Bikesrepublic

Berita Terkini

MV Agusta menyepi sementara sebaik mengumumkan projek Lucky Explorer pada pameran motosikal EICMA tahun lalu. 

*MV Agusta Lucky Explorer 9.5

Projek tersebut menyaksikan MV Agusta bakal membangunkan dua motosikal segmen ‘adventure’ menerusi Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5.

Meskipun kedua-dua model ini cukup mengujakan namun tumpuan kami terarah pada Lucky Explorer 5.5.

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5

Ini kerana model tersebut dibangunkan dengan kerjasama QJMotor yang merupakan syarikat pemilik kepada jenama Benelli. 

Signifikannya kerjasama itu kerana Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Benelli TRK502 namun dengan ‘bore’ dan stroke’ yang telah diperbesarkan. 

Sayangnya selepas pengumuman di EICMA tahun lalu, tiada perkembangan terbaru mengenai model itu sehingga kini.

Namun, MV Agusta akhirnya mendedahkan spesifikasi Lucky Explorer 5.5 di laman web rasmi syarikat itu yang sekaligus beri bayangan model tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Berdasarkan info yang disiarkan, MV Agusta Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin parallel-twin 554cc 8-valve DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 47hp pada 7,500rpm dan 51Nm pada 5,500rpm. 

Kapasiti enjin lebih besar itu dicapai dengan membesarkan bore dan stroke dari 69mm x 66.8mm (dari TRK502) kepada 70.5mm x 71mm sekaligus menyumbang kepada tork yang lebih tinggi. 

Kuasa pula disalurkan kepada tayar menerusi transmisi 6-kelajuan.

Meskipun begitu, Lucky Explorer 5.5 mendapat beberapa komponen premium antaranya fork depan USD dari Kayaba (boleh laras) dengan jarak pergerakan 135mm manakala bahagian belakang pula menempatkan monoshock Kayaba (boleh laras). 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek Brembo 4-piston (depan) dengan cakera brek berkembar 320mm dan kaliper brek Brembo 2-piston (belakang) yang dipadankan bersama cakera brek 260mm. 

Sementara itu, tayar pula terdiri daripada rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.

Menariknya, dengan tangki sebesar 20L, Lucky Explorer 5.5 ini mampu pergi lebih jauh berbanding varian 9.5. Selain itu, MV Agusta juga mendakwa model ini mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 160km/j.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk skrin TFT 5-inci dengan sambungan Bluetooth, sensor GPS dan sistem navigasi dengan fungsi ‘Turn-by-Turn’. 

Untuk rekod, Lucky Explorer 5.5 akan dipasang sepenuhnya oleh QJMotor di China sekaligus bakal menjadi model MV Agusta yang paling mampu milik sebaik dilancarkan.

Enjin dua-lejang sudah semakin pupus dan ketika ini penggunaannya hanya dihadkan pada kegunaa ‘off-road’.

Ini kerana enjin dua-lejang bukan sahaja menghasilkan bau yang kurang disenangi malah berasap dan bising sekaligus hampir mustahil untuk mencapai peraturan emisi semasa. 

Bagaimanapun, senario itu tidak menyekat pengeluar untuk merevolusikan pembangunan enjin dua-lejang. 

Terbaru, Minarelli memperkenalkan sebuah enjin dua-lejang serba baharu yang dibangunkan daripada enjin Yamaha 250cc. 

Menurut laporan enjin tersebut akan diguna pakai pada motosikal enduro Fantic XE300 yang akan dipasarkan di Eropah. 

Meskipun fokus utama pembangunan enjin itu adalah untuk kegunaan ‘off-road’ namun terdapat kemungkinan platform baharu itu boleh diguna pakai di jalan raya. 

Ini kerana enjin 300cc dua-lejang baharu itu berjaya mencapai standard emisi Euro5. 

Persoalannya, bagaimana Minarelli menghasilkan sebuah enjin dua-lejang yang berjaya capai standard Euro5?

Difahamkan, Minarelli telah melakukan beberapa penambahbaikan drastik dalam pembangunan enjin 300cc dua-lejang itu. 

Menurut laporan Motorrad Online, enjin tersebut mempunyai ‘exhaust outlet controller’ yang juga bertindak sebagai ‘decompression system’ bagi ‘starter’ elektrik. 

Difahamkan, enjin tersebut juga telah ditala secara besar-besaran agar menghasilkan ciri yang lebih sesuai di jalan raya. Kemungkinan besar, enjin dua-lejang tersebut tidak menghasilkan lebih daripada 50hp berbanding enjin dua-lejang lain dalam pasaran. 

Meskipun begitu, Minarelli mendakwa enjin tersebut masih lagi menghasilkan prestasi tinggi. 

Selain daripada sistem suntikan bahan api yang lebih kompleks, enjin tersebut juga dijangka dipadankan bersama sistem ekzos yang ditala semula bagi menghasilkan bunyi yang kurang bingit. 

Kejayaan Motori Minarelli membangunkan enjin dua-lejang yang mencapai standard Euro5 pastinya satu kejayaan besar bagi sebarang pengilang motosikal. 

Manakan tidak, ia secara tidak langsung memberi bayangan era enjin dua-lejang berpeluang hidup semula pada masa akan datang. 

Pengeluar motosikal China, Kove dengan rasminya memperkenalkan Kove 400RR, sebuah jentera 4-silinder dengan kapasiti enjin 400cc.

Berdasarkan info yang diperolehi, Kove bukan sahaja akan memasarkan 400RR di China malah akan turut mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa dengan model tersebut. 

Kove 400RR akan mengekalkan sebahagian besar ciri yang ada pada model konsep yang didedahkan sebelum ini kecuali bahagian swingarm yang digantikan dengan swingarm konvensional berbanding ‘single-sided’ sebelum ini. 

Lebih menarik, reka bentuk Kove 400RR ini tampak luar biasa terutamanya di bahagian depan yang menempatkan lampu LED yang berbentuk seakan ‘winglet’. Terletak di antara dua lampu hadapan itu adalah corong udara (air intake) yang menyerlahkan lagi rupa motosikal tersebut. 

Bagaimanapun, Kove 400RR ini masih juga didatangkan dengan ‘winglet’ aerodinamik di panel sisi. 

Namun, ciri paling mencuri tumpuan terarah kepada bahagian enjin, dengan Kove 400RR ini dikuasakan enjin empat silinder 400cc DOHC dengan penyejukan cecair yang dibangunkan sendiri oleh Kove. 

Menurut spesifikasi yang didedahkan, enjin tersebut menghasilkan 67hp pada 13,500rpm dan 29.3Nm pada 12,000rpm. Angka kuasa itu cukup mengagumkan bagi enjin dengan kapasiti 400cc. 

Lebih menarik, Kove mendakwa 400RR ini hanya seberat 158kg dan mampu merekodkan kelajuan maksima 220km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 15L
  • berat 160kg
  • cakera brek berkembar 300mm depan
  • cakera brek tunggal 200mm belakang
  • lampu LED penuh
  • paparan digital LCD dengan fungsi Bluetooth

Info lebih terperinci dijangka akan dikongsikan sebaik Kove mendedahkan jentera ini di EICMA, minggu ini. 

Triumph Motorcycles dengan rasminya mengumumkan Didi Automotive sebagai pengedar baharu jenama motosikal UK itu bagi pasaran Malaysia berkuatkuasa 15 Januari 2023.

Triumph dan Didi Automotive akan berkerjasama bagi tujuan import, jualan dan edaran motosikal Triumph Motorcycles termasuk pembangunan jenama itu disini. 

Bagi memastikan urusan selepas jualan di samping memenuhi kehendak pemilik Triumph sedia ada di Malaysia, sebuah pusat pameran Triumph serba baharu akan dibangunkan di Petaling Jaya dan Pulau Pinang. 

Kedua-dua pusat pameran ini akan menawarkan fasiliti terbaik termasuk kakitangan berpengetahuan tinggi serta banyak lagi.

Sebagai antara pasaran utama di rantau Asean, Didi Automotive akan menawarkan pelbagai model daripada varian Model Classic, Roadster dan Tiger untuk pasaran tempatan termasuk model mampu milik seperti Trident 660 dan Tiger Sport 660.

Pada masa sama, Didi Automotive juga akan menawarkan model baharu hasil kerjasama Triumph-Bajaj di Malaysia. 

Untuk rekod, Didi Automotive di bawah payung Didi Group juga memasarkan beberapa jenama motosikal lain di Malaysia antaranya Harley-Davidson, Moto Guzzi, Royal Enfield, Aprilia dan Vespa.

Terdahulu, Fast Bikes Sdn Bhd telah pun mengesahkan tidak lagi pikul tugas selaku pengedar Triumph bermula 14 Januari dan akan beralih ke Hong Big Wing. 

Pengedar jenama Moto Morini di Malaysia, MForce Bike Holdings bakal memperluaskan tawaran motosikal jenam itali itu di Malaysia menerusi Moto Morini Seiemmezzo. 

Seiemmezzo merupakan bahasa Itali yang bermaksud enam setengah sekaligus merujuk kepada kapsasiti enjin 650cc. 

Untuk rekod, Moto Morini telah pun memperkenalkan Seiemmezzo di Eropah menerusi dua varian STR (naked) dan SCR (scrambler). 

Perbezaan utama antara kedua-dua varian ini adalah di bahagian estetik terutamanya tayar, dengan SCR didatangkan dengan rim ‘spoke’ manakala STR dilengkapi rim aloi. 

Imej scrambler pada SCR juga dipertingkat dengan kehadiran ‘mudguard’ tinggi di depan dan tempat duduk bergaya retro-klasik sementara STR pula tampak lebih moden. 

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua varian akan diperkenalkan di Malaysia atau hanya satu sahaja. 

Moto Morini Seiemmezzo STR/SCR dikuasakan enjin parallel-twin 649cc dengan penyejukan cecair yang menawarkan 61hp dan 54Nm. Enjin tersebut merupakan yang sama terdapat pada X-Cape 650 yang ditawarkan di Malaysia ketika ini. 

Moto Morini juga mendakwa STR dan SCR mampu mencapai kelajuan maksima 170km/j meskipun dengan berat 200kg dan dilengkapi tangki 16L.

Berikut antara ciri lain ditawarkan:

  • ABS dwi-saluran
  • cakera brek (berkembar) 298mm depan, 255m (tunggal) belakang
  • fork depan Kayaba 43mm dengan jarak pergerakn 120mm
  • monoshock Kayaba belakang boleh laras (preload)

Menurut sumber, MForce sudah pun menerima satu unit Moto Morini Seiemmezzo untuk tujuan ujian dan VTA dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, tarikh pelancaran belum diumumkan ketika ini. Apa yang pasti, model tersebut akan tiba sekitar tahun 2023. 

Pelumba negara, Adam Norrodin, akan melangkah ke WorldSSP bersama pasukan MIE MS Racing Honda bagi musim 2023.

Perkara itu didedahkan menerusi gambaran keseluruhan Program Sukan Permotoran Honda 2023.

Tinjauan lanjut terhadap program tersebut mendapati nama Adam telah tersenarai dalam kategori WorldSSP bersama MIE MS Racing Honda Team. 

Senarai tersebut juga memaklumkan pelumba berusia 24 tahun itu akan bergandingan dengan Tarran Mackenzie dan bakal mengendalikan jentera Honda CBR600RR. 

Ini pastinya perkembangan positif buat Adam yang mampu mencipta nama di kejuaraan tersebut.

Sebelum ini, pelumba negara, Hafizh Syahrin turut disahkan akan terus kekal  di WorldSBK bagi musim 2023 setelah kontraknya disambung MIE Racing Honda Team.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube