Semalam tular beberapa gambar memaparkan beberapa individu disyaki telah merentas negeri bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan.
Aktiviti rentas negeri adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga diberitahu kelak.
Dalam perkembangan terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan disahkan telah menerima laporan polis terhadap kesemua individu berkenaan atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata laporan terhadap kesemua individu telah difailkan petang semalam.
“Polis telah membuka kertas siasatan terhadap beberapa individu yang telah menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kota Baru.
“Gambar tersebut juga memaparkan tiada penjagaan jarak di antara mereka dengan pasangan pengantin. Mereka juga tidak memakai topeng muka,” jelasnya dalam satu kenyataan. – NST
Prinsipal pasukan Gresini Racing, Fausto Gresini telah meninggal dunia selepas bertarung nyawa dengan Covid-19.
Gresini, 60 tahun, berada di hospital sejak dua bulan lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Bekas juara dunia 125cc itu disahkan positif Covid-19 pada Disember lalu dan telah pun berada dalam unit rawatan rapi di hospital Maggiore Carlo Alberto Pizzardi, Bologna.
Meskipun pada suatu ketika keadaan Gresini bertambah baik sehinggakan mampu menghubungi ahli keluarga menerusi panggilan video, kesihatan Gresini merosot sejurus selepas itu susulan alami pelbagai komplikasi.
Gresini Racing dalam satu kenyataan menyebut, “Berita yang kami enggan katakan tetapi perlu disampaikan. Selepas lebih dua bulan bertarung dengan Covid, Fausto Gresini telah meninggal dunia, beberapa hari selepas mencecah usia 60 tahun.”
Gresini terlibat dengan pengurusan selepas lebih 12 tahun beraksi di kelas 125cc.
Motosikal adventure sulung Harley-Davidson akhirnya dilancarkan menerusi Pan America 1250 2021.
Ini merupakan percubaan pertama syarikat dari Milwaukee, Amerika Syarikat itu dalam menembusi pasaran ADV yang selama ini telah pun diterajui beberapa jenama lain antaranya BMW, Ducati, Triumph dan Honda.
Harley-Davidson Pan America 1250 tampil dengan dua varian, standard dan Special dan bernadikan enjin Revolution Max 1250 yang menawarkan 150hp pada 9,000rpm dan 127Nm pada 6,750rpm.
Unit 1252cc baharu ini menawarkan dual spark, VVT dengan empat injap bagi setiap silinder dan ‘forged piston’.
Kedua-dua varian ini berkongsi kerangka dan enjin yang sama namun varian Special dilengkapi dengan tetapan ‘suspension’ jenis trick semi-active serta Adaptive Ride Height.
Menurut Harley-Davidson, Adaptive Ride Height ini berfungsi dengan merendahkan tempat duduk dari 890mm kepada 855mm sewaktu memberhentikan jentera bagi memudahkan kawalan sebelum meninggikan semula kepada 890mm sewaktu bergerak.
Fungsi ini dipercayai bakal memberi kemudahan kepada semua jenis penunggang.
Sementara itu, sistem membrek dikendalikan kaliper monoblock empat piston depan dan dua piston belakang.
Pan America 1250 turut dilengkapi dengan paparan (touchscreen) TFT 6.8″, dengan lampu LED penuh, cornering ABS, ean-sensitive traction control, cruise control serta hill control sekaligus menyaksikan Pan America motosikal paling moden pernah dihasilkan Harley-Davidson setakat ini selepas LiveWire.
Antara ciri lain Pan America 1250:
tangki 21L
berat 258kg (Special) 235kg (Standard)
panjang 2,265mm
lebar 965mm
ketinggian tempat duduk 850mm
ground clearance pada 210mm
wheelbase 1,580mm
tayar 120/70 R19 depan, 170/60 R17 belakang
for depan inverted 47mm, linkage-mounted monoshock belakang boleh laras
Servis pertama diletakkan pada selepas 1,600km dan setiap 8,000km bagi servis seterusnya dengan waranti dua tahun serta perbatuan tanpa had.
Ducati terus kekal komited dalam mempertingkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal dengan memperkenalkan Ducati Smart Jacket.
Selain daripada membina motosikal dengan ciri keselamatan terkini, Ducati Smart Jacket merupakan ves inovatif terkini dengan beg udara terbina D-air® hasil kerjasama dengan Dainese.
Ves tersebut berupaya menganalisi data 1,000 kali sesaat dengan bantuan unit kawalan elektronik bagi mengesan insiden tergelincir, high-side, pelanggaran serta impak dengan objek asing.
Beg udara tersebut juga akan diaktifkan secara sama rata dan meliputi seluruh kawasan ves sekaligus melindungi penunggang.
Menurut Ducati, ves tersebut menyamai tujuh pelindung tubuh Level 1 tanpa memerlukan pelindung keras di bahagian dalam.
Ducati Smart Jacket boleh didapati pada harga RM4,299 di Ducati Malaysia.
Denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan menanti pemilik motosikal yang didapati menggunakan ekzos bising.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.
Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos haruslah diselenggara supaya berada dalam keadaan baikk tidak diubah suai bagi mengeluarkan bunyi bising.
Menurut Azisman, pihak polis juga diberi kuasa untuk menyita motosikal tersebut mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik mengambil langkah bagi menjaminkan kesalahan tersebut tidak lagi diulangi.
Sementara itu, mengikut Akta Alam Sekitar 1974, bunyi ekzos melebihi 75dB (desibel) adalah dianggap sebagai pencemaran bunyi. – SH
Aveta Global Marketing Sdn Bhd memperkenalkan model mampu milik terbaru menerusi Avea VS110 yang ditawarkan pada harga RM3,588 termasuk cukai jalan dan insurans.
Aveta VS110 merupakan model kapcai keempat dilancarkan selepas DY90, RX110 dan Ranger 110 dengan kesemua model dipasang di kilang terletak di Bukit Raja, Klang.
Motosikal ini dikuasakan dengan enjin 113cc yang mampu menjana 6.5hp pada 8,000rpm dan 6.8Nm pada 6,000rpm dan dipadankan bersama transmisi 4-kelajuan.
VS110 ini juga menawarkan tangki 4L dengan berat hanya 83 kilogram sekaligus mudah untuk dikendalikan.
Terdapat empat warna ditawarkan; Biru Cyan, Biru, Merah dan Hitam dengan pihak Aveta mensasarkan lebih 5,000 unit dijual bagi tahun 2021.
Sementara itu, setiap pembelian Aveta VS110 didatangkan dengan waranti dua tahun.