Bikesrepublic

Berita Terkini

Benelli telah pun melancarkan Leoncino 800 secara global pada lewat tahun lalu.

Meskipun model baharu itu belum tiba di semua pasaran dunia namun Benelli bakal memperkenalkan versi lebih berkuasa dan ringan berdasarkan dokumen yang telah difailkan di China.

Menurut dokumen tersebut Leoncino 800 baharu itu akan menawarkan 87hp berbanding 80hp yang ditawarkan model sebelumnya.

Bukan itu sahaja, model baharu itu -yang dijangka diperkenalkan hujung tahun ini- tampil lebih ringan dengan 209kg berbanding 220kg sebelum ini sekaligus memperbaiki nisbah kuasa kepada berat jentera.

Ketika ini, pasaran negara menerusi pengedar rasmi MForce Bike Holdings hanya menawarkan dua versi Leoncino, 250 dan 500cc.

Baru-baru ini, Suzuki telah pun melancarkan GSX-S1000 2022 yang merupakan model serba baharu berkonsepkan ‘streetfighter’ untuk pasaran global.

Kemudian, pengeluar motosikal Jepun itu disahkan bakal memperkenalkan GSX-R1000 2022 serba baharu dalam usaha untuk kembali bersaing di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) tahun depan.

Dalam perkembangan terbaru, pengeluar dari Hamamatsu itu dilaporkan bakal memperkenalkan model ‘sports touring’ setelah memfailkan dokumen dengan nama GSX-S1000T, baru-baru ini.

Menerusi GSX-S1000T 2022 ini, Suzuki secara tidak langsung bakal menyaingi jentera lain dalam segmen tersebut antaranya BMW S 1000 XR.

Menurut laporan, GSX-S1000T akan sertai barisan model Suzuki terbaru dan akan dikuasakan enjin sama yang terdapat pada GSX-S1000.

Menariknya, dokumen tersebut mendedahkan GSX-S1000T bakal menawarkan kuasa sama seperti jentera ‘streetfighter’ itu yang ditetapkan pada 150hp dan 108Nm.

GSX-S1000T itu juga akan mengguna pakai chasis sama dengan ‘wheelbase’ 57.5 inci sekaligus memberi bayangan tetapan suspension, sistem brek dan saiz tayar yang sama dengan GSX-S1000.

Bagaimanapun, sebagai jentera ‘sport-touring’, GSX-S1000T akan dilengkapi penghadang angin tinggi, panel yang lebih lebar serta ukuran yang lebih tinggi (47.8 inci berbanding 42.5 inci pada GSX-S1000).

Dokumen tersebut turut mendedahkan berat (kering) GSX-S1000T ditetapkan pada 225 kilogram (11kg lebih berat berbanding GSX-S1000) manakala kelajuan maksima (top speed) ditetapkan ada 239km/j.

Pelancaran GSX-S1000 2022 baru-baru ini serta bakal memperkenalkan GSX-R1000 dan GSX-S1000T 2022 membuktikan Suzuki serius untuk kembali menyaingi pasaran motosikal berkuasa tinggi dengan rekaan dan fungsi elektronik serba baharu.

Nantikan perkembangan seterusnya (beserta gambar) mengenai Suzuki GSX-S1000T dalam masa terdekat.

Nombor perlumbaan #50 milik Jason Dupasquier akan direhatkan daripada perlumbaan Moto3 dalam satu majlis khas yang akan diadakan Jumaat ini menjelang GP Belanda di Sachsenring.

Pelumba berusia 19 tahun itu meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah sewaktu ujian kelayakan di Mugello, bulan lalu.

MotoGP kemudiannya mengesahkan pemergian pelumba Switzerland itu di hari perlumbaan GP Itali, pada Ahad.

Majlis ‘persaraan’ nombor #50 Dupasquier akan diadakan di bilik persidangan di litar Sachsenring dihadapan pasukannya, CarXpert Prustel GP Team.

Sebelum ini, MotoGP turut merehatkan nombor #69 milik Nicky Hayden yang maut dalam insiden kemalangan ketika berbasikal.

Nombor perlumbaan #65 Loris Capirossi dan #34 Kevin Schwantz turut direhatkan selepas kedua-duanya bersara daripada arena perlumbaan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang bakal membangunkan litar lumba antarabangsa bersebelahan Stadium Batu Kawan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pulau Pinang, Soo Lip Chee yang mendedahkan 2.8 hektar tanah telah pun dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan.

Menurut Soo, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan litar lumba yang kondusif dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan permotoran.

“Ini adalah antara projek yang disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14,” jelas Soon.

Difahamkan, jendela bagi penghantaran kertas cadangan telah pun dibuka 17 Mei dan ditutup pada Selasa lalu dengan kesemuanya harus mengikut kriteria ditetapkan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Antara keperluan ditetapkan MAM adalah ruang penonton, tempat letak kenderaan dan pejabat pengurusan.

Tambah Soon lagi, litar tersebut akan digunakan bagi penganjuran sukan peringat domestik dan antarabangsa.

“Perlumbaan adalah membabitkan motosikal dan kenderaan lain mengikut reka bentuk litar nanti,” tambah Soon.

Projek litar antarabangsa tersebut akan dibina sepenuhnya sektor swasta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi. – The Star

Baru-baru ini, Benelli telah pun merasmikan 1200GT di Beijing Motor Show, setahun selepas mendedahkan motosikal itu sebagai model konsep.

Benelli 1200GT ini merupakan jentera bersesaran 1,279cc tiga silinder yang merupakan enjin terbesar dan berkuasa pernah dihasilkan syarikat itu yang menawarkan 134hp pada 9,000rpm dan 119Nm pada 6,500rpm.

Menariknya, ketika pelancaran tersebut, Benelli – yang merupakan anak syarikat milik Qianjiang Motorcycle – turut mengumumkan harga rasmi, CNY99,800 (RM64,100).

Harga tersebut pastinya menjadikan 1200GT ini model ‘grand tourer’ paling mampu milik dalam pasaran selain daripada CFMoto 1250TR-G yang juga dijangka dilancarkan secara global dalam masa terdekat.

Menurut Benelli, pembangunan enjin 1,279cc tersebut adalah berlandaskan enjin 1209cc tiga silinder yang membuat penampilan menerusi Benelli 898cc Tornada Tre.

Antara ciri yang terdapat pada 1200GT adalah seperti berikut:

  • paparan TFT 15″
  • SatNav
  • penghadang angin boleh laras elektronik
  • cermin sisi boleh lipat elektronik
  • keyless
  • kamera depan dan belakang
  • Boshc ABS dan kaliper brek Brembo

Sementara itu, melihat kepada barisan pelbagai model Benelli yang dipasarkan di Malaysia, pastinya peluang untuk melihat 1200GT ini cukup cerah apatah lagi permintaan terhadap motosikal segmen ‘tourer’ semakin meningkat.

Dengan rata-rata jenama motosikal lain dalam segmennya didatangkan dengan harga lebih RM100,000, kemasukan 1200GT pastinya dihargai pelanggan yang mencari model yang lebih mampu milik.

Dorna Sport mengesahkan bahawa GP Styria dan GP Austria yang berlangsung di Litar Red Bull Ring, dibenarkan menerima kunjungan penonton 100 peratus, Ogos ini.

Senario ini dibenarkan selepas kerajaan Austria membatalkan sebarang sekatan terhadap mana-mana acara sukan bermula musim panas ini.

Ini sekaligus menyaksikan Red Bull Ring akan membuka pintunya kepada peminat MotoGP yang telah divaksinasi, telah menjalani pemeriksaan dan mereka yang telah sembuh dari jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut MotoGP, ruang paddock akan terus beroperasi dengan gelembung sukan dan dipisahkan daripada orang awam.

Dalam perkembangan lain, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilaporkan mahu menganjurkan MotoGP kali ini setelah terlepas peluang musim lalu ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, segalanya akan bergantung kepada status semasa pandemik ketika ini.

Difahamkan, sekiranya pusingan di SIC dibatalkan, Litar Misano akan menjadi tuan rumah kepada dua pusingan seperti musim lalu. – MotoGP

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube