Selepas berbulan khabar angin, akhirnya Gresini Racing disahkan bakal meneruskan saingan di MotoGP musim depan bersama Ducati.
Kerjasama Gresini bersama Aprilia Racing berakhir hujung musim ini tatkala pengeluar dari Noale, Itali itu akan bergerak sebagai pasukan factory musim 2022.
Ini bermakna, Gresini akan kembali sebagai pasukan Independent MotoGP musim depan dengan sokongan Ducati sebagai pengeluar di samping bakal mempertaruhkan Fabio Di Giannantonio dan Enea Bastianini.
Bastianini yang ketika ini bersama Avintia Ducati, bakal meneruskan kerjasama dengan pengeluar motosikal Itali itu di Gresini manakala rakan sepasukan, Luca Marini, dijangka sertai Aramco VR46 yang akan mengambil slot Avintia, musim depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, teruja dengan perjanjian terbaru itu.
“Kami gembira berjaya mencapai persetujuan bersama Gresini Racing untuk dua musim di MotoGP.
“Kami telah pun mencapai kesepakatan bersama mendiang Fausto (Gresini) hujung tahun lalu jadi kami amat berbesar hati kerana keluarganya berminat meneruskan projek ini.
“Kami amat yakin dengan kerjasama kali ini di samping bergantung kepada dua pelumba muda seperti Enea dan Fabio,” jelasnya. – MotoGP
Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Datuk Razlan Razali mendedahkan pasukan itu bersedia untuk memancing pelumba Moto3 di FIM CEV Repsol, Syarifuddin Azman.
Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, merekodkan kemenangan sulung musim ini ketika Perlumbaan 1 di Litar Catalunya, hujung minggu lalu.
Senario itu turut mendapat perhatian Razlan yang sentiasa mengikuti perkembangan pelumba negara di CEV termasuk Adam Norrodin di Moto2.
Bagi Razlan, Damok sudah menunjukkan kematangan selepas dua tahun beraksi di CEV.
“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.
“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” jelas Razlan.
Sementara itu, Adam turut dicanang untuk bersama Damok ke MotoGP di kelas Moto2 dan Moto3 tatkala berjaya mempamerkan keputusan cemerlang setakat ini. – KOSMO
CFMoto telah pun melancarkan 800MT secara global di Beijing Motor Show 2021, baru-baru ini.
Terdapat dua varian dihasilkan 800MT Sport dan 800MT Touring namun hanya varian Touring yang akan dipasarkan di Malaysia.
Antara perbezaan utama adalah penggunaan rim 19″ jenis spoke serta tetapan suspension dengan jarka kelegaan yang lebih tinggi.
CFMoto 800MT dikuasakan enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure dan menawarkan 95hp pada 8,000rpm dan 88Nm pada 6,600rpm.
800MT ini turut tampil dengan ciri slipper clutch, suntikan bahan api elektronik Bosch dan fungsi ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan; rain,off-road dan road
Antara ciri menarik lain yang turut ditawarkan:
sistem suspension KYB
kaliper brek J.Juan
ABS dwi-saluran
cruise control
tangki 19L
crash bar
tempat duduk dengan ketinggian 825mm
penghadang angin boleh laras
pengecas USB
lampu LED penuh
Kami dimaklumkan bahawa selain varian premium (Touring) sahaja yang akan dipasarkan di Malaysia, CFMoto 800MT ini akan ditawarkan pada harga sekitar RM50,000 sekaligus meletakkan model ini sebagai motosikal ‘adventure-touring’ paling mampu milik.
Suzuki mengumumkan akan melancarkan model GSX-S950 serba baharu tahun ini sebagai pilihan segmen pertengahan.
Dijadualkan untuk pelancaran pada Ogos, GSX-S950 ini menampilkan reka bentuk sama seperti GSX-S1000 2022 yang dilancarkan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, GSX-S950 ini juga dihidupkan dengan enjin 999cc sama terdapat pada GSX-S1000 namun dengan kuasa yang telah ditala semula bagi menawarkan 94hp dan 92Nm.
Jentera ini juga lengkap dengan fungsi ride-by-wire, klac slip/assist serta Suzuki low RPM assist seperti yang ditawarkan GSX-S1000.
Meskipun didatangkan dengan kerangka jenis aluminium sama seperti versi 1000cc, GSX-S950 ini tampil dengan fork depan KYB 43mm, brek kaliper Tokico (berbanding Brembo pada GSX-S1000) dan handlebar yang lebih menegak.
Difahamkan GSX-S950 ini bakal saingi segmen motosikal pertengahan yang ketika ini dibarisi Yamaha MT-07, Triumph Trident 660 dan Honda CBR650R.
Bagi meraikan kejayaan Honda di pentas sukan permotoran, CASIO dengan kerjasama Honda Racing memperkenalkan EDIFICE Honda Racing Limited Edition EQS-930HR.
Ini merupakan kolaborasi kelima di antara CASIO dan Honda Racing bagi model jam EDIFICE chronograph berprestasi tinggi.
Tahun 2021 merupakan ulangtahun Honda ke-60 bagi meraikan kejayaan muncul juara di Pusingan 2 GP 250cc di Jerman Barat menerusi Kunimitsu Takahashi yang menunggang RC162.
Kejayaan ini merupakan satu langkah besar bukan sahaja bagi Honda malah bagi seluruh pengeluar motosikal Jepun kerana berjaya menjuarai perlumbaan berstatus antarabangsa.
Jentera RC162 dikuasakan oleh enjin 4-silinder 249.3cc DOHC dengan penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 45PS pada 14,000rpm dan 20Nm pada 12,000rpm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.
Meskipun berenjin kecil namun jentera RC162 ini berupaya mencapai kelajuan maksimum sehingga 220km/j.
Sebagai penghargaan kepada jentera RC162 ini, rekaan keseluruhan EDIFICE Honda Racing Limited Edition EQS-930HR turut mendapat inspirasi daripada motosikal tersebut.
Hasilnya, jam tangan ini menampilkan bezel dan dial yang mencerminkan fairing aluminium RC162 termasuk beberapa elemen lain antaranya dari tangki berwarna merah, garisan fairing berwarna kuning, logo Honda klasik dan tali kulit asli.
EDIFICE turut memaparkan logo klasik Honda di bahagian dial, gelung cincin serta pelindung belakang.
Dibina berasaskan model EDIFICE EQS-930, jam tangan edisi terhad ini dikuasakan dengan teknologi inovatif CASIO yang menggunakan sel solar.
Menariknya, sel solar ini berupaya menghidupakn jam meskipun dengan kadar cahaya yang rendah.
Antara ciri lain ditawarkan: • mineral glass • screw lock back • kalis air 100-meter • jam randik • petunjuk tahap bateri • paparan tarikh • Analog – 3 jari (jam, minit dan saat) • berat bersih – 88g
Umum mengetahui terdapat hubungan rapat di antara mekanikal jam dan motosikal maka bukan satu kejutan apabila EDIFICE dan Honda menggabungkan kedua elemen ini bagi menghasilkan jam tangan edisi khas sejak 2018.
Diedarkan oleh Marco Corporation, satu-satunya pengedar rasmi produk Casio di Malaysia, jam tangan EDIFICE Honda Racing Limited Edition EQS-930HR ini boleh didapati sekarang di G-Factory, G-SHOCK Store dan peruncit rasmi Marco seluruh negara. Setiap pembelian fizikal turut didatangkan bersama Kad Waranti Marco sebagai jaminan authenticity.
Pada masa sama, anda juga boleh membuat pembelian secara atas talian di Lazada menerusi Official Casio Lazada Store: http://bit.ly/Casio-Lazada-Store
Melalui pembelian di sini, bukan sahaja anda akan dapat jam tangan yang dijamin tulen/original malah anda juga boleh dapat tempoh jaminan tambahan selama enam (6) bulan dengan mendaftar eWaranti Marco, bermakna anda dapat secara keseluruhan 18 bulan jaminan waranti.
Selepas keputusan ujian positif di Litar Catalunya minggu lalu, Brembo bakal membekalkan cakera brek lebih besar di Red Bull Ring tahun ini.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengenal pasti Red Bull Ring sebagai litar yang memberi tekanan tinggi kepada sistem brek jentera di samping mahu mengelakkan insiden membabitkan Maverick Vinales musim lalu berulang.
Untuk itu, Brembo telah menghasilkan cakera brek karbon yang lebih besar, berukuran 340mm yang telah dinaik taraf dengan lubang kecil bagi menghasilakn pengudaraan yang lebih baik sekaligus memastikan suhu kekal di antara 700 hingga 800 darjah.
Difahamkan, Brembo telah memulakan pembangunan sistem brek baharu itu selepas insiden Vinales terpaksa terjun daripada jentera Yamaha YZR-M1 ekoran kegagalan sistem brek.
Meskipun Yamaha memaklumkan insiden tersebut berpunca dari kegagalan sistem brek namun laporan lebih menyeluruh mendapati Vinales tidak menggunakan cakera brek bersaiz 340mm yang telah disyorkan sebaliknya kekal dengan saiz 320mm.
Vinales juga ingkar nasihat Brembo dan berlumba dengan cakera brek yang telah digunakan.
Lantas, pembangunan cakera brek dengan sistem pengudaraan baharu ini akan meningkatkan tahap keselamatan terutamanya di litar seperti Red Bull Ring.
Difahamkan, Brembo akan membekalkan cakera brek baharu ini di Motegi, Thailand dan Sepang musim ini yang telah dikenal pasti antara litar yang memberi tekanan tinggi pada brek. – Motorsport