Tahun 2021 sememangnya waktu yang sibuk buat Aprilia apabila giat mempromosikan beberapa model baharu antaranya RS660 dan Tuono 660.
Pengeluar motosikal Itali itu juga dilaporkan sedang giat menguji model baharu, Tuareg 660 yang telah pun didedahkan sekitar September tahun lalu.
Dalam perkembangant terbaru, Pengurus Pemasaran Aprilia, Cristian Romeo Barelli mendedahkan maklumat lebih terperinci mengenai motosikal ADV itu.
Menurut Barelli, Tuareg 660 akan mengikut DNA generasi sebelumnya sebagai jentera berkeupayaan off-road dengan tayar berukuran 21″ depan dan 18″ belakang.
Tambah Barelli lagi, disebabkan pembangunan enjin 660cc memfokuskan prestasi yang lebih ‘sporty’, Tuareg 660 juga akan mengekalkan elemen sama seperti ditawarkan RS660 dan Tuono 660.
Aprilia Tuareg 660 ini dijangka akan memberi saingan terhadap Yamaha Tenere 700 dan beberapa model lain dalam segmennya.
“Tuareg 660 akan ditawarkan sebagai model 2022, dan akan didapati seawal hujung 2021,” dedah Barelli.
Tahun 2021 ternyata memberangsangkan buat Benelli apabila jualan model TRK 502 telah pun mengatasi jumlah jualan tahun lalu di Itali meskipun baru enam bulan berlalu.
Benelli berjaya menjual 3,649 unit TRK 502 dari 1 Januari hingga 30 Jun 2021 sekaligus melakar rekod baharu bagi jenama berusia 110 tahun itu.
Berikut senarai jualan TRK 502 mengikut varian:
TRK 502 Standard – 683 unit
TRK 502 X – 2,966 unit
Meskipun motosikal yang dihasilkan di China sering dihujani dengan pandangan negatif namun Benelli semakin mendapat tempat di hati peminat dua roda di seluruh dunia terutamanya di Eropah.
Menurut laporan, jualan TRK 502 di Itali turut mengatasi jualan jenama lebih popular antaranya BMW R 1250 GS.
Sementara itu, Pengurus Jualan Benelli Itali, Giannia Monini, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian tahun ini.
“Keputusan ini sangat mengagumkan dan kami berasa bangga.
“Pencapaian ini mengesahkan bahawa kami telah membuat keputusan yang tepat dengan menghasilkan motosikal yang membenarkan lebih ramai menyertai dunia motosikal,” jelasnya.
Dengan harga EUR6,240 (RM30,600) di Itali, pastinya membolehkan TRK 502 menjadi pilihan utama pembeli terutamanya bagi penunggang baharu.- Motociclismo
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, telah pun selamat tiba di tanah air sempena cuti musim panas.
Saingan MotoGP kini memasuki cuti pertengahan musim selama sebulan sebelum kembali bersambung pada 8 Ogos nanti di Austria.
Hafizh telah pun tiba di Malaysia semalam dan bakal menjalani kuarantin wajib 14 hari.
Sementara itu, rata-rata berpendapat kepulangan Hafizh sempena cuti musim panas ini bakal memberi peluang kepada pelumba itu untuk menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
TMJ sebelum ini menyatakan hasrat berminat untuk menaja karier Hafizh di arena permotoran antarabangsa.
Baginda turut berminat untuk mengenal pasti dengan lebih lanjut kos perbelanjaan Hafizh bagi beraksi di Moto2 serta segala bantuan yang telah diterima setakat ini.
Hafizh turut mencuri tumpuan semalam apabila memuat naik iklan menjual basikal S-Works Shiv TT miliknya dengan harga RM42,000 di Instagram dalam usahanya untuk terus berlumba..
Saingan hujung minggu lalu di GP Belanda menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke 23 keseluruhan dihadapan rakan sepasukan Barry Baltus.
Monster Energy Yamaha telah pun disahkan kehilangan khidmat Maverick Vinales hujung musim ini dengan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kontrak lebih awal.
Vinales yang masih berbaki kontrak sehingga hujung 2022 akan meninggalkan pasukan factory itu hujung musim ini dengan Aprilia dicanang sebagai destinasi seterusnya.
*Maverick Vinales
Keputusan itu menyaksikan Yamaha mempunyai satu slot kosong selain dari Fabio Quartararo bagi musim 2022.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, timbul dakwaan bahawa Yamaha telah mencapai persetujuan bersama pasukan satelit, Petronas Sepang Racing Team (SRT) untuk memindahkan Franco Morbidelli ke pasukan factory.
Seandainya dakwaan tersebut berasas bermakna SRT bakal ketiadaan pelumba menuju musim 2022 sementara Morbidelli akan kembali digandingkan bersama bekas rakan sepasukan, Fabio Quartararo dan bakal mendapat jentera M1 factory yang diidamkan.
Senario ini juga bererti SRT bakal ketiadaan dua pelumba menuju musim 2022.
Ini kerana, seorang lagi pelumba, Valentino Rossi juga dikhabarkan tidak akan bersama SRT musim depan bagi memfokuskan saingan bersama Aramco Racing Team VR46 yang akan membuat penampilan sulung di kelas premier bersama Ducati.
*Franco Morbidelli
Sekiranya Morbidelli berhijrah ke factory Yamaha, situasi ini pastinya memberi impak besar terhadap prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, yang kini perlu mencari dua muka baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.
Sebelum ini, pengurus pasukan SRT, Johan Stigefelt, menyuarakan minat terhadap pelumba Moto2, Raul Fernandez sebelum pelumba KTM Ajo itu dikhabarkan akan menyertai Remy Gardner di KTM Tech3.
*Garret Gerloff
Ketika aksi di GP Belanda, SRT mempertaruhkan pelumba GRT Yamaha WorldSBK, Garret Gerloff menggantikan Morbidelli yang mengalami kecederaan.
SRT turut dikhabarkan menawarkan peluang itu kepada Toprak Razgatlıoğlu sebelum pelumba itu menolak tawaran tersebut bagi memberi fokus pada WorldSBK bersama Pata Yamaha.
*Fabio Quartararo
Morbidelli ketika ini sedang menjalani rawatan pemulihan apabila disahkan akan diketepikan lebih lapan minggu selepas menjalani pembedahan di lutut kiri ekoran kecederaan sewaktu latihan.
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, membuat keputusan untuk menjual basikal kesayangannya menerusi akaun sosial Instagram miliknya.
Namun, kapsyen yang disertakan paling mencuri perhatian apabila Hafizh memaklumkan tindakan menjual basikal itu kerana mahu terus berlumba.
Senario itu sekaligus mencetuskan tanda tanya sama ada situasi kewangan Hafizh sedang terkesan ketika ini atau sekadar mahu mengukuhkan bajet sedia ada.
Menurut perkongsian tersebut, basikal jenis TT Shiv itu baru digunakan untuk 200 kilometer sahaja dan ditawarkan pada harga RM42,000.
Difahamkan, Hafizh membeli basikal tersebut tahun lalu dengan nilai pasaran sekitar RM70,000 dan digunakan untuk beriadah selepas pulang dari perlumbaan di luar negara.
Monster Energy Yamaha telah pun mengumumkan Maverick Vinales bakal meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.
Vinales dan Yamaha telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak yang masih berbaki semusim hingga 2022 lebih awal.
Keputusan itu sekaligus menyaksikan Vinales bakal beraksi dengan pasukan baharu bermula musim depan.
*Aleix Espargaro
Aprilia merupakan antara destinasi paling relevan buat Vinales yang masih belum mengesahkan slot pelumba kedua yang bakal digandingkan bersama Aleix Espargaro.
Ketua Pengarah Aprilia Racing, Massimo Rivola juga menyatakan minat dengan khidmat Vinales sebelum ini.
*Andrea Dovizioso
Namun, Aprilia juga sedang giat menguji RS-GP dengan pelumba berpengalaman Andrea Dovizioso, yang ketika ini juga dicanang sebagai calon untuk bergandingan bersama Espargaro.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, media antarabangsa melaporkan khidmat pelumba Sepanyol itu turut ditagih Aramco Racing Team VR46.
Namun, situasi di VR46 turut bergantung kepada keputusan membabitkan pelumba veteran, Valentino Rossi sekiranya dia masih berminat untuk meneruskan karier bersama jentera Desmosedici musim depan. – GPOne