Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang memfokuskan terhadap mengenakan hukuman lebih serius terhadap pemandu yang didapati memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah.
Pindaan yang diusulkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) telah pun diluluskan.
“Pemindaan ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya,” jelasnya.
Pindaan tersebut turut melibatkan memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan dan kematian pengguna jalan raya lain.
Kelulusan RUU ini juga menyaksikan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan sebabkan kematian akan dikenakan penjara 10 tahun atau maksimum 15 tahun dengan denda di antara RM50,000 hingga RM100,000 di samping hilang kelayakan lesen (minimum) 10 tahun bagi sabitan pertama.
Sabitan kedua pula menyaksikan pesalah dikenakan penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun dengan denda di antara RM100,000 hingga RM150,000 serta hilang kelayakan lesen sehingga 20 tahun.
Pindaan tersebut turut menyaksikan kadar alkohol ditetapkan pada 22 mikrogram dalam 100ml nafas, 50mg alkohol dalam 100ml darah dan 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.
Sementara itu, pelaku yang memandu secara melulu dan membahayakan akan berdepan penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 di samping hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.
Manakala penjara di antara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan kedua.
Pada masa sama, Menteri Pengangkutan itu turut menjelaskan antara pindaan lain adalah takrifan semula kenderaan mikromobiliti termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor yang membawa kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan jika didapati bersalah.
Seksyen 45A pula menyaksikan memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol lebih had akan dikenakan penjara tak lebih dua tahun; denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen hingga dua tahun.
Kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama.
MINI Malaysia memperkenalkan MINI Electric untuk pasaran tempatan, hari ini.
MINI Electric merupakan kereta elektrik sulung daripada jenama kereta kompak Jerman itu sekaligus merupakan penawaran terbaru untuk pasaran mobiliti elektrik tempatan.
Apa yang menarik tentang kereta elektrik terbaru daripada MINI kali ini, kami senarai 5 perkara yang perlu tahu tentang model baharu ini.
Segalanya Elektrik
Seperti pengeluar lain, MINI Electric turut menampakkan elemen futuristik di setiap bahagian terutamanya menerusi pilihan warna Energetic Yellow.
Model ini tampil dengan bumper dan radiator gril dengan gabungan warna Vigorous Grey dengan lencana E-Badge warna kuning.
Sementara lampu depan Matrix LED menyerlahkan lagi elemen elektrik di sampung lampu belakang LED dengan rekaan Union Jack ikonik.
Bukan itu sahaja, rim 17inci juga memaparkan rekaan MINI Electric Power Spoke dua tona.
Jejak Karbon Kosong (zero carbon footprint)
Model ini dikuasakan dengan motor elektrik yang dibangunkan BMW dengan enjin elektrik gandar depan (front axle) mampu menghasilkan 184hp dan 270Nm sekaligus membantu kenderaan ini merekodkan kelajuan maksima sekitar 150km/j dan jarak sehingga 234km.
Ciri Futuristik
Bagi meneruskan kesinambungan elemen futuristik, MINI Electric ini adalah ‘single-pedal drive’ yang menyumbang kepada pemulihan tenaga brek (brake energy recovery).
Ciri ini berfungsi dengan enjin elektrik bertindak sebagai penjana ketika mod luncur (coasting mode) lalu akan menukar tenaga kinetik kepada kuasa elektrik yang kemudiannya akan disalurkan kembali ke bateri.
Empat mod pemanduan turut ditawarkan; Sport, Mid, Green dan Green+ (yang meningkatkan jarak pemanduan elektrik dengan menghadkan ciri lain).
Sistem Infotainmen Terkini
Buat julung kalinya, MINI memperkenalkan kluster digital sepenuhnya yang memaparkan maklumat penting terutamanya status kenderaan termasuk mod pemanduan semasa.
Model ini turut didatangkan dengan paparan skrin 8.8 inci MINI Navigation System yang dilengkapi dengan suite MINI Connected yang merangkumi Teleservices, Remote Services, Intelligent Emergency Call, MINI Online dan Apple Carplay.
Sistem pembesar suara pula menggunakan 12-Speaker Harman Kardon Sound System.
Kemudahan Mengecas
MINI Electric boleh dicas dengan mudah sama ada di rumah atau di fasiliti pengecas yang didapati di seluruh negara.
Hanya 36 minit masa diambil untuk merekodkan 80 peratus apabila dicas di stesen DC manakala hanya 2 jam dan 30 minit jika mengecas menerusi MINI Wallbox Plus atau 12 jam jika menggunakan soket di rumah.
Antara ciri lain ditawarkan:
Park Assistant
Park Distance Control
Cruise Control
Tiga warna pilihan ditawarkan, White Silver dengan Energetic Yellow, British Racing Green dan Chili Red.
MINI Electric boleh didapati dengan harga RM218,380.78
Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan tiga warna pilihan baharu bagi skuter popular, Honda Vario 150.
Tiga warna baharu ini masih lagi mengekalkan warna merah, kuning dan biru namun telah dikemaskini dengan grafik futuristik dan elemen heksagon sekaligus membawakan imej moden.
Tiga warna tersebut merangkumi Force SIlver Metallic, Pearl Magellanic Black dan Sword Silver Metallic dan bagi yang mencari kelainan, BSH turut menawarkan pilihan warna Repsol yang diinspirasikan daripada pasukan Repsol Honda di MotoGP.
Honda Vario 150 menawarkan enjin 150cc yang menghasilkan 13.1hp dan 13.4Nm dengan ruang letak barang bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter.
Model ini turut menawarkan sistem tanpa kunci (HOnda SMART Key System) dengan fungsi idling stop di samping kluster digital LCD sepenuhnya.
Vario juga menawarkan penjimatan minyak terbaik menerusi teknologi Honda Enhanced Smart Power (eSP) dan Honda Combi Brake System (CBS).
Honda Vario 150 dengan pilihan warna baharu ini masih lagi ditawarkan pada harga RM7,499 manakala varian Repsol ditawarkan pada RM7,699 dan merangkumi waranti dua tahun atau 20,000km.
Triumph Motorcycles bakal mengembalikan model Trident pada 2021 sejak kali terakhir diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.
Seperti model sulung yang dilancarkan pada 1968, Trident 2021 akan terus dikuasakan dengan enjin tiga silinder dan bakal sertai barisan Street Triple dan Speed Triple tahun depan.
Pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia, Fastbikes turut memuat naik pengumuman mengenai model baharu ini di laman Facebook mereka.
Meskipun menggunakan nama Trident namun model baharu ini tidak mengikut acuan sama – retro klasik – yang dipaparkan pada model Trident sebelumnya bagaimanapun, rekaan lampu ikonik berbentuk bulat itu masih lagi dikekalkan.
Mereka di Hinckley buat julung kalinya mendedahkan model baharu ini menerusi jentera prototaip yang ditayangkan hari ini di Muzium Rekaan London.
Prototaip ini memberi bayangan terbaik akan model pengeluaran sebenar yang akan dilancarkan tahun depan di samping harga yang kompetitif.
Pada masa sama, Triumph menjelaskan pemilihan enjin tiga-silinder berbanding silinder berkembar adalah berdasarkan permintaan pasaran yang kini condong ke arah tersebut.
Meskipun dijangka berada dalam lingkungan harga ‘mampu milik’namun Triumph mendakwa model ini akan didatangkan dengan ciri moden seperti yang terdapat pada model sedia ada.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah membuka kertas siasatan terhadap anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu yang dilihat menendang seorang penunggang motosikal dalam rakaman yang tular di media sosial, hari ini.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan namun tindakan akan diambil jika dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan, sekatan jalan tersebut merupakan sebahagian daripada pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ yang dijalankan.
Berdasarkan rakmaan video berdurasi 15 saat itu, seorang penunggang motosikal telah membuat pusingan ‘U’ dalam percubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh polis.
Bagaimanapun, seorang anggota yang turut berada di situ telah bertindak menendang penunggang motosikal terbabit lalu menyebabkannya terjatuh.
Difahamkan, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tersebut menunggang tanpa lesen memandu di samping memiliki cukai jalan tamat tempoh.
Rakaman tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dengan ada yang menyokong tindakan anggota terbabit dan sebaliknya. – HM
Helmet merupakan elemen penting bagi penunggang motosikal tak kira kapcai mahupun berkuasa tinggi.
Bagaimanapun, masih ada segelintir yang sanggup mengambil risiko dengan membeli helmet tidak berkualiti dan paling membimbangkan helmet tiruan yang tidak diketahui tahap keselamatan yang ditawarkan.
Hakikatnya, helmet jenama SHARK menawarkan pelbagai jenis rekaan yang sesuai untuk jua keadaan dan jenis motosikal dan paling penting selamat dengan piawaian ECE22.05 dan SIRIM di samping ditawarkan pada harga mampu milik.
Ini enam helmet SHARK yang kami rekomen untuk penunggang motosikal di Malaysia.
SHARK Ridil Harga: RM650
SHARK Ridil merupakan helmet segmen entry-level yang disyorkan bagi semua jenis motosikal tak kira kapcai mahupun berkuasa besar.
Helmet ini ringan (sekitar 1.5kg bagi saiz L) dan didatangkan dengan sun visor yang boleh diakses dengan mudah menerusi mekanisme di bahagian atas helmet.
Helmet diperbuat dengan bahan polikarbonat (polycarbonate) ini turut didatangkan dengan waranti 5 tahun oleh SHARK dan juga ditawarkan dengan aksesori tambahan seperti iridium visor.
SHARK Ridil juga didatangkan dengan pelbagai warna pilihan jika ada yang mahu padankan dengan warna jentera masing-masing!
SHARK Nano Harga: RM500
SHARK Nano merupakan helmet jenis ‘jet’ yang ditawarkan jenama dari Perancis ini.
Helmet ini mengambil kira segala aspek keselesaan bagi menjaminkan pemakaian yang sedap bagi si penunggang.
Meskipun berkonsepkan ‘open face’ helmet ini juga didatangkan dengan ‘sun visor’ dengan visor luar yang luas dan panjang untuk perlindungan terbaik.
Inovasi unik pada SHARK Nano terletak pada corong udara di bahagian muncung visor luar yang membenarkan angin masuk agar tidak berlakunya ‘kabus’ terutamanya sewaktu menunggang dalam hujan.
Peminat MotoGP juga boleh mendapatkan SHARK Nano edisi Johann Zarco!
SHARK Skwal 2.2 Harga: RM850
SHARK Skwal merupakan helmet jenis ‘full-face’ segmen pertengahan paling unik dalam pasaran.
Ini kerana, helmet ini dilengkapi dengan lampu LED di bahagian depan dan belakang! Ciri ini menjadikan SHARK Skwal cukup menonjol terutamanya ketika menunggang di waktu malam dan mudah dilihat pengguna jalan raya lain.
Helmet ini menggunakan bahan ‘thermoplastic’ sekaligus menjaminkan berat yang ringan di samping didatangkan dengan spoiler aerodinamik di bahagian belakang.
Setiap pembelian SHARK Skwal 2.2 turut didatangkan dengan Pinlock MaxVision secara standard!
SHARK Spartan Carbon merupakan antara helmet SHARK yang paling popular tatkala sesuai untuk kegunaan apa jua keadaan daripada tunggangan harian (kapcai atau berkuasa tinggi), jarak jauh (touring) mahupun di litar.
SHARK Spartan Carbon menawarkan berat hanya sekitar 1.39kg (bagi saiz L) hasil bantuan penggunaan bahan jenis gentian karbon.
Seperti helmet SHARK lain, helmet ini turut didatangkan dengan ‘sun-visor’, visor luar anti-calar termasuk penggunaan fabrik anti-bakteria.
Bukan itu sahaja, helmet ini turut menawarkan SHARK Easy-Fit yang memudahkan pemakaian kaca mata bagi penunggang motosikal, ciri ini sebenarnya sangat penting dan jarang sekali ada helmet yang mengambil kira faktor pemakaian kaca mata.
Malah, setiap pembelian SHARK Spartan Carbon turut akan didatangkan dengan Pinlock anti-fog secara standard!
SHARK Evo One 2 Harga: RM1,800
Helmet modular merupakan helmet pilihan bagi penunggang motosikal di Malaysia kerana bahagian ‘dagu’ helmet boleh dibuka ke atas untuk memudahkan minum air atau makan tanpa perlu membuka helmet.
Bagaimanapun, bagi SHARK Evo One 2, bahagian ‘dagu’ tersebut boleh ditolak sehingga ke bahagian belakang sekaligus tampak seperti sebuah helmet ‘open-face’!
Menariknya, mekanisme terdapat pada Evo One 2 menjaminkan tunggangan yang lebih selesa berbanding helmet modular yang hanya boleh ditolak ke atas.
Setiap pembelian Evo One 2 turut didatangkan dengan Pinlock Max-Vision.
SHARK Race R Pro Harga: RM2,000 hingga RM3,000
SHARK Race R Pro merupakan helmet yang dibina untuk kegunaan litar lumba dan merupakan helmet kepercayaan pelumba MotoGP seperti Jorge Lorenzo, Miguel Oliviera (KTM Tech3) dan Johann Zarco (Avintia Ducati).
Race R Pro turut ditawarkan dengan jenis gentian karbon dan Aramid sekaligus mengurangkan berat kepada hanya 1.39kg.
Visor luar pula merupakan Optical Class-1 (anti-calar) yang menawarkan penglihatan luas tanpa sebarang gangguan terutamanya ketika beraksi di litar.
Bahagian ‘padding’ dalam juga mudah ditanggal dan dibasuh dan terdapat slot untuk intercom SHARKTooth.
Helmet ini didatangkan dengan 5 corong udara dengan 7 pengekstrak udara sekaligus menjaminkan aerodinamik terbaik.
Helmet ini juga ditawarkan dengan pelbagai rekaan dengan terbaru Replika Lorenzo 2019 yang menampakkan elemen api antara pilihan kami di MotoMalaya.Net.
Kesemua helmet SHARK didatangkan dengan waranti 5 tahun dan mendapat piawaian ECE22.05 (UN) sekaligus menjaminkan keselamatan dan kualiti terbaik kepada si pemakai.
Bagi yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat atau membuat pembelian boleh singgah di Modenas Power Store Kota Damansara yang merupakan antara concept store rasmi SHARK Helmet Malaysia.