Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang kontraktor kerugian RM9,500 selepas menjadi mangsa penipuan penjualan atas talian.

Mangsa berminat untuk membeli sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 menerusi platform atas talian namun tidak menyangka bahawa penjualan itu sebenarnya tidak wujud.

Kejadian itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof yang mendedahkan mangsa berusia 38 tahun telah menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan itu, Rabu lalu.

Mangsa pada awalnya memasukan duit RM1,000 sebagai deposit pembelian kepada penjual yang dikenali sebagai En. Gan.

Dia bagaimanapun dihubungi oleh seorang lelaki lain mendakwa dirinya sebagai majikan En. Gan dan meminta bayaran tambahan RM8,500 bagi mengelakkan motosikal tersebut tidak jatuh ke tangan orang lain.

Yakin dengan janji yang disuarakan pihak penjual, mangsa menunaikan permintaan tambahan bayaran itu namun bingkas membuat laporan polis selepas motosikal itu yang sepatutnya dihantar kepadanya semalam tidak berlaku di samping gagal menghubungi En. Gan.

Kes sedang disiasat mengiktu Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – SH

Franco Morbidelli merekodkan kemenangan kedua musim ini selepas mengungguli GP Teruel.

Ini kejayaan kedua pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT) itu musim ini selepas merekodkan kemenangan pertama musim ini di Misano, September lalu.

Kejayaan Morbidelli menyaksikan dia kini menduduki tempat keempat kejuaraan dunia, dengan 112 mata dan hanya dipisahkan 11 mata di belakang rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-8.

Tempat kedua dan ketiga didominasi pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins dan Joan Mir.

Keputusan ini turut menyaksikan Mir terus mendahului kejuaraan dunia MotoGP dengan 137 mata meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-12.

Sementara itu, Takaaki Nakagami yang memulakan aksi di petak pertama selepas melakar masa terpantas ketika sesi kelayakan, berputih mata apabila mengalami kemalangan sebaik perlumbaan bermula.

Ini merupakan kali pertama pelumba LCR Honda itu tidak mengutip sebarang mata selepas tidak pernah gagal menduduki kelompok 10 terbaik dalam 10 pusingan sebelum ini.

*Alex Marquez alami kemalangan

Nasib malang turut menimpa pelumba Repsol Honda, Alex Marquez selepas merekodkan dua tempat kedua berturut-turut sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Fabio Quartararo perlu bangkit pada pusingan seterusnya di Litar Circuit Ricardo Tormo pada 8 November ini bagi menghidupkan peluang merampas kedudukan selaku pendahulu.

Dua individu telah bertindak melarikan sebuah kereta peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia jenis Honda Civic 1.8S di Kepala Batas, Pulau Pinang, malam tadi.

*Kerete peronda jenis Honda Civic 1.8S yang dilarikan

Suspek lelaki dan wanita itu melarikan kereta peroda baharu terbabit pada jam 9.40 malam yang diletakkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Difahamkan, suspek telah menyamar sebagai anggota dan memasuki perkarangan IPD dengan motosikal sebelum melarikan diri dengan kereta tersebut.

*Suspek lelaki dan wanita diberkas

Sehubungan itu, PDRM telah melancarkan gerakan bagi memburu suspek sebelum berjaya menahan kedua-duanya bersama kereta peronda tersebut di lampu isyarat Seksyen 9, Shah Alam sekitar jam 2 pagi.

Kereta peronda Honda Civic 1.8S itu merupakan kenderaan baharu yang diperkenalkan pada September lalu.

Lengkap dengan peralatan komunikasi dan kamera berteknologi terkini, sebanyak 425 unit telah pun diserahkan kepada PDRM dengan kos keseluruhan mencecah RM67 juta.

Susulan pelaksanaan Euro5 yang akan berkuatkuasa tahun depan, rata-rata pengeluar motosikal sibuk memperkenalkan model dan kemaskini baharu bagi 2021.

Honda turut mengorak langkah apabila memuat naik ‘teaser’ di YouTube memaparkan CB1000R 2021 yang akan dilancarkan November ini.

*Honda CB1000R 2018

Honda CB1000R mula diperkenalkan tiga tahu lalu dengan konsep ‘Neo Sports Cafe’ namun kemas kini itu dilihat relevan bagi memastikan enjin jentera terbabit mematuhi standard emisi semasa.

*Reka bentuk lampu depan berbeza dengan model 2018

Berdasarkan video yang dikongsi jelas Honda turut menggunakan peluang ini untuk melaksanakan beberapa penambah baikan terhadap aspek rekaan.

Terdapat perubahan dilaksanakan terhadap bahagian lampu depan yang kini lebih condong berbanding menegak pada model sebelumnya di samping sekeliling lampu tersebut kini berwarna hitam berbanding ‘silver’.

*Bentuk lampu depan lebih bujur berbanding model 2018

Bahagian meter turut dilengkapkan dengan penghadang kecil yang sebelum ini lebih terdedah.

Malah rekaan rim 17 inci juga tampak berbeza berbanding model 2018.

Honda bakal melancarkan CB1000R ini pada 10 November ini.

Ducati yang selama ini terkenal dengan penggunaan injap Desmodromic valve actuation membuat keputusan untuk menyisihkan sistem itu bagi Multistrada V4.

*enjin V4 Granturismo yang diguna pakai Multistrada V4

Pengeluar motosikal premium Itali itu telah pun memulakan proses pengeluaran Multistrada V4 baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ducati turut mendedahkan bahawa jarak waktu servis utama (major service interval) adalah 60,000km.

Menariknya, jarak waktu servis yang besar itu membuktikan Ducati mengetepikan penggunaan injap Desmodromic yang telah pun diguna pakai pada semua model Ducati sejak lewat 60an.

Perkembangan baharu itu dilihat sebagai langkah Ducati dalam memfokuskan terhadap memanjangkan jangka hayat berbanding prestasi enjin.

Sebaliknya, Multistrada V4 ini akan mengguna pakai ‘valve spring’ sekaligus memanjangkan jarak waktu servis utama berbanding 30,000km sebelum ini.

Injap Desmodromic tidak bergantung pada spring untuk menyalurkan gas ke enjin.

Sebaliknya, enjin dengan injap desmodromic mempunyai dua ‘cam’ serta dua ‘actuators’ yang bertindak membuka dan menutup tanpa perlunya penggunaan spring.

Senario ini menyaksikan enjin Ducati mampu menahan RPM yang lebih tinggi berbanding enjin dengan injap spring.

Bagi memastikan enjin konvensional (dengan injap spring) mampu menangani RPM tinggi, spring lebih berat digunakan.

Dalam perkembangan sama, Ducati Multistrada V4 ini turut didatangkan dengan sistem radar yang julung kalinya diperkenalkan pada sebuah motosikal.

Sistem radar itu menyumbang kepada penggunaan ‘adaptive cruise control’di samping mempertingkatkan ciri keselamatan model terbabit.

Sime Darby Auto Selection melancarkan laman jual beli kereta terpakai atas talian.

Objektif utama pelancaran laman atas talian ini adalah menawarkan pelanggan pengalaman pembelian yang lebih mudah apatah lagi mengelakkan daripada hadir secara fizikal bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Penjualan atas talian ini boleh diakses menerusi simedarbyautoselection.com.my dan pelanggan boleh memilih daripada pelbagai jenis kenderaan terpakai yang menawarkan lebih 300 kenderaan pelbagai jenama yang bukan sahaja termaktub di bawah payung Sime Darby Motors.

Menariknya, setiap kereta terpakai ini telah pun menjalani proses pemeriksaan terperinci bagi memastikan kenderaan ditawarkan berada dalam keadaan terbaik.

Laman sesawang tersebut turut menawarkan ciri penjadualan pemeriksaan kenderaan dan janji temu penilaian kereta, janji temu servis dan tempahan pandu uji.

Pelanggan juga boleh mengakses ciri ‘Spin Car’ yang membolehkan penelitian kenderaan (luar dan dalam) dilakukan secara 360 darjah.

Portal tersebut boleh diakses bermula hari ini, untuk maklumat lebih terperinci, layari simedarbyautoselection.com.my

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube