Bikesrepublic

Berita Terkini

Kerajaan bakal membuat keputusan mengenai usul melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan dalam masa terdekat,

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu ucapan, baru-baru ini,

Menurut beliau, kerajaan memahami bahawa industri kenderaan bermotor terjejas teruk dengan pelbagai sekatan Covid-19 yang berlangsung selama dua tahun sebelum ini.

“Saya sedar Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) memohon pengecualian itu dilanjutkan lagi kerana sesetengah pembeli kereta mungkin tidak dapat menikmati insentif itu kerana kelewatan penghantaran kenderaan.

“Kelewatan ini disebabkan oleh kekurangan cip dan gangguan rantaian bekalan akibat wabak itu. Namun, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan ini dan satu keputusan akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Sebelum ini, Presiden FMCCAM, Tony Khor berkata, lebih 80,000 tempahan kereta baharu akan terjejas sekiranya kerajaan tidak bercadang melanjutkan pengecualian SST yang akan tamat pada 30 Jun ini.

Meskipun tempahan dibuat sebelum tarikh akhir tersebut namun pembeli akan terkesan dengan kenaikan harga tatkala kereta yang ditempah hanya akan diterima selepas tarikh pengecualian SST berakhir.

Menurut FMMCAM, kemungkinan dikenakan cukai jualan seperti sebelum ini dikhuatiri akan membuatkan pembeli membatalkan pembelian sekaligus menjejaskan jualan. – FMT

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan pilihan warna baharu bagi model naked, MT-15.

Bagi Yamaha MT-15, motosikal tersebut kini tampil dengan tiga warna baharu membabitkan Icon Blue, Midnight Black dan Cyan Storm.

Bagaimanapun, HLYM turut kemas kini harga bagi tahun 2022 yang menyaksikan MT-15 kini ditawarkan pada harga RM12,298 (naik RM310) berbanding RM11,988 sebelum ini.

Kenaikan harga tersebut adalah dijangka susulan impak penurunan nilai ringgit serta kenaikan kos bahan yang dialami pasaran dunia ketika ini.

Sementara itu, tiada perubahan spesifikasi diumumkan sekaligus menyaksikan MT-15 kekal menawarkan enjin silinder tunggal 155cc dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm pada 8,500rpm.

Yamaha telah pun melancarkan skuter terbaru di pasaran Jepun yang akan dipasarkan bermula 28 Jun ini.

Yamaha X Force merupakan skuter kompak urban terbaru diperkenalkan yang dikuasakan enjin Blue Core satu silinder 155cc yang menawarkan 15hp pada 8,000rpm dan 14Nm pada 6,500rpm.

Menurut Yamaha, X Force bukan hanya sebuah skuter kompak biasa, sebaliknya model terbaru ini didatangkan dengan pelbagai ciri moden yang selalunya terdapat pada skuter berkapasiti besar.

Untuk itu, Yamaha X Force ini dilengkapi dengan sistem traction control dan sistem Bluetooth untuk telefon pintar.

Menariknya, skuter ini juga dilabel sebagai ‘Master of Street Scooter’ jolokan sama yang Yamaha berikan pada model MT sebagai ‘Master of Torque’.

Bagi memastikan tunggangan yang lancar dan lincah dalam kawasan bandar, jarak antara tayar (wheelbase) X-Force ini hanya 1,340mm manakala ketinggian tempat duduk hanyalah 815mm. Yamaha juga memastikan reka bentuk tempat duduk adalah sesuai untuk semua jenis ketinggian penunggang.

Walaupun bersaiz kompak namun Yamaha X-Force ini tampil dengan ruang letak barang 23.2L dan mempunyai dua pengankut helmet. Model ini juga praktikal dengan kehadiran tangki 6.1L dan port pengecas USB.

Jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi populasi penduduki susulan permintaan terhadap kenderaan bermotor meningkat lebih sejuta setiap tahun sejak 2019.

Perkara itu didedahkan pakar keselamatan jalan raya, Dr Kulanthayan K.C Mani dari Universiti Putra Malaysia.

Tahun lalu, terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar telah direkodkan sekaligus mengatasi populasi penduduk Malaysia yang berada pada 32.6 juta.

Daripada 33.3 juta yang didaftarkan, 47.3 peratus daripadanya adalah kereta, manakala 46.6 peratus adalah motosikal, diikuti 4.7 peratus bagi kenderaan barangan.

Angka tersebut sekaligus secara tidak langsung menjelaskan kesesakan trafik yang melanda negara ketika ini terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, orang ramai juga mengeluh lebuh raya yang sebelum ini lengang, terutamanya Lebuhraya MEX kini bertukar sesak.

Sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pengguna jalan raya turut mengadu sangkut lebih berjam-jam gara-gara kesesakan jalan menghala ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Jelas Dr Kulanthayan, pengamatan yang dibuat terhadap peningkatan pendaftaran kerenderaan baharu sejak beberapa tahun ini sehingga 2021 dipercayai menjadi antara penyumbang besar terhadap kesesakan jalan yang berlaku.

“Apa yang mengejutkan, jumlah kenderaan pada 2019 berada pada 31.2 juta namun meningkat sejuta setiap tahun dan mencapai 33.3 juta pada 2021.

“Buat pertama kali dalam sejarah, jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi jumlah penduduk negara ini,” ujarnya. – NST

Kajian terbaru oleh Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) mendapati rata-rata pemilik kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ adalah mereka yang memandu kereta bernilai RM160,000 ke atas.

Menurut Cent-GPS, kajian tersebut telah dijalankan di beberapa lokasi dalam bandar dan membabitkan 1,256 kereta yang tidak menggunakan nombor plat mengikut piawaian ditetapkan.

“56 peratus kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ merupakan kereta bernilai RM160,000 ke atas manakala 13 peratus lagi adalah kereta bernilai antara RM80,000 hingga RM120,000.

“Baki 13 peratus lagi adalah kereta yang bernilai antar a RM120,000 hingga RM160,000 sementara hanya lapan peratus sahaja bagi kereta bernilai RM50,000 ke bawah,” jelas kajian tersebut.

Menariknya, kajian oleh Cent-GPS itu juga mendapati kumpulan T20 paling banyak menggunakan nombor plat ‘fancy’.

“Daripada jumlah kereta yang guna nombor plat ‘fancy’ di Lembah Klang, kami anggarkan 58.5 peratus adalah dari kumpulan T20, 25.6 peratus dari M40 dan hanya 15.9 peratus dari B40,” tambahnya.

Bagaimanapun, kajian tersebut tidak babitkan pengguna motosikal jadi keputusan kajian bahawa T20 lebih cenderung menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi sebagai kurang tepat.

Penggunaan nombor plat ‘fancy’ atau tidak mengikut standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu kesalahan dengan pemilik kereta boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM300 atau tidak lebih dari RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malay Mail

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan lesen memandu kenderaan sekiranya pemegang lesen memandu tamat tempoh gagal perbaharui lesen memandu hujung bulan ini.

JPJ telah menyenaraikan empat kelas lesen yang akan dibatalkan sekiranya didapati telah tamat tempoh.

Menurut JPJ, orang ramai yang memiliki lesen tamat tempoh – antara satu hingga tiga tahun – diberikan masa hingga 30 Jun ini untuk tujuan perbaharuan.

Sekiranya gagal membuat pembaharuan lesen selepas tarikh tersebut, pemegang lesen yang dibatalkan perlu menjalani proses ujian memandu semula bagi mendapatkan lesen baharu.

JPJ menjelaskan pembatalan lesen ini membabitkan mereka yang tidak perbaharui lesen belajar memandu (LDL) lebih satu tahun, lesen memandu percubaan (PDL) lebih dua tahun, serta lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh melebihi tiga tahun. – The Sun Daily

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube