Bikesrepublic

Berita Terkini

Yamaha Jepun telah mengaku memalsukan data ujian di negara itu. Para eksekutif syarikat tersebut telah membuat pengakuan dan memohon maaf kerana telah berbuat demikian.

Yamaha adalah antara tiga pengeluar automotif lain yang disiasat kerana memalsukan data ujian. Bagaimanapun, dalam kes Yamaha, syarikat itu memalsukan data ujian tahap bunyi untuk sekurang-kurangnya tiga model iaitu YZF-R1, YZF-R3 dan TMAX. Bagaimanapun, Yamaha Jepun menegaskan bahawa mereka tidak memalsukan data berhubung keselamatan.

Pengeluar yang berpangkalan di Iwata itu telah menghentikan pengeluaran ketiga-tiga model itu. The Japan News melaporkan bahawa syarikat itu telah menghasilkan kira-kira 7,500 unit daripada ketiga-tiga model.

Mereka adalah pengeluar kenderaan Jepun kedua yang tertakluk kepada pemeriksaan di ibu pejabat mereka oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan negara itu pada 5 Jun 2024 selepas skandal mengenai data yang dipalsukan tersebar luas bermula dengan Toyota.

Siasatan bermula di ibu pejabat Toyota pada 4 Jun 2024, selepas Daihatsu milik Toyota terjebak dalam skandal ujian keselamatan pada 2023. Ini mendorong semakan yang lebih ketat terhadap data yang difailkan oleh pengeluar automotif dan motosikal Jepun.

Siasatan lanjut juga akan dilakukan di ibu pejabat Mazda, Honda dan Suzuki dalam beberapa minggu akan datang.

Setakat ini, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Toyota, Mazda, dan Yamaha untuk menghentikan penghantaran kenderaan mereka. Kementerian itu juga akan mula menjalankan ujian mereka sendiri ke atas semua kenderaan yang terjejas, untuk memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar yang sedia ada. Keputusan akan diumumkan kepada khayalak ramai.

Kami telah menghubungi Hong Leong Yamaha Motor untuk mendapatkan penjelasan jika unit tempatan terlibat dan sedang menunggu jawapan mereka. Sementara itu, ini mungkin bukan penamat saga ini, jadi teruskan bersama kami.

 

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bakal membuat penampilan bersama pasukan Team Kagayama pada perlumbaan endurance Suzuka 8 Hours yang akan berlangsung di Litar Suzuka dari 19 hingga 21 Julai ini.

Beliau akan tetap menunggang jentera Ducati V4 R yang turut digunakan di dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada tahun ini.

Pengesahan itu dimaklumkan pasukan JDT Racing Team dalam satu hantaran di akaun X mereka.

“Ucapan terima kasih kepada pemilik kami Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana membolehkan kolaborasi dan ujian tertutup bersama Team Kagayama, yang juga mewakili pengeluar Ducati untuk Perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka pada Julai ini.

“Menaiki jentera pengeluar Ducati V4R. Sungguh satu pengalaman!,” kata pasukan berkenaan dalam hantarannya.

Hafizh yang menyertai saingan ARRC bersama JDT Racing Team pada tahun ini sudah mengumpul 45 mata dalam kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000) untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan menjelang perlumbaan di Motegi, hujung minggu ini.

Setakat dua pusingan lalu di Thailand dan China, Hafizh sudah membuktikan prestasinya bersama jentera Ducati Panigale V4R dengan meraih dua penamat di podium.

Kali pertama adalah di Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada pertengahan Mac lalu yang menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba Honda Asia-Dream Racing with Astemo, Andi Farid Izdihar.

Momentum itu kemudian di bawa Hafizh ke Perlumbaan 1 Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China pada April lalu apabila menemui garisan penamat selaku pemenang.

Seorang budak lelaki berusia 11 tahun telah dikesan oleh polis memandu sebuah kereta bersendirian di Sibu. Berikutan itu, bapa budak lelaki itu telah dikenakan tindakan saman oleh polis.

Ketua Polis Daerah Sibu. Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat selepas kanak-kanak itu berjaya dikesan kira-kira 6.50 petang semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis mendapat maklumat berhubung video berdurasi 30 saat yang tular di laman sosial kira-kira 3 petang semalam, menunjukkan kanak-kanak itu memandu kereta bersendirian di Jalan Kampung Nyabor di sini.

Anda mungkin pernah mendengar tentang penukar bermangkin ekzos, atau juga dikenali sebagai pemangkin ekzos (catalytic converter) untuk kenderaan anda, sama ada motosikal atau kereta.

Penukar bermangkin telah dipasang pada hampir semua kenderaan di jalan raya selama beberapa dekad, sebagai alat untuk membersihkan pelepasan ekzos kenderaan sebelum dilepaskan ke alam sekitar. Tetapi bagaimana ia berfungsi?

Kita mulakan dengan apa yang keluar dari ekzos

Enjin kenderaan menghasilkan gas pelepasan yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil setelah bercampur dengan udara. Pelepasan ekzos mengandungi banyak sebatian kimia yang berbeza, sesetengahnya lebih berbahaya daripada yang lain.

Sebahagian daripada produk sampingan ini selamat. Sebagai contoh, udara terdiri daripada 78% gas nitrogen (N2). Sebahagian daripada nitrogen ini bertindak balas dengan oksigen semasa pembakaran. Ini menghasilkan beberapa oksida nitrogen (NOx), yang beracun.

Sesetengah hasil sampingan pembakaran boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk kesukaran bernafas, penyakit kardiovaskular dan kanser. Ia disebabkan oleh nitrogen oksida (NOx), hidrokarbon tidak terbakar, zarah karbon dan sebatian organik meruap (volatile organic compounds/VOC).

Sesetengah produk sampingan juga boleh mencemarkan alam sekitar kita dengan hujan dan embun berasid, pencemaran udara dan air disebabkan oleh karbon dioksida (CO2), nitrogen oksida (NOx), dan sulfur oksida.

Enjin kereta juga mengeluarkan karbon monoksida (CO). Gas beracun ini boleh menggantikan oksigen dalam aliran darah anda. Jika darah anda tepu dengan karbon monoksida, anda akan lemas.

Jurutera Perancis Eugène Houdry mencipta penukar bermangkin sekitar tahun 1950. Dia telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya untuk menghasilkan bahan api yang lebih baik untuk kereta. Walaubagaimanapun, para saintis mula mengetahui tentang pencemaran udara yang disebabkan oleh kereta pada masa itu. Jadi, Houdry merekabentuk penukar bermangkin untuk membersihkan pelepasan ekzos.

Walaubagaimanapun, pelepasan daripada petrol berplumbum merosakkan penukar bermangkin. Menjelang tahun 1975, saintis telah membangunkan petrol tanpa plumbum. Pada tahun itu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar A.S. mewajibkan penukar bermangkin dipasang pada semua kereta baharu. Negara lain segera menyusul.

Penukar bermangkin dipasang pada paip ekzos di bawah kenderaan. Ia adalah bonjolan di sepanjang paip ekzos, dengan sarang lebah seramik di dalamnya. Sarang itu disalut dengan campuran platinum (Pt), paladium (Pd) dan rhodium (Rh). Logam-logam ini baik untuk menentang pengoksidaan, hakisan dan asid. Ini bermakna mereka boleh tahan terhadap semua bahan kimia yang dikeluarkan oleh enjin (kecuali plumbum).

Logam-logam inilah pemangkin. Pemangkin ialah sesuatu bahan yang mencetuskan tindak balas kimia tanpa menjejaskan atau menukar bentuk diri mereka sendiri. Penukar bermangkin mempunyai struktur sarang lebah kerana ia menyediakan lebih banyak keluasan permukaan untuk tindak balas.

Pemangkin ini menyebabkan tindak balas pengoksidaan dan pengurangan (redox) untuk mengurangkan pelepasan berbahaya.

Platinum dan rhodium mengambil bahagian dalam tindak balas pengurangan dengan mengurangkan oksida nitrogen (NOx) dalam ekzos. Mereka melakukan ini dengan mengeluarkan atom nitrogen daripada molekul nitrogen oksida (NO dan NO2), dan melepaskan atom oksigen. Atom oksigen bebas membentuk gas oksigen (O2).

Kemudian, atom nitrogen yang melekat pada mangkin bertindak balas antara satu sama lain. Ini menghasilkan gas nitrogen (N2). Oksigen dan gas nitrogen kedua-duanya selamat dihirup.

Tindakbalas Pengurangan

Asid nitrik 2NO → N2 + O2

Nitrogen dioksida 2NO2 → N2 + 2O2

Platinum dan paladium mengambil bahagian dalam tindak balas pengoksidaan. Ini mengurangkan hidrokarbon (HC) dan karbon monoksida (CO) dalam ekzos. Pertama, karbon monoksida dan oksigen bergabung membentuk karbon dioksida (CO2). Kemudian, hidrokarbon dan oksigen yang tidak terbakar bergabung untuk membentuk karbon dioksida dan air (H2O). Inilah sebabnya anda mungkin melihat air menitis daripada ekzos, terutamanya pada pagi yang sejuk. Karbon dioksida, sebaliknya, selamat untuk dinafas pada kepekatan rendah.

Tindakbalas Pengoksidaan

Tindakbalas 1: 2CO + O2 → 2CO2

Tindakbalas 2: HC + O2 → CO2 + H2O

Penukar bermangkin moden juga mempunyai satu atau dua sensor (penderia) oksigen. Ia mengesan nisbah bahan api dan udara dalam ekzos. Jika terlalu banyak bahan api dalam enjin, ia meninggalkan hidrokarbon tidak terbakar selepas pembakaran. Terlalu banyak oksigen pula menghasilkan lebih banyak nitrogen oksida. Penderia itu akan menghantar data kepada unit kawalan enjin (ECU)  dan nisbahnya diukur. ECU akan menukar jumlah bahan api yang disuntik ke dalam enjin jika mendapati nisbah itu tidak betul.

Tetapi ada syarat

Penukar bermangkin hanya mula berfungsi antara 200 hingga 300 darjah Celsius dan berfungsi sepenuhnya antara 400 hingga 600 darjah Celsius. Oleh itu, enjin mengeluarkan jumlah pencemaran yang sama seperti kenderaan tanpa penukar semasa ia dihidupkan daripada keadaan sejuk. Inilah sebabnya mengapa enjin suntikan bahan api moden berjalan pada RPM yang lebih tinggi semasa permulaan agar dapat memanaskan penukar sehingga dengan lebih cepat.

Kecurian penukar bermangkin

Ini adalah masalah di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Pencuri hendak mencari platinum atau mejual semula penukar bermangkin di pasaran gelap.

Penutup

Kami hanya membincangkan asas penukar pemangkin, kerana terdapat banyak lagi untuk ditulis. Apapun kami berharap anda dapat mendapat sedikit-sebanyak maklumat mengenai komponen yang penting ini.

Red Bull Malaysia telah menaja tiga pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Racing dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia.

Tiga pasukan yang terbabit itu ialah PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, dan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Ketiga-tiga pasukan telah bertanding dalam Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia 2024 dari 1 hingga 2 Jun di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

“Di Red Bull, kami bukan sekadar memberi tenaga kepada badan, tetapi juga menyemarakkan semangat setiap individu yang berani menjangkau sempadan kemungkinan. Kerjasama dengan PETRONAS Sprinta Yamaha Racing Teams ini mewakili lebih daripada gabungan logo; ia mewakili komitmen bersama terhadap kecemerlangan, inovasi, dan semangat persaingan yang berkobar-kobar,” kata Andy Lee, Pengarah Bersama Negara TCP Red Bull Malaysia.

Latar belakang pasukan-pasukan tersebut:

PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing Team

Didorong oleh tiga prinsip – PENUNGGANGAN. PERLUMBAAN. PIMPINAN. – pasukan itu berhasrat untuk menjadi salah satu pasukan perlumbaan terbaik bukan sahaja di Asia, tetapi juga di seluruh dunia. Sejak penubuhannya, pasukan perlumbaan berusaha untuk menakluki perlumbaan sebagai juara yang membawa pulang trofi, memeluk semua komuniti, kesejahteraan, dan bersaing dengan kebanggaan. PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing Team telah menerima pelbagai anugerah sepanjang 28 tahun perlumbaan motosikal, termasuk gelaran Kejuaraan Kategori Wira KBS Keseluruhan dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia selama empat tahun berturut-turut.

PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing Team

Pasukan bertekad sentiasa berada di hadapan, dan tidak pernah menoleh ke belakang. Terdiri daripada skuad pelumba muda berbakat, seperti Afif Amran dan Akid Aziz, yang telah merangkul pelbagai gelaran Juara Keseluruhan di Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia, pasukan perlumbaan ini kekal teguh dalam misi mereka untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan semangat setiakawan pasukan di trek.

PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor Racing Team

Ditubuhkan pada 1997 oleh bekas pelumba Yong Ying Hoe, pasukan ini dipacu dengan tujuan untuk mencapai hasil yang luar biasa. Pasukan perlumbaan itu mengekalkan rekod bagi jumlah kejuaraan paling ketara yang diraih dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia. Dengan 5 pelumba yang bersaing musim kejuaraan ini, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Racing Team menyasarkan untuk meninggalkan kesan berkekalan pada setiap trek yang mereka saingi.

Peraduan khas untuk menyambut kerjasama

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Red Bull akan mengadakan satu peraduan tidak lama lagi yang menawarkan dua pemenang bertuah peluang untuk masing-masing memiliki motosikal Yamaha Y15ZR edisi terhad yang ditandatangani secara eksklusif oleh pelumba terpilih daripada tiga PETRONAS Sprinta Yamaha Racing Team itu. Nantikan butiran lanjut dengan mengikuti halaman Instagram dan Facebook Red Bull atau melayari laman web rasmi mereka

Red Bull Energy Sparkling dilancarkan

Untuk memperingati bab baharu yang menggembirakan ini, Red Bull memperkenalkan siri minuman baharu – Red Bull Energy Sparkling, sesuai untuk individu muda yang aktif yang mencari rangsangan tenaga yang ringan dan menyegarkan.

Tersedia dalam tin 250ml, siri baharu ini menawarkan aroma buah yang menggembirakan, rasa yang menyegarkan, bebas gula, dan didatangkan dalam dua perisa menarik: Pomelo dan Apple & Muscat Grape. Siri Red Bull Energy Sparkling boleh didapati dari RM3.10/tin di pasar raya utama dan kedai serbaneka.

Vespa 946 Dragon (2024) telah dipratonton sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan Itali yang ke-78 baru-baru ini.

Ia menggabungkan elemen ikonik, legenda, dan tradisi dalam satu motosikal edisi terhad, serta menampilkan beberapa aksesori eksklusif seperti cermin depan, beg belakang dan bahan pelana yang dipadan.

“Kami benar-benar berbesar hati kerana dapat mengambil bahagian di dalam perayaan Hari Itali di Malaysia pada ini dan kami berjaya melihat edisi terhad Vespa 946 Dragon. 946 ini benar-benar sebuah karya seni Itali daripada rangkaian Vespa yang ikonik,” kata En. Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.

Vespa 946 Dragon ini telah membuat penampilan sulungnya ketika perayaan Tahun Baru Cina di Hong Kong, pada 24 Januari 2024.

Sebagai sebuah edisi untuk dikumpul, Vespa 946 diimaginasikan semula dalam rona keemasan dan dihiasi dengan motif naga hijau zamrud yang melingkar di sekeliling motosikal, untuk menjelmakan semangat garang skuter itu. Terdapat hanya 1888 unit yang di seluruh dunia.

Komponen lain seperti rim, hendal dan pelana berwarna kemasan mewah dalam emas satin berselang-seli dan berkilat.

Vespa 946 Dragon (2024) bukan sahaja menonjol di segi gaya tetapi juga merupakan Vespa paling canggih. Enjin satu silinder 150cc menggunakan fungsi suntikan bahan api elektronik, selain ABS dan kawalan cengkaman sebagai ciri standard. Pencahayaan adalah LED di sekeliling, manakala papan pemuka LCD membentangkan data tunggangan yang berkaitan. Rangka keluli monocoque digabungkan dengan komponen aluminium, bagi memastikan gabungan yang ringan namun kuat dan tahan lama.

Ia boleh didapati di Motoplex Petaling Jaya, Motoplex Sungai Buloh, Motoplex Butterworth, dan Motorplex Johor Bahru daripada RM 103,888.

Galeri foto

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube