Bikesrepublic

Berita Terkini

Lagu negaraku berkumandang di Litar Catalunya, Sepanyol selepas pelumba negara, Syarifuddin Azman @ Damok, berjaya merekodkan kemenangan di Race 1 Kejuaraan CEV Repsol 2021 kategori Moto3.

Pelumba SIC Racing itu berjaya mengetepikan cabaran David Munoz Rodriguez (Avatel-Cardoso Racing) dan Jose Antonio Rueda (Estrella Galicia) untuk menamatkan Race 1 dengan cemerlang.

Bagaimanapun, Damok tidak dapat meneruskan momentum di Race 2 apabila gagal menamatkan perlumbaan yang menyaksikan pendahulu kejuaraan, Daniel Holgado (Aspar Team) muncul juara.

Namun, kejayaan di Race 1 meletakkan Damok kini di kedudukan ke-10 kejuaraan dengan 31 mata sementara Holgado selesa selaku pendahulu dengan 113 mata.

Sementara itu, ‘birthday boy’ Adam Norrodin bangkit dari kekecewaan di Race 1 untuk menamatkan aksi Race 2 di tempat keempat.

Adam yang beraksi pada hari lahirnya, mendduduki tempat keempat di Race 1 sebelum terbabas dengan perlumbaan berbaki 5 lap.

Dia kemudiannya memperbaiki aksi di Race 2 dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dibelakang rakan sepasukan, Lukas Tulovic.

Adam kini menduduki tempat keempat kejuaraan dengan 58 mata, hanya tiga mata dipisahkan Tulovic.

“Perlumbaan di Race 1 agak sukar kali ini. Saya terbabas ketika berada di kedudukan ke-4 dengan baki 4 lap.

“Namun, saya tidak membazirkan peluang di Race 2 dan berjaya memintas Xavi Cardelus di lap terakhir menduduki tempat ke-4.

“Saya tidak sabar untuk kembali beraksi pada pusingan seterusnya di Portugal,” tegas Adam.

Prestasi Adam dan Damok di CEV Repsol 2021 ketika ini meletakkan kedua-dua pelumba negara itu dalam landasan tepat untuk mara ke saingan MotoGP bersama kelas Moto2 dan Moto3 sepertimana yang diharapkan prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali, sebelum ini.

Pengeluar motosikal Itali, MV Agusta, semakin meningkat naik dibawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Timur Sardarov.

Sardarov, yang sebelum ini merupakan antara pelabur syarikat Itali itu, mengambil alih sepenuhnya MV Agusta pada 2019.

Sejak pengambilalihan itu, fokus MV Agusta adalah kembali menyusun struktur syarikat dan mula menangani isu kebolehpercayaan serta memperbaiki pengalaman pemilikan pelanggan.

“Antara ojektif utama adalah menyelesaikan isu kewangan syarikat dan kembali kukuhkan asas perniagaan dalam sektor industri dan komersil.

“Hari ini, objektif ini telah pun dicapai dan kami sudah mula meninjau masa depan dengan keyakinan yang lebih tinggi, disokong oleh kejayaan model baharu yang telah dilancarkan.

“Bagi tahun 2021, kami menjangkakan dapat mencapai pulangan lebih EUR100 juta buat julung kalinya dalam sejarah syarikat ini.

“Kami juga merancang melipat gandakan angka ini bagi tempoh tiga tahun akan datang,” jelas Sardarov.

Dalam perkembangan terbaru, Sardarov mendedahkan pihaknya telah menyuntik dana besar dalam usaha memperkembangkan barisan motosikal sedia ada.

Pendedahan terbaru itu menyaksikan MV Agusta bakal sertai segmen motosikal pertengahan dengan model 500cc.

“Kami akan perkenalkan model 550cc dan 950cc. Kedua-dua projek ini akan mengambil masa antara 24 hingga 28 bulan dari sekarang untuk disiapkan.

“Tetapi model 550cc itu akan tiba terlebih dahulu,” tambah Sardarov.

Perkembangan terbaru ini sedikit sebanyak membuktikan permintaan motosikal segmen pertengahan semakin meningkat naik dengan rata-rata jenama besar lain, KTM, Husqvarna, Triumph, Aprilia sudah mula menghasilkan jentera antara 390cc-700cc. – Visordown

Pelumba Malaysian Cub Prix 2021, Ammeer Dhiyaulhaq telah berjaya merekodkan keputusan cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Ammeer yang beraksi bersama pasukan KS Motor Racing dalam kategori Yamaha Petronas Super Series (YPSS) telah memperolehi keputusan 9A.

Kejayaan itu turut menyaksikan Ammeer muncul sebagai pelajar cemerlang peringkat negeri Perak.

Sementara itu, Ameer ketika ini menghuni kedudukan ke-6 saingan Cub Prix 2021 kategori YPSS dengan kutipan 22 mata selepas dua pusingan, 23 mata dibelakang pendahulu, Ahmad Iqram Danish.

Dalam perkembangan sama, pusingan ketiga Cub Prix 2021 yang sepatutnya berlangsung pada Mei 22 dan 23 di Litar Tangkak telah ditunda ke tarikh baru yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan penangguhan Pusingan 3 itu dibuat bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Kawasaki mencuri tumpuan sebaik melancarkan ZX-25R di Indonesia sekitar Julai tahun lalu.

Hampir setahun kemudian, populariti motosikal sportsbike segmen 250cc itu terus meningkat naik dan hasilnya mengatasi sasaran 2,000 unit yang ditetapkan.

*Kawasaki ZX-25R ABS SE Lime Green

Menerusi pelancaran empat pilihan warna baharu semalam, Kawasaki Motor Indonesia (KMI) mendedahkan jualan ZX-25R telah pun melebihi 4,000 unit setakat ini, lebih dua kali ganda daripada jangkaan awal.

*Kawasaki ZX-25R ABS SE Passion Red

Mengambil kira kejayaaan itu, KMI membuat keputusan untuk memperkenalkan empat pilihan warna baharu bagi pasaran negara itu, tahun ini.

*Kawasaki ZX-25R ABS SE Metallic Matte Graphene Steel Grey

Berbanding tahun lalu, ZX-25R ABS SE 2022 dapat tiga pilihan warna baharu menerusi Lime Green, Passion Red dan Metallic Matte Graphene Steel Grey manakala varian standard hanya ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja, Metallic Spark Black.

*Kawasaki ZX-25R Metallic Spark Black

Kawasaki ZX-25RR 2022 ini terus dikuasakan enjin 249.8cc 4-inline DOHC yang menawarkan 50hp pada 15,500rpm (51hp dengan Ram Air) dan 22.9Nm pada 14,500rpm dengan nisbah mampatan (compression ratio) 11.5:1.

Setakat ini, model ZX-25R ini masih belum lagi dipasarkan Malaysia tatkala masih menanti pengesahan di antara pihak yang berkenaan.

Dalam laporan terbaru, pengeluar motosikal Jepun, Honda dikhabarkan sedang giat membangunkan sistem klac dengan bantuan elektronik.

Sistem baharu itu seakan mirip konsep yang diguna pakai sistem throttle-by-wire yang merupakan antara ciri utama yang terdapat pada motosikal berkuasa tinggi ketika ini.

Honda ketika ini menawarkan sistem kabel, hidraulik dan DCT (dual-clutch transmission) pada beberapa model motosikal yang ditawarkan sekaligus membangunkan satu lagi sistem klac pastinya mencetuskan pelbagai tanda tanya.

Seperti throttle-by-wire, clutch-by-wire juga akan melibatkan ECU.

Menurut laporan, lever klac akan disambung kepada pam elektrik yang berfungsi mengawal tekanan sementara unit kawalan tekanan hidraulik akan memastikan klac yang ditarik mirip klac konvensional.

Meskipun ada yang akan mempersoal keperluan untuk adanya campur tangan elektronik dan ECU pada sistem klac sedia ada namun fungsi baharu ini dijangka akan membantu dalam meningkatkan tahap kawalan jentera terutamanya sewaktu kelajuan tinggi dan rendah.

Bagaimanapun, jika ada yang tidak berkenan dengan perkembangan terbaru ini, sekurang-kurangnya kita boleh menghargai inovasi yang dikerahkan Honda. – CycleWorld

Jonathan Rea mengakui peluang untuk beraksi di MotoGP sudah pun ditutup meskipun mendominasi Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dengan enam kejuaraan berturut-turut.

Keputusan berhijrah ke Kawasaki Racing Team (KRT) selepas beberapa musim bersama Honda ternyata membuahkan hasil apabila gandingan Rea bersama jentera ZX-10RR menghadirkan kejayaan berganda.

Dia kini memegang status selaku enam kali juara WorldSBK selepas enam musim bersama KRT.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya umur yang kini telah pun mencecah usia 33 tahun, Rea akui tiada ruang untuknya beraksi di MotoGP.

“Jika saya mahu meninggalkan WorldSBK, saya perlukan sesuatu yang kukuh sebagai pembakar semangat kerana saya sudah selesa dan persekitaran WorldSBK.

“Untuk pertimbangkan MotoGP, saya perlukan sokongan factory tetapi perkara ini tidak pernah berlaku.

“Saya juga rasa peluang ini tidak akan hadir kerana saya kini berusia 33 tahun. SBK adalah dunia saya dan saya gembira,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rea mendedahkan rancangan untuk melibatkan diri dalam sukan permotoran motocross profesional selepas bersara dari WorldSBK.

“Saya mahu sertai Anaheim Supercross dan kejuaraan motocross kebangsaan di Ireland Utara. Saya gemar menunggang ‘dirt bike’ jadi saya amat berminat untuk melakukannya,” tambah Rea.

Meskipun peluang untuk Rea ke MotoGP sudah pun terkubur namun dia pernah membuat penampilan sementara di kelas premier itu pada 2012, menggantikan Casey Stoner yang mengalami kecederaan di Repsol Honda.

Rea berjaya menamatkan aksi di Misano dan Aragon di tempat ke-8 dan ke-7 sebelum kembali ke WorldSBK bersama Honda.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube