Maverick Viñales mencipta sejarah baharu apabila dia menjuarai perlumbaan MotoGP Amerika yang epik di Circuit of the Americas (COTA) pagi tadi.
Viñales menjadi satu-satunya pelumba dalam kejuaraan itu yang pernah menang dengan tiga pengeluar berbeza, iaitu Aprilia, Yamaha, dan Suzuki.
Pelumba Aprilia itu bermula dari petak pertama, diikuti pelumba remaja Pedro Acosta daripada Red Bull GasGas, dan Jorge Martin daripada Prima Pramac Ducati. Bagaimanapun, Viñales yang bermula daripada petak yang pertama ditewaskan ke selekoh pertama oleh Acosta yang bermula dengan pantas, diikuti oleh Martin, juara bertahan dan pelumba pengilang Ducati, Francesco Bagnaia dan rakan sepasukannya Enea Bastianini, Jack Miller dari Red Bull KTM Factory Racing, dan pemenang tujuh kali di COTA Marc Marquez yang menunggang Gresini Ducati. Pertarungan huru-hara untuk kedudukan terbaik di selekoh pertama telah menolak Viñales ke tempat ke-11 pada penghujung pusingan pertama.
Ketika Acosta mengambil alih pendahulu buat kali pertama dalam karier MotoGPnya, bermulalah beberapa siri aksi potong-memotong yang mendebarkan di kelompok depan. Bagaimanapun, Acosta telah memilih tayar belakang kompaun sederhana yang kurang cengkam berbanding pelumba Ducati pada pilihan lembut, justeru dia terpaksa mengalah kepada Martin yang menggunakan tayar kompaun lembut.
Marquez tahu dia perlu mulakan serangan dengan segera sebelum Martin menjauhkan dirinya. Percubaannya untuk memintas Miller menyaksikan motosikal mereka berlanggar dan menghilangkan sayap kiri hadapan Ducati Marquez.
Walaupun kamera tertumpu semata-mata pada kumpulan hadapan ini, Viñales sedang bergerak ke hadapan dengan agresif dan memintas pelumba demi pelumba lain.
Tayar belakang Martin mulai haus sejurus sebelum pertengahan perlumbaan, dan ini membolehkan Acosta dan Marquez merapatkan jurang, dan akhirnya memintas Martin.
Marquez yang amat bersemangat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai “Raja COTA” memintas Acosta untuk mendahului. Malangnya, tayar depannya telah hilang cengkaman pada selekoh ke-11 dan terbabas daripada perlumbaan. Dia mendedahkan kemudian bahawa dia mengalami masalah brek.
Dengan ketiadaan Marquez, Acosta mula melakukan beberapa pusingan pantas untuk sekali lagi menjarakkan dirinya daripada Martin, Bagnaia, dan Bastianini.
Tetapi tunggu, ini datang Viñales dengan Aprilia “Bat Bike” miliknya (dia telah menggelarkan dirinya sebagai “BatMav” sepanjang minggu). Viñales memintas Acosta untuk mendahului. Pada masa inilah dia melakukan siri pusingan yang amat laju termasuk pusingan perlumbaan terpantas di COTA walaupun dengan tayar haus. Acosta cuba untuk mengikutnya, dan walaupun dia satu-satunya pelumba lain yang mencatatkan pusingan dalam kurungan 2m:02s, Viñales melakukan pusingan 2m:02.5s, manakala Acosta hanya mampu membuat lap dengan masa 2m:02.9s.
Jadi, BatMav bertahan untuk memenangi perlumbaan dan menempah tempat dalam buku sejarah. Persembahan Viñales menakjubkan pada hujung minggu ini, kerana dia telah mengambil kedudukan terdepan (pole position), memenangi perlumbaan Sprint, dan kini Perlumbaan Utama.
Acosta turut mencipta sejarah sebagai pelumba MotoGP termuda yang menaikki podium berturut-turut.
Bastianini berjaya memotong Martin dalam gerakan berani pada kelajuan lebih 350km/j untuk tempat ketiga. Martin berada di tempat keempat dan Bagnaia yang terpaksa bergelut dengan gegaran tayar belakang menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Pusingan seterusnya ialah Grand Prix Sepanyol di Jerez dalam masa dua minggu.