu, ADV 350 ini digerakan enjin 330cc dengan eSP (enhanced Smart Power) yang menjana 29.2hp pada 7,500rpm dan 31.5Nm pada 5,250rpm.

Dilengkapi tangki 11.7L, ADV 350 ini pastinya sesuai untuk kegunaan harian dan tunggangan jarak jauh di hujung minggu. 

Dalam pada itu, ramai yang membangkitkan nama ADV 350 sewaktu pihak Fast Bikes Sdn Bhd mengumumkan bakal menjadi pengedar baharu Honda Big Wing di Malaysia. 

Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ramai yang menantikan ketibaan model itu. 

Untuk rekod, Honda ADV 350 telah pun dipasarkan di Thailand dan dijual pada harga THB183,900 (RM23.7k). 

Nama Transalp kembali semula dalam portfolio Honda bagi tahun 2023 dengan pelancaran Honda XL750 Transalp ketika di EICMA 2022, tahun lalu.

Motosikal segmen adventure itu bakal memberi saingan kepada Yamaha Tenere 700, KTM 890 Adventure dan beberapa model lain dalam segmennya.

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan, jentera ADV segmen pertengahan itu akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Perkembangan itu tentunya menarik apatah lagi segmen ADV kini menerima permintaan yang tinggi.

Honda XL750 Transalp ini dikuasakan enjin parallel-twin 750cc serba baharu yang dibangunkan Honda dan menawarkan 90hp dan 75Nm. 

Angka kuasa itu secara tidak langsung meletakkan Transalp di antara Tenere 700 (74hp) dan 890 Adventure (105hp). 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, XL750 Transalp mengguna pakai konfigurasi ‘270-degree crank’ sekaligus menawarkan aliran kuasa yang mantap pada rev rendah dan bunyi deruman yang baik pada rev tinggi. 

Sistem ride-by-wire telah dikemas kini bagi model ADV ini bagi memastikan prestasi yang lebih baik sewaktu tunggangan jarak jauh (touring). 

Kuasa disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘slipper’ dengan cakera F.C.C Leaning Segment. 

Honda mendakwa rekaan baharu bagi klac membantu menurunkan ‘drag torque’ sehingga 30 peratus sekaligus memastikan klac boleh ditarik dengan mudah di samping pertukaran gear lebih lancar.

Antara ciri elektronik lain ditawarkan termasuk:

  • Engine Power – empat tahap
  • ABS – dua tahap
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC) – lima tahap
  • wheelie control

HSTC dan ABS juga boleh dinyahaktifkan sekaligus memastikan XL750 Transalp ini sesuai untuk tunggangan lasak (off-road). 

Lebih menarik, meskipun memegang enjin yang lebih besar, namun kerangka pada Transalp ini 10 peratus lebih ringan berbanding Honda CB500X. 

Secara keseluruhan, XL750 Transalp ini hanyalah seberat 208kg.

Kelengkapan suspensi pula hadir dengan fork depan ‘separate function’ 43mm dari Showa dengan jarak pergerakkan diletakkan pada 200mm depan dan 190mm belakang. 

Maklumat selanjutnya termasuk harga akan kami bawakan sebaik terdapat pengumuman rasmi mengenai pelancaran model ini. 

Syarifuddin Azman @ Damok bakal menjadi wakil tunggal negara di Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 yang akan membuka tirai Februari ini bermula dengan sesi ujian rasmi. 

Pelumba berusia 21 tahun itu akan membuat penampilan penuh di kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSI bergandingan dengan Diogo Moreira. 

Ketika pelumba MotoGP bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk sesi Sepang Shakedown dan ujian rasmi, Damok mungkin ke Sepanyol bersama pasukan barunya. 

“Buat masa sekarang ini, saya mempersiapkan diri di Malaysia dan mungkin akan menyertai ujian (bersama pasukan) pada Februari ini di Sepanyol. Sebelum ini, saya sudah menjalani ujian bersama pasukan,” jelasnya. 

Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan jentera dan pasukan baharu, Damok meletak harapan tinggi untuk meraih gelaran ‘Rookie of the Year’. 

“Kalau boleh saya ingin dapatkan gelaran ‘Rookie of the Year’ dan cuba dapatkan mata sebanyak mungkin,” tambahnya. 

Bakal beraksi dengan jentera KTM, Damok  akan memulakan kempen pertamanya di Litar Portimao, Portugal dari 24 hingga 26 Mac. 

Lebih mencabar, Damok akan beraksi pada bulan Ramadan sekaligus bakal berdepan ujian berbeza. 

Lorong motosikal menghala ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) akan ditutup selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini bagi memberi ruang kepada kerja penambahbaikan. 

Perkara itu disahkan Jabatan Perhubungan Awam Kesas Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan tersebut, penutupan itu membolehkan pihak lebuhraya melakukan baik pulih permukaan jalan sekaligus memastikan penggunaanya lebih selamat.

“Lorong dari kilometer (KM) 44.50 hingga KM45.00 di Persimpangan Bertingkat Kinrara ditutup pada Sabtu ini manakala dari KM24.30 hingga KM24.90 di Persimpangan Bertingkat Kebun ditutup pada Ahad. 

“Pengguna Kesas dinasihatkan supaya berhati-hati dan patuhi papan tanda yang disediakan di kawasan berkenaan, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian kecemasan KESAS di 03-56337188 atau layari www.kesas.com.my,” jelasnya. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Zailani Haji Hashim memaklumkan bahawa orang ramai yang mahu berkonvoi motosikal perlu memaklumkan pihak JPJ dan polis terlebih dahulu. 

Kenyataan itu dibuat sewaktu sesi sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. 

Menurut Zailani, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha JPJ bersama-sama pihak pihak polis terutamanya dalam menangani kes tunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen (B Full). 

“Saya telah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasana Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim dimana setiap konvoi melibatkan lebih daripada satu motosikal bukan sahaja perlu memaklumkan pihak polis malah JPJ,” jelasnya. 

Tambah Zailani lagi, langkah itu bertujuan membolehkan pihak JPJ melakukan semakan yang lebih terperinci termasuk cukai jalan dan lesen yang betul. 

“Mereka perlu nyatakan terlebih dahulu intipati konvoi termasuk maklumat penunggang, jenis motosikal yang akan digunakan dan (paling mustahak) lesen motosikal,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat susulan menjawab persoalan tentang insiden kemalangan babitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak baru-baru ini apabila didapati hanya satu daripada lima penunggang memiliki lesen B (Full). 

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke turut menjelaskan pihak Kementerian sedang meniliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam mengetatkan lagi Akta 333 bagi menangani masalah lumba haram dan yang berkaitan.

Namun begitu, Loke memaklumkan tiada kata putus yang telah dibuat setakat ini.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke dengan rasminya melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 anjuran Suzuki Malaysia bersama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

Kempen kali ini berjalan dengan slogan “Kekal Waspada, Keselamatan Bersama” mempromosikan kepentingan keselamatan jalan raya terutamanya membabitkan pengguna motosikal. 

Berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban, program hari ini turut membabitkan pertukaran helmet lama kepada baharu (terhad kepada 300 unit) dan pemeriksaan keselamatan 16 bahagian motosikal.

Dalam pada itu, kempen seumpamanya cukup penting apatah lagi dengan pertambahan jumlah motosikal di Malaysia. 

Lebih mengejutkan, Anthony Loke memaklumkan sebanyak 720,000 unit motosikal telah terjual bagi tahun 2022, satu peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 500,000 unit. 

Susulan pertambahan jumlah motosikal di jalan raya, pastinya aspek keselamatan perlu dititik beratkan apatah lagi angka kematian babitkan pengguna motosikal juga tinggi tahun lalu. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube