Bikesrepublic

Berita Terkini

Kami sebelum ini telah pun melaporkan bahawa Suzuki merancang untuk memperkenalkan satu lagi varian baharu dari keluarga V-Strom 800 DE. 

Berbeza dengan DE yang tampil dengan kelengkapan ‘adventure’ dan ‘off-road’, V-Strom 800 pula menampilkan ciri pengembaraan di jalan raya. 

Terbaru, rupa jelas Suzuki V-Strom 800 didedahkan dalam satu dokumen pensijilan yang difailkan di Australia. Dokumen tersebut, yang melampirkan dua foto V-Strom 800 itu mendedahkan beberapa ciri utama yang membezakan dengan V-Strom 800 DE. 

Pertamanya, V-Strom 800 tampil dengan rim jenis aloi berbanding lidi (wire-spoked). Ciri ini bukan sahaja membezakan dengan 800 DE malah menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza. 

*Suzuki V-Strom 800 2024

Menurut dokumen terbabit, V-Strom 800 akan dilengkapi dengan rim 110/80-19 depan berbanding 90/90-21 depan terdapat pada 800 DE. 

Kami juga mendapati V-Strom 800 ini hadir dengan kelengkapan suspensi yang berbeza. Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci namun kami menjangkakan model akan datang ini menawrakan fork depan dengan jarak pergerakan (suspension travel) yang lebih pendek berbanding 800 DE. 

*Suzuki V-Strom 800 DE

Juga tidak kelihatan adalah ‘handguard’ dan ‘bash plate’ yang terdapat pada 800 DE. Menariknya, penghadang angin pada V-Strom 800 ini juga adalah 45mm lebih tinggi berbanding 800 DE. 

Namun begitu, kami jangkakan V-Strom 800 ini akan tetap menawarkan 82hp dan 78Nm seperti 800 DE. 

Apa pun, kami menjangkakan Suzuki bakal memperkenalkan keluarga baharu V-Strom 800 ini di pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung pada November ini.  

Seperti anda, kami juga rajin melakukan ‘window shopping’ di Mudah.my dan kadang-kala kami terjumpa motosikal yang dijual pada harga menarik. 

Bagaimanapun, berbeza kali ini kerana ada penjual yang mengiklankan sebuah motosikal yang katanya akan dilancarkan tidak lama lagi. Motosikal tersebut merupakan sebuah Yamaha Tenere 700. 

Menariknya, iklan itu turut menyatakan tempahan bagi Tenere 700 sudah boleh dibuat dengan tarikh pelancaran dijadualkan pada 16 September ini. Harga pula diletakkan pada RM65k.

Untuk rekod, Yamaha mengadakan Karnival Gen Blu di Kota Kinabalu pada hujung minggu ini dan kemungkinan besar Tenere 700 merupakan model yang akan diperkenalkan. 

Sekiranya benar, perkembangan terbaru ini pastinya menggembirakan ramai pihak yang sudah sekian lama menantikan kemasukan motosikal tersebut. 

Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 ini dikuasakan enjin dengan tork tinggi 690cc CP2 yang menjana 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm. 

Pada Oktober tahun lalu,  Ducati telah pun mendaftarkan tanda dagangan di Amerika Syarikat bagi sebuah enjin satu silinder 659cc 4-valve dengan sistem penyejukan cecair. 

Ketika itu, pelbagai spekulasi dibangkitkan termasuk mendakwa enjin tersebut bakal diperkenalkan pada sebuah motosikal jenis Scrambler baharu. Ini kerana Ducati pernah menghasilkan Scrambler pada era 60 dan 70an yang dikuasakan enjin satu silinder. Juga tidak dilupakan, Ducati pernah menghasilkan jentera lumba Ducati Supermono sekitar 1993 dan 1995 yang dikuasakan enjin satu silinder bagi siri perlumbaan Supermono. 

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati sangkaan awal itu ternyata meleset kerana motosikal dengan enjin 659cc itu sudah mula menjalani ujian di Eropah. 

Berdasarkan tinjauan foto ‘spy shot’ yang dikongsikan, motosikal berkenaan jelas menampilkan gaya ‘supermoto’ sekaligus memberi bayangan model baharu itu akan memberi saingan kepada KTM 690. 

*sumber: Motorrad

Bukan itu sahaja, turut kelihatan adalah penggunaan kerangka serba baharu dengan ‘swingarm’ yang diikat terus kepada bahagian enjin. Cara ini pastinya bagi memastikan model serba baharu ini kekal ringan seperti pesaing lain. 

Dalam pada itu, bahagian depan menempatkan fork jenis USD yang dipadankan bersama cakera brek tunggal. Rim pula kelihatan berukuran 17-inci dan hampir pasti dipadankan bersama tayar Pirelli. 

Sementara itu, kami juga tertunggu-tunggu apakah nama sesuai yang akan diberikan kepada model baharu ini. Untuk rekod, Ducati akan meraikan ulang tahun ke-30 Supermono tahun ini maka jolokan nama ‘Hypermono’ bagi motosikal satu silinder baharu ini juga tampak sesuai.  Namun, terdapat kemungkinan model baharu ini akan mengguna pakai nama Hypermotard.

Apa pun, segalanya akan terjawab ketika pelancaran global yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Khabar angin mengenai kemunculan Honda CB750R telah pun bertiup kencang sejak pelancaran Hornet CB750. 

Ini kerana Honda antara yang gemar membangunkan pelbagai jenis model yang menggunakan platform sama. Ini dibuktikan menerusi barisan model CB500, CB500X dan CB500R yang dikuasakan enjin parallel-twin yang sama. Tidak lupa juga enjin yang digunakan pada CRF1100L Africa Twin juga menggerakan NT1100, CMX1100 Rebel dan Hawk 11. 

Berdasarkan tren tersebut, tidak hairanlah paten terbaru yang difailkan di Amerika Syarikat mengesahkan kedatangan CB750R yang akan dikuasakan enjin parallel-twin 755cc yang sama terdapat pada Hornet. Paten itu juga memaklumkan CB750R akan hadir pada 2024. 

Meskipun dokumen yang difailkan itu tidak menyatakan secara terperinci namun antara maklumat yang disampaikan termasuk, “penutup depan (front cowl) disambung kepada kerangka badan menggunakan skru pengikat.” Aspek itu secara langsung membezakan dengan jentera naked Hornet 750 yang tidak dilengkapi dengan sebarang panel penutup. 

*paten terbaru difailkan Honda di Amerika Syarikat mendedahkan CB750R

Berdasarkan lakaran yang dilampirkan bersama paten berkenaan, kita dapat lihat reka bentuk yang belum siap sepenuhnya namun memberi gambaran jelas bahawa kemunculan model sportsbike dengan adanya ‘fairing’ tambahan. 

Selain itu juga kelihatan handlebar jenis ‘clip-on’ yang menawarkan gaya tunggangan lebih agresif dan sporty. 

Menariknya, perkembangan terbaru ini pastinya merancakkan lagi segmen sportsbike dengan enjin parallel-twin yang ketika ini telah pun mula diisi dengan Yamaha YZF-R7. Suzuki juga akan turut menyertai kelas berkenaan dengan GSX-8R yang juga dijadualkan tiba pada 2024. 

Baru-baru ini telah berlangsungnya Katana Meeting 2023 di Jepun yang menyaksikan lebih 1,200 pengunjung dan 1,118 motosikal jenis Suzuki Katana berkumpulan di Hamamatsu Fruit Park Tokinosu.

*Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki (sumber: Young-Machine)

Acara tahun itu turut dihadiri Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki bersama-sama barisan orang penting syarikat itu. 

Meskipun pelbagai aktiviti berlangsung namun tumpuan terarah kepada ucapan pereka Suzuki Katana sendiri. 

Pertamanya, Keisuke Namerikawa dari bahagian pembangunan enjin mendedahkan fokus selepas ini adalah membesarkan enjin 1000cc sedia ada kepada 1100cc agar Katana tampil lebih berkuasa. 

*(sumber: Young-Machine)

Menyedari isu tangki 12L yang didakwa terlalu kecil, Hiroki Matsushita yang bertanggungjawab mereka tangki Katana sedia ada mengakui model itu akan tampil dengan tangki yang lebih besar selepas ini.  Bagaimanapun, Hiroki akui reka bentuk Katana menyukarkan perkara itu dilakukan sebelum ini. 

Dalam pada itu, ketua jurutera Suzuki, Tetsuji Nojiri memberi jaminan bahawa Katana akan menjalani satu evolusi yang signifikan sekaligus mengesahkan kehadiran tangki yang lebih besar dan platform serba baharu. 

“Terdapat beberapa perkara lain yang juga perlu diberi penekanan antaranya sama ada mengekalkan panel meter LCD sedia ada. Tapi apa yang pasti, Katana akan berevolusi,” jelasya. 

Suzuki hampir pasti akan memperkenalkan model ketiga yang akan dihidupkan enjin parallel-twin 776cc sama terdapat pada GSX-8S dan V-Strom 800DE. 

Berdasarkan dokumen pensijilan yang difailkan di Switzerland, Suzuki GSX-8R akan diperkenalkan pada 2024. 

Menurut laporan Motorcycle.com, ketibaan GSX-8R itu dirungkai berdasarkan kod nama GSX800 (8R) yang dinyatakan iaitu berbeza dengan GSX-8S yang hanya mengguna pakai kod GSX800. 

Tidak cukup dengan itu, data tersebut turut merujuk 8R akan dikuasakan enjin sama dengan GSX-8S, platform parallel-twin 776cc yang menawrakan 82hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm. 

Menariknya, dokumen tersebut juga mendedahkan GSX-8R hadir dengan kelajuan maksima (top-speed) 215km/j berbanding 210km/j yang ditawarkan GSX-8S. Ini bermakna GSX-8R – sebagai jentera sportbike – tampil dengan talaan enjin berbeza bagi menghasilkan ‘top’ yang lebih tinggi. 

Ukuran panjang dan jarak antara tayar juga sama dengan GSX-8S sekaligus membuktikan penggunaan kerangka yang sama. Namun, 8R lebih “kurus” yang mungkin dipengaruhi penggunaan handlebar jenis ‘clip-on’. 

Kami jangkakan Suzuki akan mendedahkan GSX-8R di pameran EICMA 2023 yang dijadualkan berlangsung November ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube