Seorang gadis berusia 21 tahun telah ditahan polis apabila aksinya melakukan ‘wheelie’ tular di media sosial.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang memaklumkan bahawa remaja perempuan itu telah ditahan bersama seorang lelaki berusia 16 tahun.
Tangkapan dibuat setelah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapat satu rakaman video, semalam.
Video berdurasi 31 saat itu menunjukkan seorang wanita telah melakukan aksi ‘wheelie’ dengan motosikal jenis Honda EX-5 di Jalan Dato’Syed Esa.
Bagaimanapun, kedua-duanya telah pun dibebaskan dengan ikat jamin.
Menurut Ismail, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang menyaksikan kedua-dua individu tersebut berdepan penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun sekiranya didapati bersalah.
Minggu lalu, seorang lelaki telah dikenakan hukuman denda RM10,000 dan lesen digantung lima tahun apabila tular video melakukan aksi berbahaya termasuk ‘wheelie’ di samping tidak memakai topi keledar (helmet) di sekitar Lembah Klang sewaktu perayaan Aidilfitri. – SH