Monster Energy Yamaha mendominasi GP Belanda minggu ini menerusi Fabio Quartararo dan Maverick Vinales yang melengkapkan kedudukan satu-dua di podium.
Tempat ketiga jadi milik juara dunia musim lalu, Joan Mir dari Suzuki Ecstar.
Bagaimanapun, gerak tubuh Vinales mencuri tumpuan apabila dia kelihatan tidak gembira meskipun menduduki tempat kedua.
Senario tersebut disyaki berkait dengan ketidakpuasan hati pelumba itu terhadap pasukannya minggu lalu ekoran gagal memberi kerjasama yang diharapkan.
Apatah lagi Vinales turut kecewa dengan keputusan Yamaha menggantikan ketua kru, Esteban Garcia dengan bekas ketua kru Valentino Rossi, Silvano Galbusera.
Dalam perkembangan terbaru, timbul laporan mengatakan Vinales bakal meninggalkan Yamaha hujung musim ini.
Meskipun masih terikat kontrak sehingga hujung 2022, namun Vinales didakwa bakal menuju ke Aprilia untuk digandingkan bersama Aleix Espargaro.
Berdasarkan situasi Vinales dan Yamaha setakat ini, apatah lagi senario kekok ketika menaiki podium di Assen hari ini, dakwaan pelumba itu angkat kaki dari Yamaha mungkin diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, keputusan di GP Belanda menyaksikan Fabio Quartararo terus menerajui kejuaraan dunia dengan 156 mata diikuti Johann Zarco (122 mata) dan Francesco Bagnaia (109 mata) manakala Vinales menduduki tempat keenam dengan 95 mata selepas sembilan pusingan setakat ni. – MotoGP