Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dan jalan-jalan menghala keluar dari Lembah Klang dilaporkan mulai sesak pada petang ini.
Ia disebabkan oleh peningkatan warga kota pulang berpusu-pusu ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada masa yang sama, mereka dapat memanfaatkan tol percuma di semua lebuh raya yang akan berakhir pada jam 11.59 malam ini.
Menurut jurucakap itu lagi, aliran trafik ke utara sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Bukit Lanjan ke Rawang, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Lembah Beringin, Tapah ke Gopeng, dan Terowong Menora ke Kuala Kangsar.
“Empat lorong Smart Lane telah diaktifkan bagi laluan ke utara membabitkan Kawasan R&R Rawang ke Sungai Buaya, Slim River ke Sungkai, Gua Tempurung ke Gopeng, dan Bukit Tambun ke Juru. Laluan berkenaan diaktifkan hingga jam 7 malam ini,” katanya kepada Bernama.
Bagi laluan ke selatan pula, katanya, kesesakan dilaporkan berlaku di Nilai ke Bandar Ainsdale, Port Dickson Selatan ke Pedas Linggi, dan Kulai ke Sedenak.
“Lorong Smart Lane juga telah diaktifkan, antaranya Nilai ke Kawasan R&R Seremban, Ayer Keroh ke Hentian Sebelah Bemban, dan Kulai ke Senai,” katanya.
Bagi laluan ke Pantai Timur, beliau berkata, trafik terkawal dan kesesakan hanya berlaku selepas Plaza Tol Gombak hingga ke Terowong Genting Sempah.
“Trafik sesak sepanjang 13 kilometer berikutan hujan, selain peningkatan kenderaan dan laluan mendaki di lokasi,” katanya.