Jualan kenderaan baharu turun 10 peratus pada Mac 2024, berbanding dengan bulan Mac tahun 2023.
Itu bermaksud 71,052 unit didaftarkan berbanding dengan 78,881 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Bagaimanapun, persatuan itu menyatakan jumlah volum industri (TIV) pada Mac adalah +10% lebih tinggi daripada Februari 2024 iaitu 64,290 unit.
“Ini disebabkan syarikat hendak membuat penghantaran memandangkan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2024 selain kempen promosi musim perayaan Hari Raya,” tambah MAA.
Daripada jumlah itu, 64,760 ialah kenderaan penumpang (passenger vehicle/PV), yang turun sembilan peratus berbanding 70,490 unit yang dijual pada Februari 2024. Untuk kenderaan komersil (commercial vehicle/CV) pula, jualan susut 21 peratus kepada 6,292 unit daripada 7,941 unit.
Bagaimanapun, jumlah tahunan sehingga Mac 2024 menyaksikan peningkatan +5% kepada 202,245 unit berbanding 192,615 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2023. Ini merangkumi 184,994 unit PV (+8%) dan 17,251 unit CV (-16%).
Angka pengeluaran
Dari segi pengeluaran, MAA berkata 66,923 kenderaan telah dikeluarkan pada Mac 2024, pengurangan -12% daripada 76,069 unit yang disaksikan semasa Mac tahun lepas.
Jumlah itu merangkumi 63,778 unit PV, turun -11% daripada 71,731 unit pada bulan yang sama tahun sebelum ini, manakala baki 3,145 unit adalah CV (-28%) berbanding 4,338 unit sebelumnya.
Jumlah pengeluaran tahun 2024 sehingga Mac meningkat +6%, sebanyak 210,431 unit berbanding dengan 198,394 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Ini termasuk 199,199 unit PV (+7%) daripada tempoh yang sama tahun lepas manakala baki 11,232 (-8%) adalah CV.
Jualan bagi April 2024 dijangka lebih lemah disebabkan bulan bekerja yang lebih pendek susulan cuti perayaan Hari Raya.