Bikesrepublic

Berita Terkini

MotoGP musim 2022 bakal menyaksikan Ducati menurunkan lapan jentera bergantung kepada perbincangan bersama pasukan VR46 dan Gresini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Sukan Ducati di MotoGP, Paolo Ciabatti.

“Kami sedang berbincang mengenai perkara itu. Tawaran untuk menurunkan lapan jentera sedang dalam pertimbangan.

“Kami mampu mengendalikan senario ini dan ini juga membenarkan kami untuk memberi peluang kepada pelumba muda menunggang jentera Ducati,” katanya.

Lebih menarik, Dorna juga sedia maklum mengenai perancangan Ducati bersama VR46 dan Gresini namun tiada sebarang bantahan dinyatakan.

*Jack Miller #43

Ketika ini, Ducati mempunyai enam pelumba menerusi Jack Miller (Ducati), Francesco Bagnaia (Ducati), Johann Zarco (Pramac), Jorge Martin (Pramac), Luca Marini (Avintia) dan Enea Bastianini (Avintia).

*Francesco Bagnaia #63

Bagaimanapun, Ducati bakal kehilangan kerjasama dengan Avintia di kelas premier dengan pasukan itu telah pun mengesahkan penarikan diri sebaik musim 2021 berakhir.

*Johann Zarco #5

Dalam usaha memastikan Marini dan Bastianini terus menunggang jentera Desmosedici, perbincangan bersama VR46 dilihat kritikal dalam meneruskan pembangunan kedua-dua pelumba itu bagi musim 2022.

*Jorge Martin #89

Sementara itu, sekiranya Ducati mencapai persetujuan bersama Gresini, pasukan itu telah pun mengesahkan Fabio di Giannantonio bakal dinaikkan ke kelas premier dari Moto2 musim depan.

Ini bermakna terdapat satu lagi slot kosong yang perlu diisi bagi melengkapkan lapan jentera Ducati musim depan.

Meskipun perbincangan bersama VR46 dan Gresini masih berada di peringkat awal namun dengan tarikh pengesahan pelumba bakal tamat pada Jun, Ducati dijangka bakal membuat pengumuman rasmi mengenai barisan pelumba bagi musim 2022 tidak lama lagi. – GPOne

Susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membenarkan lanjutan 9-bulan bagi Lesen Belajar Memandu (LDL).

Lanjutan itu bermula dari 11 Februari hingga 11 November 2021.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, lanjutan 9-bulan itu membabitkan LDL yang sepatutnya tamat tempoh antara 13 Januari hingga 11 November tahun ini.

Bagaimanapun, LDL yang telah tamat tempoh lebih dua tahun sebelum atau selepas PKP (sebelum 13 Jan atau selepas 11 Nov) tidak layak mendapat lanjutan tersebut.

“Pelajar perlu memohon LDL sekali lagi dan ulangi KPP 01, KPP 02 dan KPP 03 termasuk ujian Bahagian I, II dan III,” jelas Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, pemegang LDL hanya perlu membuat salinan LDL dengan bayaran yuran RM10 sahaja manakala pemegang LDL B2 dibolehkan memperbaharui lesen (tiga bulan) dengan bayaran RM2 selagi dalam tempoh dua tahun. – The Star

Valentino Rossi hanya akan membuat keputusan mengenai kariernya di MotoGP sewaktu cuti musim panas pada Julai.

Pelumba berusia 42 tahun itu memaklumkan perkara itu ketika temubual bersama media Indonesia, Trans7.

“Saya akan membuat keputusan mengenai musim depan selepas sembilan pusingan kerana ketika itu cuti musim panas,” jelasnya.

Mengambil kira cuti musim panas akan bermula selepas GP Belanda yang dijadualkan pada 27 Jun, Rossi mungkin akan membuat pengumuman tersebut selepas itu.

Desas-desus mengenai persaraan Rossi semakin memuncak apabila tujuh kali juara dunia MotoGP itu bergelut sejak perpindahan dari pasukan factory Yamaha ke Petronas Sepang Racing Team (PSRT).

Meskipun mendapat layanan ‘factory’ di PSRT, dia masih tidak berupaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik selepas lima pusingan sementara rakan sepasukan dan protege, Franco Morbidelli, telah pun merasa podium musim ini.

Apatah lagi dengan pasukan VR46 milik Rossi bakal bersaing di kelas premier musim 2022 menguatkan lagi khabar angin persaraan Rossi semakin hampir.

Modenas Dominar D400 merupakan motosikal segmen ‘touring’ yang telah pun berada di pasaran tempatan sejak dilancarkan sekitar April 2018.

Selain daripada Pulsar NS200 dan RS200, Dominar merupakan model yang ditawarkan Modenas hasil penjenamaan semula dari jenama motosikal India, Bajaj Auto.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penambahbaikan terbaru diperkenalkan Modenas selain mengemaskini pilihan warna dengan tawaran warna merah dan biru.

Namun, dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan Modenas bakal melancarkan generasi baharu Dominar D400 tidak lama lagi.

Dikenali sebagai Dominar UG di India, generasi baharu itu telah pun dilancarkan pada pertengahan tahun 2019 dan tampil dengan pelbagai ciri terbaru sesuai dengan jolokan UG atau ‘Upgrade’.

Model baharu itu masih lagi didatangkan dengan enjin 373.3cc satu silinder namun mendapat tetapan DOHC berbanding SOHC sebelum ini.

Hasilnya, Dominar UG kini menawarkan 39.5hp, naik 5hp berbanding generasi sebelumnya.

Bukan itu sahaja, model baharu ini juga tampil dengan fork jenis USD 43mm, ekzos berkembar, kusyen baharu, side stand lebih kukuh, kuasa membrek lebih jitu, serta fungsi petunjuk gear.

Cakera brek 320mm juga kini berada di sebelah kiri yang dipadankan bersama kaliper brek radial dari ByBre.

Melihat kepada ciri ditawarkan, kami menjangkakan terdapat sedikit peningkatan harga berbanding Dominar sebelum ini yang ditawarkan pada harga sekitar RM13,000.

Apa yang pasti, model dinaik taraf ini pastinya akan menarik perhatian penunggang motosikal yang berminat menaik taraf ke jentera bersesaran lebih besar namun dengan harga yang lebih mampu milik berbanding jenama lain dalam segmennya.

Baru-baru ini tular video seorang penunggang motosikal telah melakukan aksi wheelie sewaktu perayaan Aidilfitri.

Video berdurasi 28 saat itu memaparkan seorang penunggang telah melakukan pelbagai aksi dengan motosikal jenis Yamaha RXZ di sekitar ibu kota dengan hanya memakai kopiah.

Bagaimanapun, video tersebut turut sampai ke tangan pihak penguatkuasa Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan terbaru, penunggang tersebut yang juga pemilik akaun Facebook Jeme Ganu, mendedahkan dia telah dikenakan denda RM10,000 di samping lesennya telah digantung selama 5 tahun.

Dalam usaha menangani masalah pencemaran dan memperbaiki kualiti udara, Singapura bakal menguatkuasakan peraturan emisi lebih ketat pada 2023.

Peraturan baharu itu yang akan dikuatkuasakan pada April 2023 menyaksikan motosikal yang didaftarkan sebelum 1 Julai 2003 hanya akan dibenarkan berada atas jalan raya sehingga 30 Jun 2028 namun dengan syarat motosikal tersebut haruslah mencapai standard emisi 4.5 peratus CO dan 2,000ppm (HC).

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA), kesemua motosikal yang berdaftar sebelum 1 Julai 2003 akan diharamkan daripada ditunggang bermula 1 Julai 2028.

Sementara motosikal yang didaftarkan selepas 1 Julai 2003 sudah pun termaktub dalam polisi baharu tersebut.

Pada masa sama, motosikal luar – yang bukan didaftarkan di Singapura termasuk dari Malaysia – turut tidak terkecuali daripada peraturan baharu itu.

Sebagai langkah penggalakan, kerajaan Singapura turut menawarkan SGD3,500 (RM10,800) bagi pemilik yang membatalkan pendaftaran motosikal lama lebih awal dari tarikh penguatkuasaan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube