Fabio Quartararo merekodkan kemenangan ketiga musim ini selepas berjaya mengungguli kelas premier di GP Itali.
Pelumba factory Yamaha itu yang bermula di petak pertama pada awalnya dipintas pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.
Bagaimanapun, Bagnaia hilang kawalan lalu terbabas di awal perlumbaan lalu membuka ruang buat Quartararo untuk terus meratah selekoh di Mugello sehingga ke garisan penamat.
Walaupun pada satu ketika dipintas rakan senegara, Johann Zarco di garisan lurus namun kecekapan jentera YZR-M1 dan Quartararo di bahagian selekoh ternyata terlalu sukar ditangani.
Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Quartararo selaku pendahulu kejuaraan dunia dengan 105 mata diikuti Zarco (81 mata) dan Bagnaia (79 mata).
Sementara itu, pelumba KTM, Miguel Oliveira, berjaya merekodkan podium pertama musim ini selepas disahkan menduduki tempat kedua ekoran Joan Mir melangkaui had litar di selekoh terakhir.
Dalam perkembangan sama, pelumba veteran, Valentino Rossi turut menghadiahkan kedudukan terbaik buat Petronas Sepang Racing Team (PSRT), musim ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Marc Marquez pula terus kempunan apabila terbabas di awal perlumbaan lalu membantutkan usaha untuk kembali meraih momentum musim ini.
Rakan sepasukan Mir di Suzuki Ecstar, Alex Rins turut kecundang di hujung perlumbaan meskipun berpeluang cerah menaiki podium kali ini.
Ini merupakan kejadian ketiga Rins gagal menamatkan perlumbaan musim ini.
Berikut keputusan penuh perlumbaan GP Itali: